Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Ceritanya begini, baru-baru ini saya tersilap beli dompet kulit babi. Jadi, bolehkah saya menjual semula dompet tersebut dengan harga yang saya beli kepada kawan bukan Islam saya? Atau saya hanya perlu buang sahaja dompet tersebut? Mohon pendapat ustaz untuk saya menyelesaikan masalah saya ini. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, para fuqaha telah bersepakat akan kenajisan daging babi sekalipun disembelih. Hal ini berdasarkan nas al-Quran yang telah menyebutkan bahawa babi adalah najis secara zatnya. Maka dagingnya dan kesemua bahagiannya sama ada bulu, tulang dan kulit adalah najis sekalipun disembelih. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/302). Firman Allah SWT:

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةُ وَالدَّمُ وَلَحْمُ الْخِنزِيرِ

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai (binatang yang tidak disembelih), dan darah (yang keluar mengalir), dan daging babi (termasuk semuanya).”

(Surah al-Ma’idah: 3)

Dr. Wahbah al-Zuhaili menyebutkan bahawa pengharamkan babi itu meliputi semua bahagiannya sehingga pada lemak dan kulitnya. Adapun dikhususkan dengan menyebut dagingnya sahaja kerana ia merupakan kebanyakan bahagian yang dimakan. Sesungguhnya syarak telah melarang untuk mengambil manfaat daripada semua bahagian babi. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 6/77). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah ada dinukilkan perkataan al-Alusi bahawa dikhususkan dengan menyebut dagingnya, sedangkan baki bahagiannya yang lain juga adalah dihukumkan sebagai najis, berbeza dengan pendapat ulama dalam kalangan mazhab Zahiri kerana ia merupakan kebanyakan bahagian daripada haiwan yang dimakan. Manakala baki bahagian-bahagiannya yang lain pula adalah mengikuti hukumnya — yakni hukum daging itu. Menurutnya, pengkhususan dengan menyebut dagingnya itu adalah bertujuan bagi menzahirkan keharaman apa yang dianggap baik dan disukai pada seluruh daging serta membesarkan lagi tanda pengharamannya itu.

Selain daripada itu, dhamir pada ayat “أَوْ لَحْمَ خِنْزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ”, dalam kaedah bahasa Arab ia akan kembali yang terdekat disebutkan iaitu perkataan ‘babi’ itu sendiri. Maka, sahihlah dengan al-Quran bahawa babi itu zatnya adalah kotor dan najis. Sesuatu yang kotor dan najis adalah haram dan wajib dijauhi. Justeru, babi itu keseluruhannya adalah haram dan tidak terkeluar daripada hukum haram itu sama ada bulunya mahupun selainnya. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/140-141).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, Allah SWT apabila mengharamkan sesuatu, Dia turut mengharamkan hasil jualannya, perniagaan yang mengandunginya dan membantu hal-hal yang melibatkannya. Maka, Allah SWT telah mengharamkan daging babi, maka diharamkan juga berjual beli dengannya, menghidangkannya dan membantu untuk memakannya.  

Terdapat riwayat daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma bahawasanya beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda ketika berada di Makkah pada tahun pembukaan kota Makkah:

إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ. فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، أَرَأَيْتَ شُحُومَ المَيْتَةِ، فَإِنَّهَا يُطْلَى بِهَا السُّفُنُ، وَيُدْهَنُ بِهَا الجُلُودُ، وَيَسْتَصْبِحُ بِهَا النَّاسُ؟ فَقَالَ: لاَ، هُوَ حَرَامٌ. ثُمَّ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِنْدَ ذَلِكَ: قَاتَلَ اللَّهُ اليَهُودَ إِنَّ اللَّهَ لَمَّا حَرَّمَ شُحُومَهَا جَمَلُوهُ، ثُمَّ بَاعُوهُ، فَأَكَلُوا ثَمَنَهُ.

Maksudnya:Sesungguhnya Allah dan Rasul-Nya telah mengharamkan jual beli arak, bangkai, babi dan patung-patung berhala. Ditanyakan (oleh seseorang): ‘Wahai Rasulullah! Bagaimana pendapatmu dengan lemak bangkai, sesungguhnya ia digunakan untuk mengecat perahu, meminyakkan kulit dan dijadikan lampu oleh orang ramai?’ Nabi SAW bersabda: ‘Tidak boleh, itu adalah haram.’ Kemudian Rasulullah SAW bersabda saat itu juga: ‘Semoga Allah memerangi (melaknat) orang-orang Yahudi. Sesungguhnya Allah mengharamkan lemak bangkai, tetapi mereka mencairkannya, kemudian menjualnya, lalu memakan daripada hasil jualannya.’

Riwayat al-Bukhari (2236)

Sesungguhnya Allah SWT tidak mengharamkan sesuatu melainkan Dia mencukupkan (manusia) dengan penggantinya daripada jenisnya yang diharuskan. Maka Dia mengharamkan zina tetapi mengharuskan nikah, mengharamkan daging babi tetapi mengharuskan daging unta, mengharamkan sutera (untuk lelaki) tetapi mengharuskan bulu biri-biri dan kapas, mengharamkan rampasan dan rompakan tetapi menghalalkan ghanimah (harta rampasan perang), mengharamkan pencerobohan dan penindasan tetapi mengharuskan jihad dan begitulah seterusnya. (Lihat al-Hawi al-Kabir, 13/390).

Begitu juga dalam al-Fiqh al-Manhaji (6/16), dinyatakan bahawa di antara syarat barangan yang dijual mestilah dalam bentuk harta yang bernilai menurut syarak. Syarat ini ditetapkan bagi barangan jualan dan bayaran yang ditetapkan. Berdasarkan syarat ini, segala barangan yang dikategorikan sebagai najis dan haram oleh syara’ tidak sah diperniagakan.  Dengan itu, barangan seperti arak, bangkai, darah, najis dan anjing adalah tidak sah untuk dijadikan sebagai barangan jualan dan bayaran. Dalilnya adalah sebagaimana riwayat Jabir bin Abdullah di atas.

Kesimpulannya

Justeru, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat jual beli dompet yang diperbuat daripada kulit babi adalah tidak sah kerana babi dihukumkan sebagai najis dan terdapat nas yang jelas melarang jual beli babi. Oleh itu, saudara yang bertanya tidak boleh menjualnya semula sekalipun kepada orang bukan Islam dan tidak mengambil keuntungan daripadanya.

Kami menyarankan agar saudara pergi semula ke kedai atau berhubung dengan penjual yang telah menjual dompet tersebut untuk memulangkan semula dompet tersebut, di samping menjelaskan kepadanya dengan baik sebab pemulangan tersebut. Kemudian berbincanglah dengannya, sama ada digantikan dengan dompet yang lain yang sama nilainya atau meminta dengan baik agar dipulangkan semula bayaran yang telah diberikan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply