Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Adakah terdapat di sana larangan bertaqlid dalam perkara jazam?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Terlebih dahulu kami terangkan makna taqlid

Definisi Taqlid

Dari segi bahasa, taqlid diambil daripada perkataan al-qiladah (القلادة), iaitu sesuatu yang dikalungkan di leher. Ia boleh didefinisikan sebagai kalung atau rantai yang digantung di leher. (Lihat Lisan al-‘Arab, 3/367; Mukhtar al-Sihhah, hlm. 58; Usul al-Fiqh al-Islami oleh Amir Abd Aziz, hlm. 770)

Adapun taqlid dari segi istilah, kami nukilkan seperti berikut:

Imam al-Ghazali mentakrifkan taqlid sebagai menerima sesuatu pendapat tanpa mengetahui alasan atau hujah. (Lihat al-Mustasfa min ‘Ilmi al-Usul, hlm. 542)

Ibn al-Humam berkata, taqlid bermaksud mengamalkan pendapat orang lain tanpa hujah atau dalil. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 770)

Al-Amidi pula menjelaskan, ia adalah satu istilah yang disebut bagi pengamalan yang bersandarkan pendapat orang lain tanpa disertai hujah yang menuntut kewajipan pengamalan tersebut. (Lihat al-Ihkam, 4/221)

Jumhur ulama usul pula mentakrifkan taqlid sebagai mengikuti perkataan atau perbuatan orang lain tanpa meneliti dalilnya atau penerimaan hukum-hukum daripada seorang imam tertentu. (Lihat Usul al-Fiqh al-Islami, hlm. 772)

Dalam menjawab persoalan ini, kami nukilkan pendapat Ibn Hamdan. Antara lain katanya:

Tidak boleh bertaqlid dalam perkara-perkara yang dituntut secara jazam padanya. Tidak juga perkara-perkara ini diisbatkan menggunakan dalil zhanni. Ini kerana, taqlid tidak boleh berlaku dengan keduanya.

Maka tidak boleh untuk bertaqlid dalam mengenali Allah SWT, mentauhidkan-Nya dan juga pada sifat-sifat-Nya. Demikian juga (tidak boleh bertaqlid) pada kenabian para Rasul-Nya, dan membenarkan apa-apa yang mereka datangkan (daripada risalah), dan juga segala perkara yang menjadi kewajipan kepada mukallaf untuk mengetahuinya sebelum dia meneliti pada mukjizat dan sabitnya kenabian dengannya. 

Inilah pendapat yang disebutkan oleh al-Qadhi Abu Ya’la dan para sahabatnya seperti Abu al-Khattab, Ibn Aqil, dan selain keduanya, Ibn al-Jauzi dan ramai lagi para ulama, dari kalangan kita (hanabilah) atau selain kita. (Lihat al-‘Uddah, 4/1217; al-Tamhid, 4/396; al-Wadhih, 5/237)

Inilah pendapat yang masyhur lagi disokong di sisi para ashab (tokoh-tokoh mazhab) kita dan selain mereka. Kerana ia merupakan perkara yang tidak dapat kita beristidlal ke atasnya melainkan dengan menggunakan akal yang kesemua mukallaf memilikinya. Maka kesemua mukallaf akan menjadi mujtahid dalam hal tersebut kerana mereka sama pada akal yang mana dengannya diketahui kesemua perkara ini dan selainnya. Maka tidak boleh sebahagian mereka bertaqlid kepada sebahagian yang lain. Ini sama keadaannya seperti para ulama yang tidak boleh untuk sebahagian mereka bertaqlid kepada ulama yang lain. Kerana mereka berkongsi kemampuan yang sama untuk berijtihad.

Kami akhiri dengan kata-kata Ibn Masud RA:

أَلَا لَا يُقَلِّدَنَّ أَحَدُكُمْ دِيْنَهُ رَجُلًا إِنْ آمَنَ آمَنَ وَإِنْ كَفَرَ كَفَرَ

Maksudnya: “Ketahuilah bahawa janganlah seseorang dari kalangan kalian bertaqlid dalam agamanya kepada lelaki lain. Apabila dia beriman kamu pun beriman dan apabila dia kufur maka kamu pun turut kufur.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (1/136), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (no. 8764), al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (no. 20349), Ibn Abd al-Barr dalam Jami’ Bayan al-‘Ilm (no. 1882). Juga disebut oleh al-Syatibi dalam al-I’tisam (3/333).

Beliau juga berkata:

أَلَا لَا يُوَطِّنَنَّ أَحَدُكُمْ نَفْسَهُ إِنْ كَفَرَ النَّاسُ أَنْ يَكْفُرَ

Maksudnya: “Ketahuilah, janganlah salah seorang itu merasa tenang jiwanya apabila sesorang kufur maka dia pun turut kufur.”

Riwayat Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ (1/137), al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (no. 8679). Juga disebut oleh Ibn Battah dalam al-Ibanah al-Kubra (1/193), Ibn Hazm dalam al-Ihkam (6/147) dan al-Ghazali dalam al-Mustasfa (1/193).

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita kefahaman dalam agama dengan sebenar-benarnya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Mazahib Ahl al-Sunnah oleh Ibn Syahin, no. 38, hlm 40;  Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply