Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Bolehkah mengebumikan jenazah bayi di atas pusara tokwannya? Bayi tersebut lahir masa usia kandungan ibunya 37 minggu. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Mati ialah pengakhiran hidup manusia di dunia ini dan merupakan satu proses perpindahan roh ke alam seterusnya, iaitu alam barzakh. Mati merupakan satu proses terpisahnya ruh daripada jasad. Kematian akan dirasai oleh jasad yang bernyawa apabila tiba masa yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Setiap makhluk pasti akan mati. Firman Allah SWT:
كُلُّ نَفْسٍ ذَائِقَةُ الْمَوْتِ ۖ ثُمَّ إِلَيْنَا تُرْجَعُونَ
Maksudnya: “Tiap-tiap diri (sudah tetap) akan merasai mati, kemudian kamu akan dikembalikan kepada Kami (untuk menerima balasan).”
(Surah al-Ankabut: 57)
Ibn Kathir menyatakan: Iaitu di mana sahaja kamu berada, nescaya kematian akan mendatangi kamu. Maka, hendaklah kamu berada dalam ketaatan kepada Allah. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/197).
Apabila seseorang sudah tiba ajalnya, maka tidak dapat lagi diundurkan atau dipercepatkan walaupun sesaat. Firman Allah SWT:
وَلِكُلِّ أُمَّةٍ أَجَلٌ ۖ فَإِذَا جَاءَ أَجَلُهُمْ لَا يَسْتَأْخِرُونَ سَاعَةً ۖ وَلَا يَسْتَقْدِمُونَ
Maksudnya: “Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan.”
(Surah al-A‘raf: 34)
Pada asasnya, bayi yang berusia 37 minggu sudah ditiupkan roh atau bernyawa. Ini kerana menurut para ulama, ketika usia janin 120 hari atau lebih kurang 4 bulan, janin tersebut sudah ditiupkan roh dan berkemungkinan besar untuk hidup. Ini berdasarkan riwayat daripada Ibn Mas‘ud R.A, Nabi SAW bersabda:
إنَّ أَحَدَكُم يُجْمَعُ خلقُهُ فِيْ بَطْنِ أُمِّهِ أَرْبَعِيْنَ يَوْمًا نُطْفَةً، ثُمَّ يَكُوْنُ عَلَقَةً مِثْلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يَكُوْنُ مُضْغَةً مِثلَ ذَلِكَ، ثُمَّ يُرْسَلُ إِلَيْهِ الْمَلَكُ فيَنْفُخُ فِيْهِ الرُّوْحَ، وَيُؤْمَرُ بِأَرْبَعِ كَلِمَاتٍ: بِكَتْبِ رِزْقِهِ، وَأَجَلِهِ، وَعَمَلِهِ، وَشَقِيٌّ أَوْ سَعِيْدٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya kamu dikumpulkan penciptaannya dalam perut ibunya selama 40 hari dalam bentuk nutfah, kemudian menjadi ‘alaqah (segumpal darah) selama itu juga. Kemudian menjadi mudhghah (segumpal daging) selama itu juga. Kemudian diutus seorang malaikat kepadanya untuk meniupkan ruh kepadanya, dan ditetapkan empat takdir, takdir rezekinya, ajalnya, amalnya, dan celaka ataukah bahagianya.”
Riwayat Muslim (6893) dan Ahmad (3624)
Lalu sekiranya bayi atau janin tersebut meninggal dunia, jenazahnya hendaklah diuruskan sebagaimana jenazah orang dewasa. Ini sebagaimana yang disebutkab oleh al-Khatib al-Syirbini bahawa janin yang gugur yang tidak diketahui tanda hidupnya dan tidak jelas rupa bentuknya (seperti manusia), maka tidak boleh untuk didirikan ke atasnya solat jenazah, dan begitu juga tidak wajib untuk memandikannya. Akan tetapi disunatkan untuk menutupinya dengan kain dan mengebumikannya tanpa melakukan kedua-dua perkara tadi (iaitu solat dan mandikan). Namun, jika diketahui tanda hidupnya dengan suara teriakan atau selainnya, atau jelas tanda-tanda kehidupannya seperti menggigil atau bergerak-gerak, maka hukumnya seperti mana orang dewasa. Dalam erti kata lain, dia hendaklah dimandikan, dikafankan dan disolatkan serta dikebumikan kerana tanda hidup dan matinya telah wujud secara pasti. Jika tidak diketahui hidupnya tetapi terzahir rupa bentuk sebagai manusia, maka wajib untuk mempersiapkannya (yakni dimandikan, dikafankan dan dikebumikan) tanpa disolatkan. (Lihat al-Iqna‘ fi Halli Alfaz Abi Syuja‘, 1/290).
Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama membahaskan tentang saiz liang lahad bagi mengebumikan jenazah termasuklah jenazah bayi atau janin. Secara umumnya, saiz atau kedalaman liang lahad hendaklah yang dapat menutupi bau jenazah dan melindunginya daripada dimakan oleh binatang buas. Berkenaan hal ini, Syeikh al-Nawawi al-Bantani menyatakan:
حُفْرَةٌ تَكْتُمُ رَائِحَةً وَتَحْرُسُهُ مِنْ السِّبَاعِ وَأَكْمَلَهُ قَامَةً وَبَسْطَةً وَيُوضَعُ خَدُّهُ عَلَي التُّرَابِ وَيَجِبُ تَوْجِيهُهُ إِلَى الْقِبْلَةِ
Maksudnya: “Lubang liang lahad itu mestilah yang dapat menutupi bau jenazah dan dapat menjaganya daripada binatang buas. Liang yang sempurna adalah dengan ukuran sedalam kadar seorang yang berdiri sambil mengangkat tangan, kemudian diletakkan pipi jenazah atas tanah dan wajib menghadapkannya ke arah kiblat.” (Lihat Kasyifah al-Saja, hlm. 106-107).
Di dalam Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh Manhaj al-Tullab (1/635) dijelaskan lafaz “قَامَةً وَبَسْطَةً” iaitu dengan kadar 4 hasta setengah. Ada juga dalam kalangan ulama yang berpendapat, 3 hasta setengah, tetapi ukuran yang muktamad adalah 4 hasta setengah.
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat tidak mengapa jenazah bayi atau janin dikebumikan di atas kubur tokwannya atau warisnya kerana ia tidak menyalahi syarat pengebumian dalam Islam. Ia juga tidak termasuk dalam pengharaman mengebumikan dua jenazah dalam satu liang lahad kerana kedua-dua jenazah tersebut dikebumikan dalam liang lahad masing-masing.
Akan tetapi liang lahad tersebut hendaklah digali dengan kedalaman yang sesuai mengikut umur dan saiz jenazah bayi tersebut, yang dapat menutupi baunya dan melindunginya daripada binatang buas. Hal ini selari sebagaimana riwayat daripada Hisyam bin ‘Amir bahawa Nabi SAW bersabda:
احْفِرُوا وَأَوْسِعُوا وَأَحْسِنُوا
Maksudnya: “Galilah, perluaskanlah dan perelokkanlah.”
Riwayat Ibn Majah (1560); al-Tirmizi (1713) dan Ahmad (16300). Riwayat ini telah dinilai sebagai sahih dalam Sahih Ibn Majah (1276).
Sekalipun begitu, perkara ini juga hendaklah dilihat dari sudut sejauh mana pengamalannya di sesuatu tempat, di samping kelulusan dan keizinannya daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) atau pihak yang berkaitan yang diberikan amanah untuk menguruskan hal-hal tersebut.
Kami syorkan jika di tanah perkuburan tersebut ada perkuburan yang dikhususkan untuk kanak-kanak, maka sebaik-baiknya jenazah bayi itu dikebumikan di kawasan tersebut sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf.
Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهُمْ وَارْحَمْهُمْ، وعافِهِمْ واعْفُ عَنْهُمْ
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah keampunan buat mereka, limpahkan rahmat kepada mereka, selamatkan mereka dan maafkan kesalahan mereka.”
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H