Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Benarkah di akhir zaman nanti adanya pemimpin yang jahil yang berfatwa tanpa ilmu?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini saya nyatakan firman Allah SWT terlebih dahulu:

وَلَا تَقُولُوا لِمَا تَصِفُ أَلْسِنَتُكُمُ الْكَذِبَ هَٰذَا حَلَالٌ وَهَٰذَا حَرَامٌ

Maksudnya: Dan janganlah kalian berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidah kamu: “Ini halal dan ini haram…”

(Surah al-Nahl: 116)

Pengarang al-Kasysyaf berkata: Jangan kamu berkata ini halal dan ini haram berdasarkan sifat lidah kamu yang dusta. Dengan maksud lain, jangan kamu mengharamkan atau menghalalkan semata-mata ucapan lidah kamu yang keluar dari mulut kamu tanpa ada sebarang hujah. (Lihat Tafsir al-Kasyaf, 2/598)

Hal ini juga berdasarkan sabda Nabi SAW:

إِنَّ اللَّهَ لاَ يَقْبِضُ الْعِلْمَ انْتِزَاعًا، يَنْتَزِعُهُ مِنَ الْعِبَادِ، وَلَكِنْ يَقْبِضُ الْعِلْمَ بِقَبْضِ الْعُلَمَاءِ، حَتَّى إِذَا لَمْ يُبْقِ عَالِمًا، اتَّخَذَ النَّاسُ رُؤُوسًا جُهَّالاً فَسُئِلُوا، فَأَفْتَوْا بِغَيْرِ عِلْمٍ، فَضَلُّوا وَأَضَلُّوا 

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak mencabut ilmu dengan cara menariknya dari dada-dada hamba. Akan tetapi Dia menarik ilmu dengan mematikan para Ulama. Sehinggalah apabila tidak ada para Ulama, manusia mengangkat pemimpin-pemimpin yang jahil. Apabila mereka ditanyakan, mereka memberi fatwa tanpa ilmu. Lalu mereka sesat dan menyesatkan orang lain.”  Hadis Hasan.

Riwayat al-Bukhari (100) dan Muslim (2673)

Imam al-Nawawi ketika mengulas hadis ini berkata: Hadis ini menjelaskan bahawa yang dimaksudkan dengan dicabutnya ilmu di dalam hadis-hadis sebelum ini bukanlah dengan cara memadamnya daripada dada-dada para penghafalnya. Akan tetapi, maknanya adalah dengan mematikan golongan yang memikul ilmu. Lalu orang ramai mengambil golongan yang jahil dan berhukum dengan kejahilan mereka, maka mereka pun sesat dan menyesatkan orang lain. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 16/224)

Syeikh Muhammad Abu Zahrah mengingatkan kita dengan katanya: Telah zahir dan muncul pada tahun-tahun terakhir ini ramai orang cuba menggambarkan dirinya sebagai ahli ilmu sehingga mereka menisbahkan kepadanya. Ada dalam kalangan mereka telah mendapat kepercayaan dan thiqah manusia. Ada dalam kalangan mereka yang mempunyai kedudukan di dunia. Mereka itu telah memberi fatwa kepada manusia tanpa ilmu atau sedikit ilmu sedangkan mereka tidak ada sandaran Syar’ie di samping kenyataan mereka tidaklah adanya wajah kebenaran. Mereka itulah dikatakan telah melampau terhadap diri mereka dengan fatwa yang songsang. Akan tetapi mereka menganggap diri mereka sebagai mujaddid atau ulama tahqiq atau pengkaji dan penyelidik yang hebat. (Lihat tulisan al-Fatwa fi Din Allah oleh Muhammad Abu Zahrah dalam Majallah Liwa’ al-Islam, 24 Syawwal 1376 Hijrah bersamaan 5 Mei 1957 Masihi, hlm. 110-111)

Begitu juga kami amat bimbang jika sekiranya mereka yang tidak mengetahui cuba bercakap dalam urusan-urusan yang besar yang disebut dalam golongan al-Ruwaibidhah. Anas ibn Malik dan juga Abu Hurairah R.Anhuma berkata: Sabda Rasulullah SAW:

 سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتٌ، يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ، وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ، وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ، وَيُخَوَّنُ فِيهَا الأَمِينُ، وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ، قِيلَ: وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ؟ قَالَ: الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ.

Maksudnya: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh dengan penipuan. Ketika itu pendusta dibenarkan sedangkan orang yang benar dikatakan pendusta, pengkhianat dikatakan amanah sedangkan orang yang amanah dikatakan sebagai pengkhianat. Pada ketika itu Ruwaibidhah akan berbicara.” Ada yang bertanya, “Apa yang dimaksud Ruwaibidhah?” Baginda menjawab, “Orang taaffah (bodoh, akal pendek, lalai, celaru) yang turut campur dalam urusan manusia.”

Riwayat Ibn Majah (4036) dan Ahmad (7912). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Jami’ (3650)

Para ulama’ telah menafsirkan beberapa makna bagi al-Ruwaibidhah, antaranya ialah:

  1. Al-Ruwaibidhah adalah sighah tasghir bagi Rabhidhah (رابضة) dan ta’ marbutah di akhirnya bagi menunjukkan mubalaghah. Al-Rabidhah ialah seseorang yang lemah dan tenggelam di dalam hal-hal keduniaan dan sentiasa menginginkannya. (Lihat Hasyiah al-Sindi ‘ala Ibn Majah, 2/494)
  2. Riwayat di dalam Musnad Ahmad mengatakan: Orang yang bodoh bercakap perkara umum.(Musnad Ahmad, no. hadith 7912)

III. Riwayat di dalam Syarh Musykil al-Athar: Orang yang fasiq bercakap perkara umum. (Syarh Musykil al-Athar, no. hadith 13299)

  1. Imam al-Syatibi di dalam al-‘Itisham: Orang yang bodoh dan keji bercakap berkaitan perkara umum sedangkan dia bukan ahli dalam perkara tersebut tetapi masih ingin bercakap. (Lihat al-‘Itisham, 3/100)

Semoga Allah SWT sentiasa menghidayatkan kita dan kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ وَلِّ أُمُوْرَنَا خِيَارَنَا ، وَلَا تُوَلِّ أُمُوْرَنَا شِرَارَنَا

Maksudnya: “Ya Allah! Lantiklah untuk urusan kami (pemerintahan) orang-orang yang terbaik di kalangan kami. Janganlah Engkau lantik untuk urusan kami orang-orang yang  terburuk di kalangan kami.” (Lihat Ibtihalat wa Da’awat oleh Dr Yusuf al-Qaradhawi, hlm. 68)

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply