Soalan:

Assalamualaikum Dato seri. Saya ingin bertanya, kita sedia maklum kalau bapa tidak mahu menikahkan anak perempuannya, maka perlu kepada wali hakim. Tapi kalau seorang anak perempuan tidak mahu bapanya menikahkan dia, bagaimana pula? Bolehkah kalau anaknya tidak mahu bapanya menikahkan dia dan apakah hukumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Wali ataupun dalam bahasa Arab al-Wali (الوَلِي) dari sudut Bahasa bermaksud “dekat atau hampir”. Ia disebut “waliyyahu, walyan” iaitu hampir kepadanya. Dan “wali al-Amr”, apabila berurusan dengannya dan “Tawalla al-Amr” iaitu dilantik akan dia.

Dari sudut istilah, al-Wilayah digunakan sebagai ketua yang tertinggi, qadi, tentera dan selainnya. Terdapat pelbagai maksud yang digunakan pada kalimah Wali atau Wilayah, ia juga memberi maksud sebagai wakil atau penjaga seperti yang diibaratkan sebagai wali di dalam nasab keturunan, wakil dalam pembahagian harta dan lain-lain lagi.( Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 45/135)

Wali pernikahan pula adalah orang yang menentukan sahnya akad. Akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Wali itu seperti bapa, orang yang diwasiatkan, karib kerabat yang dekat ( al-Qarib al-Ashib) , orang yang membebaskan hamba, penguasa dan raja.( Lihat al-Fiqh ‘ala al-Madzahib al-Arba’ah, 4/29)

Dalam susunan atau tertib wali perempuan yang sah mengikut Hukum Syarak adalah seperti berikut:

  • Bapa Kandung.
  • Datuk Sebelah Bapa Ke Atas.
  • Adik Beradik Lelaki Seibu-sebapa.
  • Adik Beradik Lelaki Sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Seibu-sebapa.
  • Anak Lelaki Kepada Anak Saudara Lelaki Sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Moyangnya.
  • Moyang Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Moyangnya.
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa (Sepupu lelaki).
  • Anak Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa (Sepupu lelaki).
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa.
  • Cucu Lelaki Bapa Saudara Sebelah Bapa Sebapa.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Seibu-sebapa Dengan Datuknya.
  • Anak Datuk Saudara Sebelah Bapa Sebapa Dengan Datuknya.
  • Wali Hakim (Lihat: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’e, 4/61)

Hadith yang merupakan dalil dalam menjadikan wali sebagai syarat sah bagi nikah adalah sebagaimana   yang diriwayatkan daripada Imran Bin Husain bahawa  Nabi SAW bersabda :

لَا نِكَاحَ إلَّا بِوَلِيٍّ وَلَا بِشَاهِدَي عَدْلٍ

Maksudnya: Tidak ada nikah melainkan dengan adanya wali dan juga dua orang saksi.

Riwayat al-Tirmizi (1102)

Mazhab al-Imam al-Syafi’i dan selainnya berpendapat bahawa penafian yang terdapat di dalam hadis tersebut merupakan penafian terhadap kesahihan nikah, atau di dalam  bahasa arabnya disebut نَفْيُ الصِّحَّةِ. Justeru, tanpa adanya wali mursyid ia membawa kepada implikasi tidak sahnya sesebuah pernikahan.(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 2/558)

Menjawab bagi persoalan di atas, perlu difahami terlebih dahulu menikahkan di sini bermaksud bapa bukanlah hanya sekadar wali bahkan dia yang melakukan akad nikah tersebut. 

Sekiranya bapa dari sudut keterampilan atau beberapa hal yang mempunyai kekurangan dalam soal agama maka dalam situasi ini bolehlah mewakilkan qadhi atau juru nikah yang bertauliah untuk menikahkan anak perempuannya tetapi bapa tetap menjadi wali kepada anaknya itu. Ini berdasarkan hadith yang telah dinyatakan di atas. 

Jurunikah atau wali hakim juga boleh menjalankan tanggungjawab melakukan akad nikah dengan syarat mendapat keizinan terlebih dahulu daripada bapa atau wali aqrab (terdekat) kerana bapa merupakan wali mujbir dan kedudukannya adalah yang paling atas sebagai wali bagi anak perempuannya. Ini juga berdasarkan apa yang telah dinyatakan oleh Syeikh Zainuddin al-Malibari :

تَفْوِيضُ شَخْص أَمْرَهُ إِلَى آخَر فِيمَا يَقبَلُ النِّيَابَةَ لِيَفْعَلَهُ فِي حَيَاتِهِ فَتَصِحُّ فِي كُلَّ عَقْدٍ: كَبَيْعٍ وَنِكَاحٍ إلخ..

Maksudnya: “Menyerahkan suatu urusan kepada orang lain dalam perkara yang boleh untuk diwakilkan melakukannya ketika waktu hidupnya adalah sah seperti akad jual beli, nikah dan lain-lain”. (Lihat: Fath al-Mu’in, 1/359)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dan sahih dalam memahami syariat Islam.   Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply