Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Kenapa kita diwajibkan melontar dan menjadi salah satu wajib haji ketika melaksanakan ibadat haji? Apakah hikmahnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Maksud melontar jamrah ialah dengan mengambil 7 anak batu yang kecil dan pergi ke jamrah bermula dengan jamrah Sughra, Wusta, dan Aqabah. Lontaran tersebut mestilah tertib. Imam Nawawi Rahimahullah berkata: 

Telah dinyatakan sebelum ini bahawa disunatkan untuk batu itu seperti batu yang digunakan untuk melontar, tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil. Sebahagian ashab kami menyebutkan, disunatkan cara melontarnya sepertimana lontaran pelontar. Dia meletakkan batu itu atas perut jari-jarinya (belah dalam) dan melontarnya dengan kepala jari telunjuk. Cara seperti ini tidak disebut oleh jumhur ashab kami dan kami tidak melihatnya sebagai pendapat yang terpilih. Sesungguhnya telah thabit dalam hadith sahih bahawa Rasulullah SAW melarang daripada khazf (melemparkan kerikil dengan ibu jari dan jari telunjuk).

Wajib melontar sebanyak tujuh kali dengan yang dinamakan sebagai batu dan dinamakan sebagai lontaran. Melontar hendaklah dilakukan dengan tujuh biji batu dengan sebiji-sebiji hingga cukup semuanya (sebanyak tujuh biji). Sekiranya dia meletakkan sahaja batu ke dalam tempat lontaran, maka ia tidak dikira kerana ia tidak dinamakan sebagai lontaran. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 300)

Dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: Begitu juga di Mina ketika berada di tiga jamrah, mereka dapat merasakan keadaan Nabi Ibrahim AS melawan syaitan, menentang suruhannya, dan membalingnya dengan anak-anak batu. 

Syeikh Sya’rawi dalam al-Haj al-Akbar berkata: Kamu pergi untuk rejam syaitan di mana yang paling besar (Jamrah al-Aqabah/Kubra ) dahulu kerana dia memperdayakan aqidah manusia. Ini kerana kemuncaknya terkhusus kepada syaitan yang besar kerana zuriat syaitan atau iblis dan juga syaitan dikalangan jin atau manusia pada adatnya tidak mampu untuk menguasai manusia dalam perkara kecil. 

Seterusnya beliau berkata: Rejaman ini sebagai simbolik semata-mata, ini kerana apabila kamu menang melawan syaitan seolah-olah kamu berkata, “Allah melaknat kamu hingga ke Hari Kiamat.” 

Imam al-Nawawi dalam al-Idhah berkata: Antara hikmah melontar ialah asal ibadat sebagai ketaatan. Ibadah semuanya sudah tentu mempunyai banyak makna. Ini kerana syara’ tidak perintahkan sesuatu dengan main-main atau secara gurauan. Makna ibadat kadang-kadang difahami oleh mukallaf dan kadang-kadang tidak difahami. Hikmah pada solat untuk melahirkan khusyu’, tawaduk, kepatuhan dan menzahirkan kefakiran kepada Allah SWT. Hikmah puasa pula ialah memecahkan nafsu syahwat. Hikmah zakat pula ialah pengorbanan kepada yang berhajat. 

Berkenaan dengan haji, hikmahnya ialah seseorang hamba datang dalam keadaan kusut masai dan berdebu kerana jauhnya perjalanan ke Ka’bah yang Allah muliakannya dan lebihkannya sama seperti hamba datang kepada Tuhannya dalam keadaan hina. Daripada ibadat yang tidak difahami makna dan hikmahnya ialah bersa’ie dan melontar yang ditaklifkan hamba dengan melontar untuk menyempurnakan ibadat. Jenis ini tiada habuan dan bahagian bagi nafsunya. Begitu juga akan tidak boleh menerimanya. Justeru ia tidak diandaikan kecuali semata-mata mengikut arahan dan menyempurnakan kepatuhan, ini isyarat yang ringkas difahami daripadanya hikmah pada semua ibadat. (Lihat al-Taudhih Syarh al-Idhah, hlm. 341)

Syeikh Muhammad Soleh al-Uthaimin dalam Majmu’ Fatawa 22/132-133 berkata: Sebenarnya ramai orang menyangka melontar jamrah adalah melontar syaitan, dengan sebab itu sikap mereka begitu keras dan menunjukkan amarah yang amat sangat disamping memaki hamun dan bertempik serta melaknat justeru, ini merupakan kejahilan yang nyata kerana lontaran di jamrah merupakan acara ibadat yang besar. Daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّمَا جُعِلَ الطَّوَافُ بِالْبَيْتِ وَبِالصَّفَا وَالمَرْوَةِ وَرَمْيُ الْجِمَارِ لِإِقَامَةِ ذِكْرِ اللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ

Maksudnya: “Sesungguhnya tawaf yang dilaksanakan di Baitullah, sa’ie di antara bukit Safa dan Marwah, dan melontar jamrah disyariatkan hanyalah untuk mengingati Allah SWT.”

Riwayat Abu Daud (1888) dan al-Tirmizi  (902). Hadith ini dikatakan sahih oleh al-Tirmizi dan juga telah ditashihkan oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. 

Inilah maksud dan hikmah daripada lontaran pada jamrah kerana ini manusia bertakbir ketika melontar setiap anak batu semata-mata untuk membesarkan Allah yang mensyariatkan lontaran.

Semoga Allah SWT kurniakan kepada kita satu hari nanti untuk dapat melaksanakan ibadat haji. Amin.

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply