Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimanakah untuk kita istiqamah dalam kebaikan? Kadang-kadang kita nak berbuat baik tapi sekejap sahaja kemudian berhenti daripada melakukannya. Kemudian apabila ingin berbuat baik semula amat susah. Bolehkah Dato’ Seri beri nasihat atau tip dalam hal ini?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda SAW, para sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ وَمَن تَابَ مَعَكَ وَلَا تَطْغَوْا ۚ إِنَّهُ بِمَا تَعْمَلُونَ بَصِيرٌ

Maksudnya: Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan hendaklah orang-orang yang rujuk kembali kepada kebenaran mengikutmu berbuat demikian; dan janganlah kamu melampaui batas hukum-hukum Allah; sesungguhnya Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan.

(Surah Hud: 12)

Pertamanya saya ucapkan syabas kerana ingin beristiqamah yang menjadi tuntutan Islam kepada kita. Istiqamah pada bahasa dengan maksud berdiri teguh, terus-menerus, konsisten dan iltizam yang kukuh. 

Saidina Umar RA pernah berkata, “Istiqamah ialah tetap dalam menurut perintah serta menjauhi larangan dan tidak menyimpang dari-Nya.”

Daripada Sufyan bin Abdillah al-Thaqafi, dia berkata kepada Rasulullah SAW:

يَا رَسُولَ اللَّهِ، قُلْ لِي فِي الْإِسْلَامِ قَوْلًا لَا أَسْأَلُ عَنْهُ أَحَدًا بَعْدَكَ، قَالَ: قُلْ: آمَنْتُ بِاَللَّهِ، ثُمَّ اسْتَقِمْ

Maksudnya: “Ya Rasulullah, beritahu saya dalam Islam perkataan yang saya tidak akan bertanya kepada siapa pun setelahmu. Baginda bersabda: Katakanlah: ‘Aku beriman kepada Allah’, kemudian istiqamahlah (pada suruhan dan larangan-Nya).”

Riwayat Muslim (38)

Imam al-Nawawi menaqalkan kalam al-Qadhi Iyyad mengenai hadith ini, katanya bahawa ini antara salah satu contoh jawami‘ al-kalim (perkataannya ringkas tetapi mempunyai makna yang mendalam) bagi Rasulullah SAW. Hadith ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam Surah al-Ahqaf ayat 13:

إِنَّ الَّذِينَ قَالُوا رَبُّنَا اللَّهُ ثُمَّ اسْتَقَامُوا فَلَا خَوْفٌ عَلَيْهِمْ وَلَا هُمْ يَحْزَنُونَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan berkata: “Tuhan kami ialah Allah”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul (dengan pengakuan iman dan tauhidnya itu), maka tidak ada kebimbangan (dari sesuatu yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”

Ayat ini bermaksud, tauhidkanlah Allah dan berimanlah dengan-Nya, kemudian istiqamahlah dan jangan menyimpang daripada tauhid. Dan lazimilah dalam mentaati perintah Allah sehingga akhir hayat. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 2/9)

Dalam meraih dan menghasilkan istiqamah, banyak cara boleh kita lakukan antaranya:

  • Mempunyai ilmu yang mantap dengan cara melazimi majlis ilmu. 
  • Memilih sahabat dan rakan taulan yang beristiqamah.
  • Menghayati dan menekuni sirah dan sejarah orang-orang yang beristiqamah di sepanjang zaman.
  • Sentiasa mujahadah dalam melawan hawa nafsu.
  • Memperbanyakkan zikrullah, istighfar dan selawat ke atas Nabi SAW.
  • Sentiasa berdoa memohon istiqamah dan tetap pendirian dalam perkara yang baik.
  • Lakukanlah pelbagai ibadat selain daripada yang wajib dengan yang sunat agar Allah SWT kurniakan kebaikan, taufik, hidayah serta sentiasa ingin melakukannya.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

 رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.

Suran al-Baqarah (250)

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply