Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada seorang sahabat, abangnya telah bersekedudukan tanpa akad perkahwinan yang sah dengan seorang wanita lebih daripada 17 tahun dan telah mempunyai anak seramai 9 orang. Hanya seorang sahaja daripada 9 anak tersebut yang dijadikan sebagai anak angkat oleh ibu kami (nenek bagi anak itu). Jabatan Agama Islam seakan lepas tangan sahaja daripada kes ini kerana sudah melarat.

Persoalannya, bagaimanakah cara untuk menghalalkan hubungan tersebut dan menyelesaikan masalah yang berlaku?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الزِّنَا ۖ إِنَّهُ كَانَ فَاحِشَةً وَسَاءَ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan).”

(Surah al-Isra’: 32)

Imam Ibn Kathir mengatakan bahawa Allah SWT melarang para hamba-Nya daripada melakukan zina dan juga perkara yang mendekatkan kepada zina, serta bergaul dengan perkara yang boleh menyebabkan zina dan mendorong kepadanya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, (5/72)

Islam amat menitik beratkan pengharaman zina ini kerana ia boleh merosakkan satu maqasid (tujuan) utama pensyariatan agama, iaitu hifz al-nasl (menjaga keturunan). Hal ini kerana, antara kesan buruk yang sangat memberi kesan besar daripada penzinaan tersebut adalah hilangnya hak pewarisan harta dan anak tersebut tidak boleh dinisbahkan dengan ‘Bin’ atau ‘Binti’ kepada lelaki yang berzina tersebut. Fatawa al-Lajnah al-Da’imah menyebutkan bahawa jika persetubuhan berlaku dengan cara zina dan bukan akad nikah yang sahih, maka anak yang lahir daripada persetubuhan tersebut tidak boleh dinisbahkan kepada lelaki tersebut, dan kesannya adalah anak tersebut tiada hak pewarisan harta. (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 20/387)

Antara inisiatif yang boleh diambil oleh keluarga terdekat kepada abang saudara yang bertanya, bagi membantunya untuk menyelesaikan masalah yang berlaku adalah seperti berikut:

Pertamanya, nasihatkan abang dan wanita tersebut untuk bertaubat dan memperbanyakkan istighfar. Ajarkan padanya penjagaan solat 5 waktu dengan sempurna, kerana solat ini mampu menjadi menghalang seorang mukmin itu daripada perlakuan yang keji dan mungkar. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ ۗ

Maksudnya: “Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar.”

(Surah al-‘Ankabut: 45)

Imam Ibn Kathir menaqalkan kalam Ibn ‘Aliyah ketika menafsirkan ayat di atas, beliau menyatakan bahawa solat itu mempunyai 3 ciri, jika solat itu tidak mempunyai 3 ciri ini maka solat itu tidak sempurna; Ikhlas, taqwa, dan mengingati Allah SWT. Ikhlas mampu mendorong seseorang untuk melakukan kebaikan, taqwa pula mencegah dia daripada kemungkaran, dan mengingati Allah SWT pula mendorong untuk melakukan kebaikan dan mencegah kemungkaran. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 6/255)

Kemudian, suruhlah abang tersebut untuk melaksanakan pernikahan yang sah berlandaskan syara‘. Hal ini kerana tiada akad lain yang boleh menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram melainkan perkahwinan. Oleh yang demikian, Allah SWT menyifatkannya sebagai satu ikatan yang kuat (مِيثَاقاً غَلِيظًا). Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَأَخَذْنَ مِنْكُمْ مِيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “Mereka (para wanita itu) telah mengambil perjanjian yang berat dari kamu.”

(Surah al-Nisa’: 21)

Syeikh Mutawalli al-Sya‘rawi menyebutkan ketika menafsirkan (مِيثَاقاً غَلِيظًا) bahawa dengan ikatan perkahwinan ini, akan dihalalkan bagi wanita perkara-perkara yang tidak pernah dihalalkan baginya melainkan dengan ikatan ini. Hal yang demikian kerana termasuklah dalam ikatan ini keharusan melihat aurat, yang mana ia merupakan perkara yang berat (غَلِيظٌ). Jika sekiranya perkahwinan itu bukanlah satu ikatan yang berat, maka Allah SWT tidak akan menghalalkan melihat aurat. Kerana itulah Allah SWT menyebutkan (وَقَدْ أَفْضَىٰ بَعْضُكُمْ إِلَىٰ بَعْضٍ), ifdha’ (إِفْضَاءٌ) yang bermaksud pendedahan (kerana dibenarkan mendedahkan aurat antara suami isteri).[1]

Pernikahan itu pula perlulah didaftarkan dengan Pejabat Agama Islam negeri masing-masing bagi mengesahkan akad yang telah dilangsungkan tersebut menepati rukun dan syarat-syarat nikah yang telah ditetapkan oleh syara‘. Ia juga bagi memastikan tidak berlakunya sebarang pengkhianatan atau kezaliman terhadap pasangan masing-masing sekiranya berlakunya sesuatu yang tidak diingini seperti perihal cerai, bilangan talak, rujuk, dan hak kedua-dua pihak jika berlaku kematian.

Seterusnya, perlu diingatkan bahawa anak-anak yang dikurniakan tersebut merupakan anugerah dan amanah daripada Allah SWT. Mereka berhak diberikan keperluan asas kehidupan yang selayaknya seperti kewarganegaraan dan pendidikan. Allah SWT berfirman:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَخُونُوا اللَّهَ وَالرَّسُولَ وَتَخُونُوا أَمَانَاتِكُمْ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan RasulNya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedang kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Anfal: 27)

Ini juga berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Umar R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

وَالرَّجُلُ رَاعٍ عَلَى أَهْلِ بَيْتِهِ، وَهُوَ مَسْئُولٌ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Dan seorang lelaki adalah pemimpin kepada keluarganya dan dia akan ditanya berkaitan perihal mereka (ahli keluarganya).”

Riwayat Muslim (1829)

Dengan selesainya pendaftaran kewarganegaraan, anak-anak akan lebih mudah untuk mendapatkan peluang pengajian di sekolah-sekolah bantuan kerajaan. Ini juga penting kerana ia bertepatan dengan konsep maqasid syari‘ah hifz al-‘aql (memelihara akal) dengan diberikan kepada anak-anak tersebut sekurang-kurangnya pendidikan asas. Ini juga seperti yang termaktub di dalam pindaan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) pada tahun 2002, di dalam Subseksyen 29A (1), (2), (3) dan (4) yang menyatakan kewajiban pendidikan sekolah rendah bagi kanak-kanak di Malaysia.

Kesimpulan

Kami nasihatkan, jauhilah daripada mendekatkan diri dengan perkara yang boleh menjerumuskan diri ke dalam kancah perzinaan. Jika seseorang cenderung hatinya ke arah mana-mana wanita, pilihlah jalan yang telah ditetapkan oleh syara‘ iaitu dengan akad perkahwinan yang sah.

Dan ingatlah, setiap orang diperintahkan oleh Allah SWT untuk melakukan yang makruf dan menghalang dari kemungkaran. Barang siapa yang tidak melakukan demikian, maka bagi mereka ancaman yang besar. Ini thabit di dalam hadith yang diriwayatkan daripada Hudzaifah bin al-Yaman R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَتَأْمُرُنَّ بِالْمَعْرُوفِ وَلَتَنْهَوُنَّ عَنِ الْمُنْكَرِ أَوْ لَيُوشِكَنَّ اللَّهُ أَنْ يَبْعَثَ عَلَيْكُمْ عِقَابًا مِنْهُ ثُمَّ تَدْعُونَهُ فَلاَ يُسْتَجَابُ لَكُمْ

Maksudnya: “Demi Zat yang jiwaku ada di dalam genggaman kekuasaanNya, lakukanlah amal ma’ruf dan cegahlah kemungkaran, atau Allah akan mengirimkan seksa kepada kamu semua dari sisinya, kemudian engkau memanjatkan doa kepada-Nya tetapi tidak akan diperkenankan lagi.”

Riwayat al-Tirmizi (2169)

Akhir kalam, kami nasihatkan kepada kaum kerabat terdekat bagi abang saudara yang bertanya, atau rakan-rakannya untuk sentiasa menasihatkannya sehinggalah dia ingin berubah dan kembali melakukan seperti mana yang diperintahkan oleh Allah SWT. Ingatlah, bahawa tolong menolong ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran ini juga termasuk dalam tanggungjawab kita sebagai muslim. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”

(Surah al-Ma’idah: 2)

Al-Baghawi menjelaskan ketika menafsirkan ayat di atas, lafaz “الْإِثْمُ” adalah merujuk kepada kekufuran, manakala lafaz “الْعُدْوَانُ” pula merujuk kepada kezaliman. Namun, ada juga dalam kalangan ulama yang berpendapat, lafaz “الْإِثْمُ” merujuk kepada perkara maksiat, manakala lafaz “الْعُدْوَانُ” pula merujuk kepada perkara bidaah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 2/9).

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

[1] Lihat https://www.youtube.com/watch?v=MCNayNyS7Iw.

Leave a Reply