Soalan:

Apakah hukumnya menonton filem atau video secara online di internet? Filem dan video tersebut mempunyai hakcipta seperti filem-filem dari hollywood. Filem-filem tersebut diupload di youtube tanpa kebenaran pemilik hakciptanya oleh individu tertentu yang bertujuan untuk berkongsi. Filem-filem tersebut untuk tontonan secara atas talian sahaja, untuk persendirian dan bukan untuk didownload. Apakah hukumnya kita menonton filem-filem berhakcipta tersebut di youtube atau secara atas talian? Terima kasih Dr

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Cetak Rompak

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, cetak rompak bermaksud perbuatan menerbitkan hasil cipta/karya orang lain tanpa kebenaran dan membayar royalti kepada mereka. Hal ini akan menyebabkan penerbit filem tidak mendapat keuntungan yang sepatutnya.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Selain itu, Nabi SAW turut bersabda:

كُلُّ الْمُسْلِمِ عَلَى الْمُسْلِمِ حَرَامٌ، دَمُهُ، وَمَالُهُ، وَعِرْضُهُ

Maksudnya: “Hak setiap muslim ke atas muslim yang lain adalah haram (baginya mencerobohi) maruahnya, hartanya dan darahnya.”

 Riwayat Muslim (2564)

Hadis ini menunjukkan kewajipan seseorang muslim terhadap saudaranya yang lain, iaitu haram ke atasnya untuk menumpahkan darah saudara muslim yang lain dan mencerobohi hartanya seperti mencuri atau merompak atau menipu dalam urusan jual beli. ( Lihat al-Adab al-Nabawi, 1/137)

Justeru, secara asasnya, setiap individu Muslim diharamkan daripada mengambil dan menggunakan harta orang lain tanpa kebenaran pemiliknya.

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum menonton filem yang mempunyai hak cipta secara cetak rompak adalah haram. Hal ini kerana ia merupakan hak cipta orang lain dan boleh disabitkan di bawah Seksyen 41 (3) Akta Hak Cipta 1987 yang mana jika disabitkan kesalahan, boleh didenda tidak kurang RM10,000 dan tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun,” Namun, jika sekiranya pemilik filem berkenaan membenarkannya bagi tujuan promosi dan seumpamanya, maka hukumnya adalah dibolehkan.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply