Soalan:

Assalamualaikum Datuk. Saya seorang pengamal undang-undang syariah mahu mendapatkan kepastian. Apakah isteri yang diceraikan dengan khulu’ (tebus talak) hanya layak mendapat nafkah tempat tinggal sahaja sepanjang tempoh iddahnya atau sebaliknya? terima kasih ustaz.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Khulu’ bermaksud perpisahan antara suami isteri dengan sesuatu gantian (bayaran) yang diberikan oleh isteri kepada suami dengan lafaz talak atau khulu’. Umumnya, masyarakat Malaysia lebih maklum dengan istilah ‘tebus talak’.

Firman Allah SWT:

الطَّلَاقُ مَرَّتَانِ  فَإِمْسَاكٌ بِمَعْرُوفٍ أَوْ تَسْرِيحٌ بِإِحْسَانٍ  وَلَا يَحِلُّ لَكُمْ أَن تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا إِلَّا أَن يَخَافَا أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ  فَإِنْ خِفْتُمْ أَلَّا يُقِيمَا حُدُودَ اللَّـهِ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْهِمَا فِيمَا افْتَدَتْ بِهِ  تِلْكَ حُدُودُ اللَّـهِ فَلَا تَعْتَدُوهَا  وَمَن يَتَعَدَّ حُدُودَ اللَّـهِ فَأُولَـٰئِكَ هُمُ الظَّالِمُونَ ﴿229﴾ فَإِن طَلَّقَهَا فَلَا تَحِلُّ لَهُ مِن بَعْدُ حَتَّىٰ تَنكِحَ زَوْجًا غَيْرَهُ 

Maksudnya: “Talak (yang boleh dirujuk kembali itu hanya) dua kali. Sesudah itu bolehlah ia (rujuk dan) memegang terus (isterinya itu) dengan cara yang sepatutnya atau melepaskan (menceraikannya) dengan cara yang baik dan tidaklah halal bagi kamu mengambil balik sesuatu dari apa yang telah kamu berikan kepada mereka (isteri-isteri yang diceraikan itu) kecuali jika keduanya (suami isteri takut tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan aturan-aturan hukum Allah, maka tidaklah mereka berdosa – mengenai bayaran (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya (dan mengenai pengambilan suami akan bayaran itu). Itulah aturan-aturan hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar aturan-aturan hukum Allah, maka mereka itulah orang-orang yang zalim. Sesudah (diceraikan dua kali), itu jika diceraikan pula (bagi kali yang ketiga) maka perempuan itu tidak halal lagi baginya sesudah itu, sehingga ia berkahwin dengan suami yang lain.”

(Surah al-Baqarah: 229-230)

Perbezaan antara talak biasa dan khulu’ ialah talak berlaku dengan kehendak suami manakala khulu’ berlaku dengan kemahuan isteri dan nekad untuk bercerai disertai dengan gantian atau pampasan. Oleh itu, dia disyariatkan untuk menebus diri daripada suaminya, dengan gantian memberi suatu kadar jumlah daripada mas kahwin yang dipersetujui bersama. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/127)

sekiranya telah berlaku tiga kali penceraian secara khulu’ maka haram untuk lelaki itu menikahi isterinya selagi wanita itu tidak berkahwin dengan lelaki lain. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 4/202)

Menjawab bagi persoalan di atas,   pertamanya kami nyatakan di sini pada asalnya diharamkan bagi perempuan meminta cerai tanpa ada sebab-sebab yang diharuskan. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.anhu bahawa Rasulullah SAW bersabda :

المختلِعاتُ هنَّ المنافقاتُ

MaksudnyaWanita-wanita yang memintai cerai dengan mengembalikan hak-haknya adalah munafik.

Riwayat Nasa’i (3461)

Dalam isu ini kami berpandangan wanita yang yang diceraikan dengan cara khulu’ masih lagi lagi mendapat nafkah tempat tinggal dalam tempoh iddahnya sekiranya dia sedang hamil iaitu sehingga dia melahirkan anak. Ini juga merupakan Ijma’ para ulama dan merupakan pandangan daripada  mazhab Maliki, Syafi’e dan Ibn Hazm. (Lihat Mausu’ah al-Ijma’ Fi Fiqh al-Islami,3/458 )

Ibn al-Qudamah menyatakan dalam kitabnya al-Mughni : Apabila seorang lelaki menceraikan isterinya  yang sedang hamil dengan talak bain, maka talak itu mungkin terjadi dalam tiga bentuk  iaitu talak yang telah dijatuhkan tiga kali, atau melalui fasakh (pembatalan pernikahan ), atau secara khulu’ (tebus talak). Maka, dia berhak mendapat nafkah  tempat tinggal, menurut kesepakatan para ulama. (Lihat al-Mughni, 11/402) . Ini berdasarkan firman Allah SWT :

 

أَسْكِنُوهُنَّ مِنْ حَيْثُ سَكَنْتُمْ مِنْ وُجْدِكُمْ وَلَا تُضَارُّوهُنَّ لِتُضَيِّقُوا عَلَيْهِنَّ وَإِنْ كُنَّ أُولَاتِ حَمْلٍ فَأَنْفِقُوا عَلَيْهِنَّ حَتَّى يَضَعْنَ حَمْلَهُنَّ

Maksudnya: Tempatkanlah isteri-isteri (yang menjalani idahnya) itu di tempat kediaman kamu sesuai dengan kemampuan kamu; dan janganlah kamu adakan sesuatu yang menyakiti mereka (di tempat tinggal itu) dengan tujuan hendak menyusahkan kedudukan mereka (supaya mereka keluar meninggalkan tempat itu). Dan jika mereka berkeadaan sedang mengandung, maka berikanlah kepada mereka nafkahnya sehingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya;

(Surah al-Talak: 6)

Manakala wanita yang diceraikan secara khulu’ dalam keadaan dia tidak hamil maka tidak ada baginya nafkah kerana terpisahnya ikatan perkahwinan tersebut disebabkan olehnya. Ini merupakan pendapat mazhab Maliki, Syafi’i, dan Hanbali.

Al-Nawawi menyatakan : Wanita yang diceraikan dengan cara khulu’ atau talak tiga maka tiada baginya nafkah walaupun nafkah pakaian. (Lihat Raudhah al-Talibin, 9/6)

Al-Qairawani juga menyatakan : Tiada nafkah bagi wanita yang diceraikan secara khulu’ kecuali dia hamil. Begitu juga yang diceraikan secara lia’n dan  bagi perempuan yang kematian suami. (Lihat al-Risalah, Hlm.100)

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam beragama dan kami akhiri perbahasan ini dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Bertarikh: 27 Jun 2023 bersamaan 8 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply