Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada kemusykilan mengenai makan makanan yang diseludup secara haram iaitu tidak membayar cukai yang ditetapkan. Apakah hukum membeli makanan tersebut dan memakannya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab isu ini, kewajipan rakyat ialah mentaati pemerintah. Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada Rasul serta (taatlah) kepada ulil amri dari kalangan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 59)

Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya‘rawi menyatakan, suruhan taat kepada pemerintah disertakan dengan ketaatan kepada Allah dan juga ketaatan kepada Rasulullah SAW. Hal ini menunjukkan bahawa ketaatan kepada pemerintah perlulah pemerintah itu didasari dengan ketaatan kepada Allah dan Rasulullah SAW supaya dengan itu masyarakat akan terpelihara dengan keimanan dan daripada penindasan terhadap rakyat di bawahnya.

Justeru itu, setiap pemerintah itu dituntut untuk menunaikan amanah dengan sempurna dan setiap pemerintah itu juga dituntut agar mereka sentiasa mentaati Allah dan Rasul-Nya. Sekiranya ini tidak berlaku, maka mereka itu akan digelar sebagai pemerintah yang zalim. (Lihat Tafsir al-Sya‘rawi, 2360/4).

Secara umumnya, para ulama berbeza pendapat berkenaan hukum mengutip cukai dalam Islam. Ada yang membenarkannya dan ada juga yang mengharamkannya. Ringkasnya, sumber pendapatan negara yang dikutip daripada rakyat dibahagikan kepada dua iaitu zakat dan cukai. Isu cukai adalah isu siyasah syar’iyah yang bergantung kepada maslahah yang berbeza-beza antara sesebuah negara dengan negara yang lain dan maslahah pada sesuatu zaman berbanding zaman yang lain.

Cukai yang tidak berasaskan maslahah yang dibenarkan oleh Syarak dan juga terdapatnya penindasan atau kezaliman dalam mengambil cukai maka hukumnya adalah haram. Oleh itu, jika Kerajaan sesebuah pemerintahan mengutip cukai bagi memenuhi maslahah daruriyat dan hajiyat rakyat, seperti untuk memenuhi tanggungjawab sosial dan kepentingan rakyat serta untuk keperluan jihad fi sabilillah, maka ia adalah dibenarkan. Ini dilihat selari dengan kaedah fiqh yang menyebutkan:

الشَّرِيعَةُ وُضِعَتْ لِمَصَالِحِ العِبَادِ وَدَرْءِ الـمَفَاسِدِ عَنْهُمْ

Maksudnya: “Syariat itu dibina atas dasar memenuhi maslahat manusia dan menjauhkan mafsadah daripada mereka.”

Tidak dapat dinafikan, apabila kerajaan mengutip cukai daripada rakyat, wujud kemudharatan khusus iaitu harta milik rakyat akan berkurangan. Namun, jika cukai tidak dikutip, banyak maslahat umum tidak dapat dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Oleh itu, berdasarkan kaedah fiqh:

يُتَحَمَّلُ الضَّرَرُ الْخَاصُّ؛ لِأَجْلِ دَفْعِ ضَرَرِ الْعَامِّ

Maksudnya: “Ditanggung kemudaratan khusus untuk mengelakkan berlakunya kemudaratan umum.”

Atas dasar tersebut, kerajaan dibenarkan untuk mengutip cukai demi untuk memenuhi maslahah umum.

Selain itu, Allah SWT berfirman:

 وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ وَتُدْلُوا بِهَا إِلَى الْحُكَّامِ لِتَأْكُلُوا فَرِيقًا مِّنْ أَمْوَالِ النَّاسِ بِالْإِثْمِ وَأَنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

(Surah al-Baqarah: 188)

Ayat di atas boleh difahami bahawa, janganlah sebahagian daripada kamu memakan (mengambil) harta sebahagian yang lain dengan cara yang batil seperti sumpah yang dusta, merampas, mencuri, rasuah, riba dan lain-lain. Selain itu, janganlah kamu menyampaikan hujah-hujah yang batil kepada hakim bagi tujuan memakan harta segolongan manusia dengan cara yang salah sedangkan kamu tahu perkara itu adalah haram ke atas kamu (melakukannya). (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 29)

Kesimpulan

Berdasarkan persoalan di atas, kami katakan bahawa hukum memakan makanan tersebut tidaklah haram selagi makanan itu adalah daripada yang halal, tetapi cara ia diseludup itu adalah menyalahi undang-undang yang ditetapkan. Kami juga berpendapat bahawa membayar cukai adalah wajib kerana ia termasuk dalam mentaati ulil amri. Apatah lagi pembayaran cukai itu pula adalah salah satu daripada sumber pendapatan negara, yang mana ia juga akan digunakan bagi memenuhi keperluan maslahat negara dan rakyatnya. Hal ini bertepatan dengan kaedah:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Polisi dan tindakan pemerintah mestilah tertakluk kepada maslahah terhadap rakyat.” 

Justeru, sekiranya orang yang membeli itu tidak mengetahui bahawa makanan yang dijual itu adalah makanan yang diseludup, maka tidak menjadi kesalahan baginya untuk membeli dan memakannya.

Tetapi sekiranya dia mengetahui bahawa makanan itu merupakan makanan yang diseludup dan melanggar undang-undang pemerintah, maka kami katakan bahawa menjadi kesalahan baginya kerana membantu mereka yang melakukan kesalahan dan melanggar undang-undang. Firman Allah SWT:

وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu saling membantu dalam perkara dosa dan permusuhan.”

(Surah al-Maidah: 2)

Ibn Kathir berkata dalam mentafsirkan ayat di atas berkata: “Allah SWT melarang kamu daripada saling membantu dalam perkara yang batil, dan (juga melarang) daripada tolong-menolong dalam perkara-perkara dosa dan perkara yang diharamkan. Menurut Ibn Jarir, dosa itu adalah meninggalkan sesuatu yang Allah SWT perintahkan untuk dia lakukan. Manakala maksud al-‘udwan adalah melampaui batasan Allah di dalam agama, dan melampaui apa yang Allah SWT telah fardhukan ke atas diri kita. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/7)

Justeru, berdasarkan ayat di atas, jelas bahawa perbuatan membantu orang lain dalam melakukan perkara yang berdosa adalah diharamkan. Selain itu, terdapat satu kaedah yang turut menjelaskan perkara ini, iaitu:

إِعَانَةُ المَعْصِيَةِ مَعْصِيَةٌ

Maksudnya: “Membantu ke arah maksiat itu merupakan suatu maksiat.”(Lihat Ma`lamah Zayed li al-Qawa`id al-Fiqhiyyah wa al-Usuliyyah, no.666)

Oleh itu, walaupun seseorang itu tidak melakukan maksiat tersebut, namun perbuatannya dalam menolong orang lain untuk melakukan perbuatan maksiat akan turut dianggap sebagai maksiat.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply