Soalan:

Assalamualaikum, saya ada kemusykilan, pada tahun 2021 saya ada tinggal puasa 6 hari, sepatutnya saya menggantikan puasa tersebut pada tahun 2022. Namun demikian, pada tahun 2022, saya mengandung dan doktor tidak menggalakkan saya berpuasa atas faktor keselamatan bayi  soalan saya, fidyah yang perlu saya gandakan ialah menggantikan puasa atau  membayar fidyah atau  kedua-duanya sekali?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ ۚ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَىٰ سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ ۚ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ ۖ فَمَنْ تَطَوَّعَ خَيْرًا فَهُوَ خَيْرٌ لَهُ ۚ وَأَنْ تَصُومُوا خَيْرٌ لَكُمْ ۖ إِنْ كُنْتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “(Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin. Maka sesiapa yang dengan sukarela memberikan (bayaran fidyah) lebih dari yang ditentukan itu, maka itu adalah suatu kebaikan baginya; dan (walaupun demikian) berpuasa itu lebih baik bagi kamu daripada memberi fidyah), kalau kamu mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 184)

Al-Alusi ketika menafsirkan ayat ini beliau menyebut : Barangsiapa yang mampu untuk berpuasa tetapi dia berbuka maka wajib ke atasnya memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar makanan asasi pada setiap hari iaitu setengah sa’(gantang) gandum atau satu gantang daripada makanan-makanan yang lain mengikut kiraan ahlul I’raq atau satu gantang mengikut kiraan ahlul Hijaz. (Lihar Ruh al-Ma’ni,14/212) 

Al-Qurtubi dalam tafsirnya berkata: Ayat ini juga termasuk orang sakit dan hamil kerana kedua-duanya mampu untuk berpuasa tetapi dengan masyaqqah yang mengiringi mereka justeru jika mereka berpuasa memadai bagi mereka dan jika membayar fidyah, mereka pun memadai juga.(Lihat al-Jami’ Li Ahkam al-Quran,2/288 )

Perempuan hamil dan yang menyusukan anak diberikan keringanan untuk berbuka atau tidak berpuasa. Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh al-Siyam tidak menukilkan sebarang syarat khas untuk perempuan yang hamil untuk tidak berpuasa kerana tidak terdapat sebarang dalil mengenainya. Walaubagaimanapun, terdapat dalil umum dalam isu ini daripada hadis Anas bin Malik RA:

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنِ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلَاةِ، وَعَنِ الْمُسَافِرِ وَالْحَامِلِ وَالْمُرْضِعِ الصَّوْمَ، أَوِ الصِّيَام

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah meringankan daripada orang yang musafir dengan separuh solat dan meringankan daripada  puasa bagi perempuan hamil dan menyusukan anaknya.”

Riwayat al-Tirmidzi (715), al-Nasaie (2775) dan Ibn Majah (1667)

Imam al-Nawawi  dalam kitabnya al-Majmu’ menyatakan : Wanita yang sedang hamil dan menyusukan anak sekiranya mereka khuatir atas diri mereka sendiri jika berpuasa maka dibolehkan untuk berbuka dan menggantikannya pada hari lain dan tidak ada fidyah yang harus dibayar oleh mereka seperti  orang yang sakit. Sekiranya mereka khuatir akan anak dalam kandungan jika  mereka berpuasa maka dibolehkan bagi mereka untuk berbuka puasa dan wajib digantikan balik puasa tersebut dan dikenakan fidyah. (Lihat al-Majmu’, 6/267 )

Menjawab bagi persoalan di atas kami nyatakan di sini, para ulama’ keseluruhannya bersepakat dalam menyatakan tentang kewajiban Qadha’ puasa ramadhan yang ditinggalkan bagi orang yang mampu untuk mengqadha’kannya. Mereka wajib mengqadha’kannya sebelum tibanya ramadhan yang seterusnya. Hal ini berdasarkan hadith Aisyah R.Anha, katanya:

كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصِّيَامُ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ، فَمَا أَقْضِيَهُ حَتَّى يَجِيْءَ شَعْبَانُ

Maksudnya: “Aku masih berhutang puasa Ramadan dan aku tidak dapat menggantikannya sehingga Sya’ban tiba”

Riwayat al-Nasa’i (2319) dan Ibn Majah (1669)

Hadith ini menunjukkan perlunya qadha’ puasa ramadhan sebelum tiba Ramadan seterusnya. Sekiranya dilambatkan puasa qadha’ tanpa keuzuran sehingga bertemu ramadhan seterusnya, maka para ulama’ daripada mazhab syafie menyatakan bahawa wajib menqadha’kan puasa dan membayar fidyah. Pandangan ini disokong oleh Ibnu Umar, Abu hurairah, Mujahid, al-Thauri, Imam Malik, al-Auzaie dan Ishak. Hal ini kerana tindakannya mengambil ringan dalam melakukan perkara wajib, sedangkan dia berkemampuan untuk melakukannya. ( Lihat al-Mughni, 3/153)

Dalam isu ini kami katakan puan boleh menangguhkan dahulu ganti puasa tersebut sehingga mampu untuk menggantikannya balik dan tidak dikenakan fidyah. Ini kerana puan berada dalam keuzuran yang dibenarkan oleh syara’.

Dar al Ifta’ al-Misriyyah menyatakan : Adalah disunatkan bagi seseorang yang meninggalkan  puasa pada bulan Ramadan kerana terdapat keuzuran seperti penyakit atau sebab-sebab yang lain agar segera menggantikan puasa  tersebut apabila dia mampu melakukannya. Jika seseorang menangguhkan ganti puasa dengan keuzuran atau sebaliknya sehingga memasuki Ramadan berikutnya, maka dia hanya perlu menggantikan  puasa tersebut setelah itu dan tidak dikenakan fidyah.[1]

Salah satu ciri-ciri utama dalam syariat Islam adalah memudahkan dan tidak membebankan. Ia sebagai rahmat dan perhatian Allah SWT  terhadap keadaan hambaNYA dalam melakukan ketaatan kepadaNYA. Oleh kerana itu, hukum-hukumnya disesuaikan dengan kemampuan manusia sebagaimana firman Allah SWT :

 لَا يُكَلِّفُ اللهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah:267)

Justeru, kami nasihati supaya menyegerakan ganti puasa sebelum tibanya Ramadan yang berikutnya kerana ia merupakan hutang kepada Allah SWT. Maka, hutang kepada-NYA adalah wajib untuk di langsaikan. 

Walaupun begitu, sebagai ihtiyat boleh juga puan membayar fidyah kerana melangkaui tahun atau Ramadhan berikutnya di samping melaksanakan puasa qadha. Semoga Allah SWT kurniakan keampunan kepada kita atas taksir dan kekurangan yang ada pada kita. Amin.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau menceritakan:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya:  Adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan.”

Riwayat al-Bukhari (1953) dan Muslim (1184)

Nas di atas menunjukkan hutang Allah SWT seperti dalam kes ini puasa qadha hendaklah dilaksanakan selagi mana ia mempunyai kudrat dan kemampuan. 

Wallahua’lam

 

[1] https://www.dar-alifta.org/ar/fatawa/18377/مدى-وجوب-اخراج-الفدية-بسبب-تاخير-قضاء-رمضان-حتى-جاء-رمضان-اخ

Diakses pada 26 Jun 2023

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply