Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri terangkan keistimewaan Dr Yusuf al-Qaradhawi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Saya nyatakan disini biografi beliau secara ringkas:

Nama sebenar beliau ialah Yusuf bin Abdullah bin Ali bin Yusuf. Dilahirkan pada tahun 1926 di sebuah perkampungan Desa Saft Turab (صفط تراب), Mahallah al-Kubra, Gharbiah, Mesir. Sebutan yang tepat ialah “al-Qaradhawi” seperti yang dinyatakan dalam buku beliau, Ibnu al-Qaryah wa al- Kuttab, tetapi ahli Syam menyebutnya dengan “al-Qardhawi”. Ianya nisbah kepada perkampungan al-Qardhah (القرضة) atau al-Qardha (القرضا) di Kafr al-Syeikh, Tanta.

https://bit.ly/3SCsj6f

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut bahawa keluarga al-Qaradhawi adalah amat kecil iaitu datuknya yang dikenali sebagai al-Haj Ali al-Qaradhawi tetapi aku dapati nisbah kepada al-Qaradhawi sebagai keluarga telah tersebar ke pelusuk mesir bahkan juga terdapat di Libya. Ada yang menghantar surat kepadaku dan menyatakan keturunan Qardhawiyyah, nisbah kepada perkampungan al-Qardhah dan dikatakan bahawa asal mereka daripada keluarga `Aum iaitu keluarga yang mulia nisbah kepada Saidina Hussain.

Beliau menceritakan bahawa datuknya mempunyai dua saudara perempuan yang berkahwin juga di kampung tersebut. Adapun datuknya telah berkahwin pada kali pertama dengan seorang wanita dan mendapat seorang anak bernama Muhammad, kemudian berpisah dan datuknya berkahwin kali kedua dengan neneknya yang bernama `Aisyah. Hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan lima anak lelaki dan dua anak perempuan. Ayah beliau adalah bekerja sebagai peladang dan juga peniaga.

Pembelajarannya

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi menceritakan: “Di kampungku, penduduknya ramai dan terdapat empat tempat menghafaz al-Quran; dua daripadanya di pekan, satu di sebelah timur dan satu lagi di sebelah barat. Mula-mula aku pergi ke tempat Syeikh Yaman kerana ajakan kawan-kawan tetapi hanya sehari sahaja. Ini kerana guru tersebut amat garang dan memukul pelajar semuanya dan aku salah seorang yang dipukul dan aku pantang dipukul secara zalim tanpa sebab. Justeru aku mengambil sikap jangan dizalimi dan jangan menzalimi.

Kemudian aku pergi belajar kepada Syeikh Hamid yang begitu prihatin kepadaku dan beliau mendapati aku pelajar yang bersungguh, cepat ingatan, fasih sebutan, dan lain-lain. Itulah secebis kisah hidupku.”

Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi mendapat pendidikan awal di Kuttab (pendidikan agama) sejak berumur lima tahun dan Madrasah Ilzamiyyah ketika tujuh tahun. Sebelum usianya 10 tahun, beliau telah menghafal al-Quran sepenuhnya termasuk menghafal kitab al-Tuhfat serta menguasai ilmu tajwid. Oleh kerana keluarbiasaan, kebolehan dan bakat, beliau telah digelar sebagai ‘Sheikh Yusuf’ ketika berumur 10 tahun lagi dan dilantik menjadi imam. Beliau kemudian menyambung pengajiannya di Maahad Rendah Tanta (Madrasah Ibtidaiyyah) selama empat tahun dan di Madrasah Thanawiyyah selama lima tahun.

Beliau terkenal dengan kepintaran dan ketajaman ilmunya. Sejak kecil, beliau sentiasa mendapat tempat pertama, kecuali pada peperiksaan akhir di peringkat thanawi (pendidikan menengah), beliau mendapat tempat kedua daripada seluruh Mesir dengan perbezaan setengah markah sahaja dengan individu yang memperolehi tempat pertama.

 

Menuju ke al-Azhar

Semenjak kecil Syeikh Yusuf al-Qaradhawi sangat bercita-cita untuk menuntut di Universiti al Azhar dan cita-citanya telah tercapai apabila beliau melanjutkan pengajian di Fakulti Usuluddin, Universiti al Azhar pada 1952-1953 di mana beliau telah dipilih sebagai pelajar terbaik keseluruhan.

Beliau kemudiannya mengambil pengkhususan di Fakulti Bahasa Arab dan memperolehi ijazah Sarjana dan Diploma Pendidikan dengan pangkat kelas pertama.

Beliau juga memperolehi Diploma Bahasa Arab dan Sastera daripada Akademi Kajian Bahasa Arab Tinggi. Seterusnya, beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti al-Azhar dalam kuliah Usuluddin.

Beliau memilih Universiti al-Azhar sebagai tempat untuk menyambung pengajiannya walaupun beliau juga ditawarkan ke Dar al-Ulum, Kaherah.

Dalam keputusan yang terakhir peperiksaan, beliau telah mendapat tempat yang pertama bagi keseluruhan mahasiswa di tiga fakulti; Usuluddin, Syariah dan Bahasa Arab sedangkan ketika itu, penuntut hampir 500 orang.Itu dengan jelas menunjukkan kebijaksanaan Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Oleh kerana keadaan politik Mesir yang cukup gawat selama beberapa tahun. Beliau terpaksa menangguhkan pengajian Ph.Dnya selama 13 tahun. Akhirnya pada 1973, beliau telah berjaya memperolehi ijazah Doktor Falsafah dengan kepujian melalui tesisnya yang bertajuk “Fiqh al -Zakat”. Fiqh al- Zakat atau ‘Ensiklopedia Zakat’ ini dianggap sebagai sumbangan terpenting dalam aspek zakat pada abad ini.

Guru-Gurunya

Syeikh al-Qaradhawi mempunyai ramai guru yang cukup hebat. Sudah tentu akan membentuk peribadinya dan memantapkan pengetahuannya. Tambahan pula ketika itu Mesir mempunyai ramai tokoh yang berwibawa termasuk Syeikh al-Azhar sendiri, Syeikh Muhammad al-Maraghi yang dianggap sebagai pembaharu al-Azhar dan banyak melakukan perubahan. Beliau telah meninggal dunia pada 12 Ogos 1945 sehingga Dr. Yusuf al-Qaradhawi berkata, beliau dianggap sebagai tokoh yang paling berwibawa yang pernah menjawat Syeikh al-Azhar pada kurun ini.

Antara guru-gurunya yang terkenal ialah:

  • Syeikh Hamid Abu Zuwail
  • Syeikh Ali Khalil
  • Syeikh Muhammad Mutawalli al-Sya’rawi[1]
  • Syeikh Hasan al-Banna
  • Ustaz al-Bahi al-Khuli
  • Syeikh Mahmud al-Daftar
  • Syeikh al-Manufi
  • Syeikh Muhammad al-Ghazali[2]
  • Syeikh Sayyiq Sabiq.
  • Syeikh al-Azhar, nama sebenarnya Muhammad Abd al-Rahman al-Bisar.
  • Syeikh Muhammad Mukhtar Budair.
  • Syeikh Muhammad Ahmadain.
  • Syeikh Abdul Hamid al-Syazili.
  • Syeikh Soleh Syarraf.
  • Syeikh al-Aisawi.
  • Syeikh Muhammad Yusuf.
  • Syeikh Abdul Fattah Syahathah.
  • Syeikh Mahmud Fayyadh.
  • Syeikh Abu Zaid Syalabi.
  • Muhammad Ghallab.
  • Syeikh al-Azhar Syeikh Abd al-Halim Mahmud.
  • Syeikh Tayyib Najaz.
  • Jamaluddin.
  • Syeikh Abi al-Gharabi dan ramai lagi.

Pujian Ulama Terhadapnya

Ramai tokoh ulama dan cendekiawan Islam kontemporari yang memuji ketokohan dan keilmuan mendalam yang dimiliki oleh beliau. Lebih menarik lagi, antara pengiktirafan yang diperolehnya adalah daripada guru-gurunya sendiri. Antara pujian yang diterimanya adalah daripada:

  1. Syeikh Muhammad al-Ghazali

Beliau menyebut: “Dahulu beliau merupakan murid dan saya merupakan gurunya tetapi sekarang beliau merupakan guru dan saya menjadi muridnya pula.”

https://berita.pas.org.my/wp-content/uploads/2020/07/109349759_1550754338438080_3758025115181667708_o.jpg

  1. Maulana Abu al-Hasan ‘Ali al-Nadwi

Beliau menyifatkan Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi sebagai seorang yang benar-benar alim dan pendidik yang terkemuka. Baginya, beliau merupakan ulama lulusan Universiti al-Azhar yang bergiat dalam bidang dakwah dengan menggabungkan aspek kefahaman Islam yang benar dengan realiti dunia masa kini. Beliau menggabungkan sisi dakwah dan manhaj Hasan al-Banna dengan sisi akademik yang diperolehi di Universiti al-Azhar. Manhajnya yang menggabungkan tradisi dan moden adalah sebaik-baik manhaj.

https://quranwahadith.com/wp-content/uploads/2016/10/abul-hasan-ali-nadwi.jpg

  1. Syeikh Anwar al-Jundi

Kata beliau: “Bukan semua orang seperti al-Qaradhawi yang dikurniakan Allah penguasaan dalam penulisan dan pidato.”

http://4.bp.blogspot.com/_3I_aWdPjyV4/SiHDAb4nFyI/AAAAAAAAA04/eUsgI-Eobco/s1600/writing2.gif

  1. Syeikh Mustafa Zarqa’

Beliau berkata: “Syeikh al-Qaradhawi adalah tokoh semasa yang merupakan anugerah ilahi kepada umat Islam sekarang.”

  1. Syeikh Hasan Walad al-Dedew

Beliau berkata: “Kematiannya tidak berlaku sehingga beliau dianggap satu-satunya imam atau tokoh utama ummah. Tiadalah pada zaman sekarang ini, sehebat dan sebesar lebih daripadanya dalam penguasaan pusaka Rasulullah SAW. Maka beliau antara waris yang pertama bagi Rasulullah SAW pada zaman ini.”

https://www.okaz.com.sa/uploads/images/2018/09/28/1004041.jpg

Anugerah

Antara anugerah yang diperolehi al-Qaradhawi:

  • Tokoh Maal Hijrah 1431 dari Kerajaan Malaysia.
  • Anugerah Antarabangsa Raja Faisal dalam bidang pengajian Islam (1413H).
  • Anugerah Kecemerlangan Sarjana UIAM (1996).
  • Anugerah Sultan Hassan al-Bolkiah, Sultan Brunei, dalam bidang Fiqh (1997).
  • Anugerah Sultan al-Uwais, Emeriah Arab Bersatu (1999).
  • Anugerah Antarabangsa Dubai (2000).
  • Anugerah Penghargaan Kebangsaan dalam bidang Pengajian Islam, Qatar (2008).

Karya Penulisan

Beliau banyak menyampaikan dakwah dan membentangkan kertas kerja di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Begitu juga, beliau banyak menghasilkan karya ilmiah yang bermutu tinggi sehingga menjadi rujukan sama ada fatwa atau pendapatnya oleh para ulama.

Al-Qaradhawi telah mengarang ratusan buah buku dalam pelbagai bidang keilmuan Islam terutama dalam bidang sosial, dakwah dan pengajian Islam. Buku-buku beliau sangat diminati oleh umat Islam seluruh dunia. Bahkan buku-buku tersebut telah diulang cetak berpuluh-puluh kali dan diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa. Di samping itu, buku-buku tersebut dapat menjelaskan wawasan perjuangan dan pemikiran al-Qaradhawi secara lebih terperinci. Antaranya ialah:

  1. i) Fiqh dan Usul Fiqh

Sebagai seorang ahli Fiqh, beliau telah menulis beberapa buah buku yang terkenal seperti berikut :

  • Al-Halal wa al-Haram fi al-Islam (Halal dan Haram dalam Islam), al-Maktab al-Islami, Beirut, 1980.
  • Fatawa Mu’asarah 2 jilid (Fatwa-Fatwa Semasa), Dar al-Wafa’, Kaherah, 1993.
  • Al-Ijtihad fi al-Shari’at al-Islamiah (Ijtihad dalam syariat Islam), Dar al-Qalam, Kuwait, 1996.
  • Madkhal li Dirasat al-Shari’at al-Islamiah (Pengenalan Pengajian syariat Islam), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1997.
  • Min Fiqh al-Dawlah al-Islamiah (Fiqh Kenegaraan), Dar al-Shuruq, Kaherah, 1997.
  • Nahw Fiqh Taysir (Ke arah Fiqh yang Mudah), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1999.
  • Al-Fatwa bayn al-Indibat wa al-Tasayyub (Fatwa-fatwa antara Kejituan dan Pencerobohan), Dar al-Sahwah,Kaherah, 1992.
  • Al-Fiqh al-Islami bayn al-Asalah wa al-Tajdid, (Fikah Islam antara ketulenan dan Pembaharuan), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1999.
  • Awamil al-Sa’ah wa al-Murunah fi al-Syari’ah al-Islamiah (Faktor-Faktor kelenturan dalam syariah Islam), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1999.
  • Al-Ijtihad al-Mu’asir bayn al-Indibat wa al-Infirat (Ijtihad Semasa antara Kejituan dan Kecuaian), Dar al-Tawji’ wa al-Nashr, Kaherah, 1994.
  • Fiqh al-Siyam (Hukum Tentang Puasa), Dar al-Wafa’, Kaherah, 1991.
  • Fiqh al-Taharah (Hukum Tentang Kebersihan), Maktabah Wahbah, Kaherah, 2002.
  • Fiqh al-Ghina’ wa al-Musiqa (Hukum Tentang Nyayian dan Muzik), Maktabah Wahbah, Kaherah, 2001.
  • Fi Fiqh al-Aqaliyyat al-Muslimah (Fiqh minoriti Muslim) Dar l-Shuruq, Kaherah, 2001.

 

  1. ii) Ekonomi Islam
  • Fiqh al-Zakat, 2 Juzuk, (Fikah Tentang Zakat), Muasassah al-Risalah, Beirut.
  • Mushkilat al-Faqr wa kayfa Alajaha al-Islam, (Masalah Kefakiran dan Bagaimana Islam Mengatasinya), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1980.
  • Bay’u al-Murabahah li al-Amri bi al-Syira, (Sistem Jual Beli Al-Murabahah), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1987.
  • Fawa’id al-Bunuk Hiya al-Riba al-Haram, (Faedah Bank Itulah Yang Diharamkan), Dar al-Wafa’, Kaherah, 1990.
  • Dawr al-Qiyam wa al-Akhlaq fi al-Iqtisad al-Islami, (Peranan Nilai Dan Akhlak Dalam Ekonomi Islam), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1998.
  • Dawr al-Zakat fi alaj al-Musykilat al-Iqtisadiyyah, (Peranan Zakat Dalam Mengatasi Masalah Ekonomi), Dar al-Shuruq, Kaherah, 2001.
  1. iv) Karya Pengetahuan al-Quran dan al-Sunnah

Syeikh Al-Qaradhawi juga melakukan kajian mengenai al-Quran dan al-Sunnah terutama dalam memahami metodologi, cara berinteraksi dan membetulkan kefahaman mengenai al-Quran dan al-Sunnah. Dalam bidang ini beliau telah menulis:

  • Al-Aql wa al-Ilm fi al-Quran (Akal dan Ilmu dalam al-Quran), Maktabah Wahbah, Kaherah,1996.
  • Al-Sabru fi al-Quran (Sabar dalam al-Quran), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1989.
  • Tafsir Surah al-Ra’d (Tafsir surah Ra’d), Dar al-Bashir, Kaherah,1996.
  • Kayfa Nata’amal ma’a al-Sunnah al-Nabawiyyah (Bagaimana berinteraksi dengan sunnah), Dar al-Shuruq, Kaherah, 2000.
  • Madkhal li Dirasat al-Sunnah (Pengantar mempelajari sunnah), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1992.
  • Kayfa Nata’amal ma’a al-Quran (Bagaimana berinteraksi dengan al-Quran), Dar al-Shuruq, Kaherah, 1999.
  • Al-Muntaqa min al-Taghib wa al-Tarhib (Hadis-hadis terpilih mengeni berit gembira dn peringatan), Dar al-Wafa, Kaherah, 1993.
  • Al-Sunnah Masdaran li al-Ma’rifah wa al-Hadarah (Sunnah sebagai sumber pengetahuan dan tamadun), Dar al-Shuruq, Kaherah, 1997.

 

  1. v) Akidah Islam

Mengenai persoalan tauhid, al-Qaradhawi telah menulis beberapa buah buku, antaranya:

  • Wujud Allah (Adanya Allah), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1990.
  • Haqiqat al-Tawhid (Hakikat Tauhid), Maktabah Wahbah, Kaherah.
  • Mawqif al-Islam min al-Ilham wa al-Kashf wa al-Ru’a wa min al-Tama’im wa al-Kahanah wa al-Raqi (Pendirian Islam Mengenai Ilham, Kasyaf, Mimpi, Ramalan, Pencegah Kemalangan Dan Jampi), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1994.
  • Iman bi al-Qadr (Keimanan kepada Qadar), Maktabah Wahbah, Kaherah.
  1. vi) Dakwah dan Pendidikan

Al-Qaradhawi juga merupakan seorang jurudakwah yang penuh semangat. Dalam bidang ini beliau telah menulis buku-buku terkenal :

  • Thaqafat al-Da’iyyah (Wawasan Seorang Juru dakwah), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1991.
  • Al-Tarbiah al-Islamiah wa Madrasah Hassan al-Banna (Pendidikan Islam dan ajaran Hassan al-Banna), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1992.
  • Al-Rasul wa al-Ilmi (Rasul dan Ilmu), Mu’assasah al-Risalah, Beirut, 1991.
  • Al-Waqt fi Hayat al-Muslim (Waktu dalam kehidupan seorang Muslim), Dar al-Sahwah, Kaherah, 1991.
  • Risalat al-Azhar bayn al-Ams al-Yawmi wa al-Ghad (Risalah al-Azhar antara semalam, hari ini dan esok), Maktabah Wahbah, Kaherah,1984.
  • Al-Ikhwan al-Muslimun Sab’in Aman fi al-Da’wah wa al-Tarbiyyah (Ikhwan al-Muslimun selama 70 tahun dalam dakwah dan Pendidikan), Maktabah Wahbah, Kaherah, 1999.

Kewafatannya

Pada 26 September 2022 dunia dikejutkan dengan kematian Syeikh al-Qaradhawi dalam usia 96 tahun. Semoga Allah merahmatinya dan menempatkannya bersama orang-orang yang soleh. Amin.

[1] Syeikh al-Qaradhawi berkata: “Beliau telah mengajarku secara tidak langsung semasa aku di Thanawi, di Tanta. Aku pernah berselisih pendapat ketika aku bertanyanya berkenaan tafsir Surah Hud ayat 43. Syeikh dengan tegas berdasarkan pendapatnya. Dan aku mendapati, Syeikh cukup marah kepadaku. Tetapi, apabila peperiksaan akhir, markahku yang paling tinggi. Ini menandakan Syeikh mempunyai hati yang baik dan bersih. Selepas aku menyambung pelajaran ke Universiti al-Azhar, aku tidak bertemu lagi Syeikh al-Sya’rawi secara bersemuka kecuali selepas bertahun-tahun yang ketika itu aku dipinjamkan ke Qatar. Aku berjumpa Syeikh secara tiba-tiba untuk menaiki bas sedangkan Syeikh ketika itu turun daripada bas lantas dia berjabat salam denganku dan memelukku seraya berkata: “Aku sentiasa mengikuti perkembanganmu dan amat gembira dengan semangat dalam menyebarkan ilmu dan dakwah.” Selepas itu, kami bertemu sehinggalah pada tahun 1997, Lajnah Dubai Antarabangsa bagi al-Quran al-Karim telah menganugerahkan kepada Syeikh al-Sya’rawi sebagai Tokoh Islam dan memintaku menyampaikan ceramah, lantas aku berkata : “Sesungguhnya Syeikh al-Sya’rawi menjadi hak ke atasku dan aku suka untuk hadir ke majlisnya. Beliau amat gembira dengan kehadiranku.”

[2] Ketika kami ditahan dan ingin dibawa melalui kapal bergerak menuju Teluk Suez hingga ke Jabal Tur, para Ikhwan masing-masing melaksanakan aktiviti bebas sama ada membaca al-Quran, buku atau berbincang sesama sendiri. Tiba-tiba tanpa diketahui, terjadi perkelahian yang menyebabkan penumpang kapal kelam-kabut. Ketika itu, seorang pemuda yang sederhana tinggi, kulit mukanya cerah, pakaiannya bersih tanpa ketayap atau serban tetapi gaya penampilannya menzahirkan kecerdasan dan kehebatan. Beliau berkata dengan lantang dan tegas: “Hai para Ikhwan! Kita mesti mampu bertahan hingga sampai ke bumi di mana terpancarnya cahaya wahyu yang membebaskan ummah yang ditindas oleh para taghut yang mendakwa diri mereka sebagai Tuhan!” Semuanya diam dan tenang kembali dan aku bertanya kepada salah seorang rakan daripada Kaherah, siapakah lelaki itu? Itulah Syeikh Muhammad al-Ghazali. Tidakkah engkau kenal? Betapa gembiranya aku kerana bersama Syeikh al-Ghazali yang mana tulisannya sering aku baca dan aku meminatinya dari jauh. Sejak itulah aku tertarik kepadanya kerana dapat melihat dan menatap wajahnya secara langsung. Alhamdulillah segala nikmat-Nya yang menyempurnakan segala kebaikan. Inilah buah pertama yang kupetik daripada ujian dakwah yang aku harapkan akan menjadi satu nikmat dengan izin Allah.”

Bertarikh: 28 Jun 2023 bersamaan 9 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply