Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Sebenarnya apakah hukum seseorang itu bekerja sebagai pelukis yang melukis gambar atau potret seseorang? Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Secara umumnya, jika gambar yang dilukis itu berada dalam kategori yang tidak bernyawa umpama tumbuh-tumbuhan, pepohon, lautan, kapal-kapal, gunung-ganang, matahari, bulan, bintang-bintang dan seumpamanya, yang terdiri daripada gambar pemandangan semula jadi — seperti tumbuh-tumbuhan dan benda-benda yang tidak bergerak — maka tidak salah untuk seseorang melukis atau menyimpannya. Bahkan, perkara ini tiada perselisihan padanya.
Akan tetapi para ulama berselisih pendapat berkenaan lukisan makhluk bernyawa, termasuklah manusia. Hal ini kerana terdapatnya ancaman daripada Nabi SAW kepada para pelukis sebagaimana sabdanya:
إنَّ أشدَّ النّاسِ عذابًا عندَ اللَّهِ المصَوِّرونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling berat seksanya di sisi Allah SWT ialah para pelukis.”
Riwayat al-Bukhari (5950) dan Muslim (2109) dengan sedikit perbezaan lafaz.
Al-Mulla Ali al-Qari menukilkan perkataan Imam al-Nawawi yang menyatakan bahawa hadith ini difahami sebagai ditujukan kepada sesiapa yang melukis berhala untuk dijadikan sebagai sembahan. Maka, bagi pelakunya azab yang paling berat kerana dia telah kafir. Namun, ada juga berpendapat, ia adalah ditujukan kepada sesiapa yang berniat untuk menandingi ciptaan Allah SWT dan beriktikad (meyakini) mengenai perkara itu, maka dia telah kafir dan azabnya adalah paling berat. Namun, jika dia tidak berniat mengenai perkara itu, maka dia dikira sebagai fasiq dan tidak boleh menghukumnya sebagai kafir sebagaimana maksiat-maksiat yang lain.
Adapun (gambar) pohon-pohon dan seumpamanya yang tidak memiliki ruh, maka tidak haram untuk dia melukisnya. Inilah mazhab ulama melainkan Mujahid yang berpendapat, menjadikan (melukis) pokok yang berbuah adalah termasuk dalam perkara yang makruh. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2852).
Dr. Yusuf al-Qaradhawi pernah menimbulkan persoalan mengenai hukum gambar-gambar dan lukisan seni yang dilukis di atas kertas lukisan, kain kanvas, tirai, dinding, permaidani, mata wang dan sebagainya? Kemudian, beliau menyebutkan, jawapannya masih tidak jelas kecuali kita lihat dan kaji apa tujuan gambar tersebut dicipta, di mana ia diletakkan dan apa kegunaannya. Begitu juga dengan apa yang dimaksudkan pelukis apabila melukis gambar itu.
Jika gambar yang dilukis itu tujuannya untuk disembah selain daripada Allah seperti gambar lukisan al-Masih (Nabi Isa AS) bagi kaum Nasrani atau gambar lukisan lembu untuk kaum Hindu dan seumpamanya, maka orang yang melukisnya bagi tujuan dan niat tersebut dianggap kafir yang ingin menyebarkan ajaran kafir dan kesesatan. Dalam hal ini, terdapat ancaman berat daripada Rasulullah SAW sendiri sebagaimana sabdanya:
إنَّ أشدَّ النّاسِ عذابًا عندَ اللَّهِ المصَوِّرونَ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling berat seksanya di sisi Allah SWT ialah para pelukis.”
Riwayat al-Bukhari (5950) dan Muslim (2109) dengan sedikit perbezaan lafaz.
Imam al-Tabari menyatakan, apa yang dimaksudkan di sini ialah sesiapa yang melukis sesuatu sebagai sembahan selain daripada Allah SWT sedangkan dia mengetahuinya dan berniat menyembahnya, maka dengan sebab itu dia menjadi kafir. Tetapi, jika orang yang melukis itu tidaklah bermaksud yang demikian, maka dia dikira melakukan maksiat sahaja dengan perbuatannya itu.
Sama seperti hukum itu juga, sesiapa yang menggantung gambar-gambar ini dengan niat mensucikannya, maka perbuatan sedemikian itu tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim kecuali jika orang itu telah melempar hukum Islam ke belakangnya — yakni tidak mempedulikannya.
Begitu juga, sesiapa yang melukis suatu gambar bukan dengan tujuan untuk disembah atau dipuja, tetapi dia berniat dengan lukisannya itu untuk menyaingi ciptaan Allah iaitu mendakwa bahawa dia juga pandai menjadikan dan mencipta sebagaimana Allah ‘Azza wa Jalla mencipta. Maka dengan niatnya itu, dia sudah terkeluar daripada agama tauhid ini — yakni dikira kafir. Dalam hal ini, terdapat hadith:
أشَدُّ النّاسِ عَذابًا يَومَ القِيامَةِ الَّذِينَ يُضاهُونَ بخَلْقِ اللَّهِ
Maksudnya: “Orang yang paling berat menerima seksaan pada hari kiamat ialah orang yang mahu menandingi ciptaan Allah SWT.”
Riwayat al-Bukhari (5954) dan Muslim (2107)
Perkara ini bergantung kepada niat pelukis itu sendiri. Kemudian boleh jadi riwayat lain yang menyokong hadith di atas, sebagaimana hadith qudsi daripada Allah SWT yang berfirman:
وَمَن أظْلَمُ مِمَّنْ ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي، فَلْيَخْلُقُوا حَبَّةً، ولْيَخْلُقُوا ذَرَّةً
Maksudnya: “Siapakah lagi yang lebih menzalimi dirinya daripada seorang yang mengaku dapat mencipta seperti Aku menciptanya, cubalah ciptakan sebiji gandum atau sebiji jagung!”
Riwayat al-Bukhari (5953) dan Muslim (2111)
Ungkapan dengan sabda Baginda: “ذَهَبَ يَخْلُقُ كَخَلْقِي” menunjukkan niat hendak menandingi Tuhan dalam sifat uluhiyyah-Nya yang khusus iaitu mencipta sesuatu dan mengadakan sesuatu yang baru.
Oleh kerana itu, Allah SWT telah mencabar mereka untuk menciptakan sebiji gandum atau sebiji jagung. Ungkapan terakhir ini menunjukkan bahawa mereka memang berangan-angan hendak mencipta sebiji gandum atau jagung kerana itulah Allah SWT mencabar mereka membuatnya. Lantaran itu juga, di hari akhirat kelak, Allah SWT akan membalas mereka di hadapan khalayak ramai dengan menyeru kepada mereka: “Ayuh, hidupkanlah apa yang sudah kamu ciptakan itu!” Maksudnya, mereka disuruh meniupkan roh kepada benda yang diciptakan oleh mereka itu. Namun mereka tetap sekali-kali tidak akan mampu untuk meniupkan roh pada gambar mereka itu.
Di antara gambar yang haram untuk dilukis dan disimpan, ialah gambar-gambar orang yang disucikan seperti kesucian agama atau diagungkan dengan pengagungan dunia. Contoh golongan pertama (yang disucikan dan diagungkan atas dasar agama) adalah seperti gambar-gambar para nabi, malaikat dan orang-orang soleh seperti Nabi Ibrahim, Nabi Ishaq, Nabi Musa, Maryam, Jibril dan lain-lain lagi. Gambar-gambar ini sering dimuliakan oleh kaum Nasrani. Lalu sebahagian ahli bidaah dalam kalangan orang Islam meniru mereka, sampai mereka pun menggambarkan gambaran Ali, Fatimah dan selain daripada mereka berdua.
Contoh golongan kedua (yang diagungkan atas dasar dunia) adalah seperti gambar-gambar para raja, pemimpin, dan artis pada zaman kita ini. Hal ini lebih ringan dosanya daripada yang di atas itu, akan tetapi sememangnya berdosa jika gambar-gambar yang dilukis itu merupakan gambar orang kafir, orang zalim, dan orang fasik seperti para hakim yang menghukum selain daripada apa yang diturunkan oleh Allah SWT, para pemimpin yang menyeru kepada selain daripada risalah Allah SWT, dan para artis atau seniman yang membesarkan perkara yang batil serta menyebarkan perkara keji dan gambar bogel atau separuh bogel kepada umat.
Ternyata banyak gambar yang dilukis pada zaman nabi dan selepasnya daripada jenis yang dimuliakan dan diagungkan. Ini kerana perbuatan ini kebiasaannya dibuat oleh orang-orang Rom dan Parsi iaitu Nasrani dan Majusi. Sememangnya jarang ada gambar yang tidak terpengaruh dengan unsur-unsur kepercayaan mereka serta penyucian dan pengagungan mereka untuk ketua-ketua agama dan negara.
Menurut Dr. Yusuf al-Qaradhawi lagi, jika gambar-gambar itu terdiri daripada sesuatu yang bernyawa, tetapi tiada padanya perkara-perkara yang dilarang sebagaimana yang sudah dijelaskan sebelumnya iaitu bukan daripada jenis yang dimuliakan dan diagungkan, dan tidak bermaksud untuk menandingi ciptaan Allah SWT, maka beliau berpendapat ia juga tidaklah diharamkan. Dalam hal tersebut, terdapat banyak hadith sahih yang menyokongnya.
Di antaranya, Imam Muslim meriwayatkan dalam sahihnya, daripada Bisr bin Sa‘id, daripada Zaid bin Khalid, daripada Abu Talhah — sahabat Rasulullah SAW — bahawasanya Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الْمَلاَئِكَةَ لاَ تَدْخُلُ بَيْتاً فِيهِ صُورَةٌ
Maksudnya: “Sesungguhnya malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang di dalamnya terdapat gambar.”
Bisr seterusnya bercerita: “Pada suatu hari Zaid R.A sakit, maka kami datang menziarahinya, lalu kami dapati di pintu rumahnya terdapat kain tirai terlukis padanya gambar. Maka aku berkata kepada ‘Ubaidullah al-Khaulani R.A — anak tiri Maimunah, isteri Nabi SAW — yang berada di situ: ‘Bukankah Zaid R.A pernah mengkhabarkan kepada kita mengenai gambar-gambar itu?’ ‘Ubaidullah R.A menjawab: ‘Tidakkah kamu mendengar ketika beliau menyebut, ‘melainkan garisan yang ada pada pakaian?’”
Riwayat Muslim (2106)
Imam al-Tirmizi meriwayatkan dengan sanadnya daripada ‘Utbah, bahawa dia pernah menziarahi Abu Talhah al-Ansari yang sedang sakit dan ketika itu seorang sahabat Nabi SAW yang lain, iaitu Sahl bin Hunaif. Lalu Abu Talhah dengan tiba-tiba memanggil seseorang supaya menarik keluar kain alas tempat tidurnya yang ada garisan atau gambar. Maka Sahl bertanya kepada Abu Talhah: “Mengapa kamu menariknya keluar?” Abu Talhah menjawab: “Kerana ada padanya gambar dan bukankah Nabi SAW telah melarang kain yang bergambar seperti yang engkau ketahui?” Sahl berkata: “Bukankah Nabi SAW juga telah bersabda, ‘Melainkan yang ada corak pada kain?’” Abu Talhah menjawab: “Benar, tetapi hatiku tidak tenang bila aku menggunakan alas tersebut.” Imam al-Tirmizi menyebutkan, hadith ini hasan sahih.
Riwayat al-Tirmizi (1750)
Bukankah kedua-dua hadith ini menunjukkan gambar yang diharamkan itu adalah gambar yang berbentuk dan berupa, biasanya dinamakan sebagai patung? Adapun gambar yang dilukis pada papan, kain, tikar permaidani, tembok-tembok dan seumpamanya, maka tidak ada nas yang sahih lagi jelas, serta bebas daripada perselisihan yang menunjukkan kepada pengharamannya.
Ya, di sana terdapatnya hadith-hadith sahih di mana Nabi SAW menunjukkan kebenciannya terhadap gambar-gambar tersebut kerana ia melambangkan kehidupan golongan mewah dan gilakan harta dunia yang rendah nilainya di sisi agama.
Imam Muslim meriwayatkan daripada Zaid bin Khalid al-Juhani, daripada Abu Talhah al-Ansari, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:
لاَ تَدْخُلُ الْمَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ كَلْبٌ وَلاَ تمَاَثِيلُ
Maksudnya: “Malaikat tidak akan masuk ke rumah yang ada di dalamnya anjing atau patung-patung.”
Riwayat Muslim (2106)
Zaid berkata lagi: “Aku segera berjumpa Aisyah R.Anha dan bertanya kepadanya: ‘Abu Talhah mengatakan kepadaku, Nabi SAW menyatakan malaikat tidak akan masuk rumah yang ada di dalamnya anjing atau patung. Benarkah?’ Aisyah R.Anha menjawab: ‘Tidak, tetapi aku akan ceritakan kepada kamu apa yang aku lihat dilakukan oleh Baginda SAW. Pada suatu ketika, Baginda SAW keluar berperang. Aku pun mengambil kain bergambar dan buatkan tabir untuk pintu rumahku. Apabila Nabi SAW kembali dan melihat kain tersebut, aku mendapati perubahan air mukanya seperti Baginda membencinya. Lalu Baginda menyentap tabir itu sehingga tercabut atau terkoyak, dan bersabda:
إِنَّ اللهَ لَمْ يَأْمُرْناَ أَنْ نَكْسُوَ الْحِجَارَةَ وَالطِّينَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menyuruh kita memakaikan pakaian pada batu dan tanah.”
Aisyah R.Anha berkata lagi: “Lantas aku mengambil kain tersebut dan menjadikannya dua bantal yang diisi di dalamnya sabut. Nabi SAW melihatnya tetapi Baginda SAW tidak membantahku melakukan sedemikian.”
Riwayat Muslim (2107)
Tidak diambil daripada hadith ini bagi menyatakan hukumnya selain daripada makruh tanzih untuk memasang tabir pada dinding dengan kain yang bergambar. Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyatakan, hadith ini tidak menunjukkan pengharaman memasang tirai kerana lafaz “Allah SWT tidak menyuruh kita melakukan sedemikian,” hanya menunjukkan ia tidak wajib ataupun tidak sunat, dan ia sama sekali tidak menunjukkan kepada haram.
Begitu juga hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Aisyah R.Anha, beliau berkata:
كَانَ لَنَا سِتْرٌ فِيهِ تِمْثاَلُ طاَئِرٍ، وَكاَنَ الدَّاخِلُ إِذَا دَخَلَ إِسْتَقْبَلَهُ، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: حَوِّلِي هَذَا، فَإِنِّي كُلَّمَا دَخَلْتُ فَرَأَيْتُهُ ذَكَرْتُ الدُّنْيَا
Maksudnya: “Aku mempunyai kain tabir padanya terlukis gambar burung, dan setiap orang yang masuk rumahku akan melihatnya. Maka Rasulullah SAW berkata kepadaku: ‘Pindahkanlah (tabir) ini, kerana setiap kali aku masuk ke rumah dan melihatnya, aku akan teringat akan dunia.’”
Riwayat Muslim (2107)
Rasulullah SAW tidak menyuruh Aisyah R.Anha memotongnya tetapi meminta ia dipindahkan dari tempat asalnya supaya Baginda SAW tidak melihatnya apabila masuk ke dalam rumah. Ini kerana adanya perasaan benci di dalam hati Baginda SAW untuk melihat benda yang boleh mengingatkan kepada dunia serta keindahannya.
Seperti yang diketahui, sesungguhnya Rasulullah SAW menunaikan solat sunat di rumahnya dan tirai-tirai yang bergambar kebiasaannya menjadi penghalang hati dan fikiran daripada khusyuk dan menetapkan diri bermunajat kepada Allah SWT. Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Anas R.A, katanya: Ada satu tabir milik Aisyah R.Anha yang beliau gunakan untuk menutupi satu sudut rumahnya. Maka Nabi SAW bersabda kepadanya:
أَمِيْطِيْهِ عَنِّي، فَإِنَّهُ لاَ تَزَالُ تَصَاوِيرُهُ تَعْرِضُ لِي فِي صَلاَتِي
Maksudnya: “Jauhkanlah tabir ini daripadaku, kerana sesungguhnya gambar-gambar yang ada padanya sentiasa menggangguku dalam solatku.”
Riwayat al-Bukhari (5959)
Berdasarkan hadith ini, jelaslah bahawa Rasulullah SAW membenarkan tabir bergambar burung diletakkan di dalam rumahnya, begitu juga kain bergambar sesuatu yang lain.
Selain daripada itu, perawi hadith mengenai bantal daripada Aisyah R.Anha, iaitu anak saudaranya yang bernama al-Qasim bin Muhammad bin Abu bakar, dan beliau membolehkan menyimpan gambar yang tidak memiliki bayang. Daripada Ibn Aun, katanya: “Aku pernah menziarahi al-Qasim yang tinggal di tempat paling tinggi di Makkah. Aku melihat di rumahnya ada sebuah pentas yang dihiasi dengan tabir-tabir yang bergambar memerang dan burung cenderawasih.
Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: Kemungkinan al-Qasim berpegang dengan sabda Nabi SAW yang umum iaitu “kecuali garisan (gambar) pada pakaian,” seolah-olahnya beliau menyanggap bahawa apa yang diingkari oleh Nabi SAW ke atas Aisyah R.Anha adalah menggantungkan tirai yang terdapat padanya lukisan gambar dan menutupi dinding. Kefahaman ini dikuatkan pula oleh suatu riwayat daripada Nabi SAW yang mengatakan: “Sesungguhnya Allah SWT tidak menyuruh kita memakaikan pakaian pada batu dan tanah — yakni menutupnya.”
Al-Qasim bin Muhammad ialah salah seorang al-Fuqaha’ al-Sab‘ah (ahli fiqh yang tujuh) di Madinah dan di antara ulama yang terbaik pada zamannya. Beliau juga merupakan perawi hadith tentang kisah bantal tersebut. Jika tidak kerana beliau memahami adanya kelonggaran (rukhsah), iaitu seperti yang ada di pentas itu, tentulah beliau tidak akan membolehkan untuk menggunakannya.
Akan tetapi di sana terdapat kemungkinan lain tentang hadith-hadith larangan melukis dan menyimpan gambar bahawa Rasulullah SAW memberatkan perkara ini (yakni mengambil sikap tegas) disebabkan hampirnya kaum Muslimin dengan zaman syirik dan penyembahan berhala serta memuliakan gambar-gambar dan patung. Apabila telah mantap dan teguh keimanannya di dalam hati dan fikiran, maka Rasulullah SAW memberi kelonggaran (rukhsah) pada gambar yang tidak berjisim, lukisan dan corak semata-mata. Kalau tidak, tentu sekali beliau tidak akan meredhai adanya tabir atau kain yang bergambar di dalam rumahnya, Begitu juga Baginda tidak akan mengecualikan gambar-gambar yang bercorak dan terlukis pada pakaian. Seumpama hukum lukisan pada pakaian ialah kertas, dinding dan sebagainya.
Selain daripada itu, Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga menegaskan bahawa tiada seorang Muslim pun yang memberikan penentangannya terhadap pengharaman sesuatu gambar apabila objeknya bertentangan dengan akidah Islam atau berlawanan dengan syariat Islam dan peradaban. Umpamanya menggambarkan kaum wanita dalam keadaan berbogel atau hampir bogel dengan menampakkan bahagian-bahagian sensitif pada tubuh mereka, melukis atau menggambarkan mereka dengan gaya membangkitkan nafsu syahwat dan menimbulkan keinginan duniawi, sebagaimana kita dapat melihat perkara itu jelas berlaku dan sering dipaparkan di sesetengah majalah, akhbar-akhbar dan ditayangkan di panggung-panggung wayang. Semua perkara itu tidak syak lagi mengenai pengharamannya dan pengharaman gambar itu. Begitu juga perbuatan menyebar kepada orang lain, menyimpan dan meletakkannya di dalam rumah-rumah atau pejabat-pejabat dan kedai-kedai, menggantungnya pada dinding-dinding dan melihat gambar-gambar tersebut — semuanya adalah haram. (Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, hlm. 104-113).
Kesimpulannya
Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa diharuskan bagi seseorang untuk melukis gambar atau potret seseorang manusia yang lain tetapi dengan syarat lakaran atau lukisan itu pula bukanlah untuk disucikan atau diagung-agungkan mahupun bertujuan untuk menandingi ciptaan Allah SWT. Hal ini kerana para ulama memahami ancaman dalam hadith tersebut bagi mereka yang melakar atau melukisnya bagi tujuan dipuja atau disembah atau dengan niat untuk menandingi ciptaan Allah SWT.
Selain itu juga, apatah lagi, sehebat mana pun lakaran atau lukisan yang dihasilkan di atas paparan atau medium, ia tetap jauh sekali untuk disamakan dengan ciptaan Allah SWT, berbeza halnya jika ia dibentuk atau dijadikan dalam bentuk patung berjisim.
Sekalipun begitu, hukum harus tersebut adalah terikat selagi mana ia tidak mengandungi perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan oleh syarak. Sekiranya tidak, keharusan ini boleh berubah menjadi haram. Misalnya, lukisan tersebut untuk menaikkan syahwat orang yang melihatnya melalui pendedahan aurat, tabarruj yang berlebihan dan seumpamanya, atau digunakan untuk perkara haram dan maksiat seperti mempromosi arak, pergaulan bebas dan seumpamanya. Firman Allah SWT:
وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَى وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ
Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan. Dan bertaqwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya).”
(Surah al-Ma’idah: 2)
Al-Baghawi menjelaskan ketika menafsirkan ayat di atas, lafaz “الْإِثْمُ” adalah merujuk kepada kekufuran, manakala lafaz “الْعُدْوَانُ” pula merujuk kepada kezaliman. Namun, ada juga dalam kalangan ulama yang berpendapat, lafaz “الْإِثْمُ” merujuk kepada perkara maksiat, manakala lafaz “الْعُدْوَانُ” pula merujuk kepada perkara bidaah. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 2/9).
Ibn Kathir pula menyebutkan, Allah SWT melarang mereka daripada bersatu atas kebatilan, dan bertolong-tolongan atau bekerjasama atas perkara dosa dan perkara yang haram. Di samping itu, Ibn Jarir turut menyatakan, makna “الْإِثْمُ” di sini adalah meninggalkan suruhan Allah SWT. Manakala “الْعُدْوَانُ” pula adalah melebihi batas yang telah ditetapkan oleh Allah SWT dalam agama mereka dan juga melampaui batas (bersikap berlebih-lebihan) pada diri mereka sendiri mahupun pada orang lain dalam apa yang telah diwajibkan oleh Allah SWT ke atas mereka. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 2/13-14).
Malah ia bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:
كُلُّ مَا أَدَّى إِلَى الحَرَامِ فَهُوَ حَرَامٌ
Maksudnya: “Setiap perkara yang membawa kepada perkara haram, hukumnya adalah haram.”
Namun, kami juga mengambil kesempatan di sini menasihatkan, terutamanya mereka yang melukis sebagai pekerjaan utama, sebaik-baiknya jika dapat dilakukan, elakkanlah daripada melukis potret manusia sebagai mengambil jalan keluar daripada khilaf, ulama yang berpendapat ia adalah haram. Lukislah gambar pemandangan, abstrak dan seumpamanya daripada jenis yang tidak bernyawa (mempunyai ruh), atau jika tidak dapat juga lukislah potret dalam bentuk yang tidak sempurna seperti dalam bentuk kartun dan seumpamanya, yang jauh untuk dikatakan sebagai ciptaan yang sama dengan ciptaan Allah SWT.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.
Wallahu a‘lam.
Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H