Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum jual beli hasil patung buatan tangan daripada gulungan benang yang dikait menjadi suatu patung menyerupai haiwan, kartun dan lain-lain iaitu nama lainnya amigurumi?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

 

Definisi Patung

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4, patung boleh ditakrifkan sebagai sesuatu bentuk manusia, atau binatang, atau seumpamanya, yang dibuat daripada batu, kayu, logam dan lain-lain. Manakala anak patung pula bermaksud patung kecil yang dijadikan permainan oleh kanak-kanak. Menurut Kamus Pelajar pula, patung juga boleh didefinisikan sebagai bentuk orang atau binatang yang diukir daripada batu dan lain-lain. Anak patung pula bermaksud barang permainan kanak-kanak yang berupa orang.

 

Definisi Amigurumi

Amigurumi merupakan suatu patung permainan yang dibentuk melalui jahitan tali. Ia merupakan seni yang dikenali di Jepun dan mula menarik minat di negara lain sejak tahun 2003. Kebiasaanya ia digunakan sebagai keychain, mainan dan seumpamanya. (Lihat Wikipedia Amigurumi)

Amigurumi Today - Free amigurumi patterns and amigurumi tutorialsChinese New Year Zodiac Amigurumi Collection - All About Ami

Larangan Menyimpan Patung dan Mengukirnya

Terdapat larangan dalam beberapa hadith mengenai menyimpan dan meletakkan patung di dalam rumah serta mengukirnya. Antaranya ialah hadith, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

Rasulullah SAW bersabda:

أنَّ أُمَّ حَبِيبَةَ، وأُمَّ سَلَمَةَ ذَكَرَتا كَنِيسَةً رَأَيْنَها بالحَبَشَةِ فِيها تَصاوِيرُ لِرَسولِ اللهِ ﷺ، فَقالَ رَسولُ اللهِ ﷺ: إنَّ أُولَئِكَ، إذا كانَ فِيهِمُ الرَّجُلُ الصّالِحُ، فَماتَ، بَنَوْا على قَبْرِهِ مَسْجِدًا، وصَوَّرُوا فيه تِلْكِ الصُّوَرَ، أُولَئِكِ شِرارُ الخَلْقِ عِنْدَ اللهِ يَومَ القِيامَةِ.

Maksudnya:Bahawasanya Ummu Habibah dan Ummu Salamah Ranhuma teringat kepada tempat ibadat yang mereka pernah melihatnya di Habsyah yang terdapat patung-patung berhala di dalamnya dan menceritakannya kepada Rasulullah SAW. Maka, Rasulullah SAW bersabda: “Pada satu ketika dahulu ada seorang lelaki yang soleh kemudian dia meninggal dunia. Maka, penduduk di situ mereka membina tempat ibadah di atas kuburnya dan mengukirkan patung-patung tersebut untuknya. Mereka itulah seburuk-buruk ciptaan di sisi Allah SWT pada hari Kiamat.”

Riwayat Muslim (528)

Al-Hafiz Ibn Hajar berkata bahawa hadith ini menunjukkan kepada pengharaman mengukir dan menyimpan patung. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 1/525)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam isu tentang patung ini, kita perlu fahami akan maksud patung tersebut. Sekiranya ia adalah patung yang dihormati/ dipuja, maka ia jelas dilarang. Namun, sekiranya ia patung permainan kanak-kanak, maka diharuskan menjualnya dengan syarat patung tersebut tidak besar dan hanya semata-mata patung kanak-kanak. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah RA:

كُنْتُ أَلْعَبُ بِالْبَنَاتِ عِنْدَ النَّبِىِّ – صلى الله عليه وسلم – وَكَانَ لِى صَوَاحِبُ يَلْعَبْنَ مَعِى ، فَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صلى الله عليه وسلم – إِذَا دَخَلَ يَتَقَمَّعْنَ مِنْهُ ، فَيُسَرِّبُهُنَّ إِلَىَّ فَيَلْعَبْنَ مَعِى

Maksudnya: Aku pernah bermain patung permainan ketika tinggal bersama Nabi SAW, sedangkan aku memiliki beberapa sahabat yang biasa bermain bersamaku. Maka, ketika Rasulullah SAW masuk dalam rumah, sehabat-sahabat aku itu pun bersembunyi dari Baginda. Lalu Baginda SAW menyerahkan mainan padaku satu demi satu lantas mereka pun bermain bersamaku.

Riwayat Bukhari (6130)

Imam Ibn Hajar al-Asqalani dalam mensyarahkan hadith ini berkata: Para ulama berdalil dengan hadis ini tentang hukum harus terhadap patung mainan untuk kanak-kanak. Hadith ini adalah pengecualian dari keumuman hadis yang melarang membuat tandingan yang serupa dengan ciptaan Allah. Keharusan ini ditegaskan oleh al-Qadi ‘Iyadh dan beliau katakan bahawa inilah pendapat majoriti ulama. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 10/527)

Walau bagaimanapun, kami mengesyorkan supaya dielakkan agar kita tidak menimbulkan perkara yang boleh membawa kepada perasaan-perasaan pemujaan dan sebagainya. Jika boleh diganti dengan hal-hal yang boleh mengelakkan daripada sebarang bentuk syubhah kerana apabila kita meninggalkan perkara-perkara yang khilaf seperti ini, ia termasuk dalam apa yang disebutkan bahawa:

الْخُرُوجُ مِنَ الْخِلاَفِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya: “Keluar dari perkara khilaf adalah digalakkan.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقّ حَقًّا وَارْزُقْنَا اِتِّبَاعه وَأَرِنَا الْبَاطِل بَاطِلًا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابه وَلَا تَجْعَلهُ مُتَلَبِّسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kami kebenaran itu sebagai kebenaran dan rezekikan kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kami untuk menjauhinya dan janganlah Kamu jadikannya keliru atas kami yang menyebabkan kami menyimpang dari kebenaran dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin.”

Bertarikh: 5 Julai 2023 bersamaan 16 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply