#2112: Mentaati Suami yang Biadab kepada Mertua

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang hukum seorang isteri dalam mentaati suami yang berlaku biadab terhadap kedua mentuanya (ibu bapa isteri). Terima kasih. Jazakumullahu khairan kathiira.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami mulakan dengan menerangkan sifat seorang isteri yang solehah. Dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Amr R.A, Nabi SAW pernah bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Imam al-Qurtubi menjelaskan makna wanita yang solehah dalam hadith di atas ialah wanita yang menggembirakan suami apabila dilihat, mentaatinya apabila disuruh, dan memelihara kehormatan suaminya apabila ketiadaannya pada diri dan juga hartanya. (Lihat al-Mufhim, 4/221).

Daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, sabda Nabi SAW:

أَلاَ أُخْبِرُكَ بِخَيْرِ مَا يَكْنِزُ الْمَرْءُ الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ إِذَا نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ وَإِذَا أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ وَإِذَا غَابَ عَنْهَا حَفِظَتْهُ

Maksudnya: “Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat, dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya.”

Riwayat Abu Daud (1664)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abi Umamah R.A, Nabi SAW menyebut:

مَا اسْتَفَادَ الْمُؤْمِنُ بَعْدَ تَقْوَى اللهِ خَيْرًا لَهُ مِنْ زَوْجَةٍ صَالِحَةٍ ، إِنْ أَمَرَهَا أَطَاعَتْهُ ، وَإِنْ نَظَرَ إِلَيْهَا سَرَّتْهُ ، وَإِنْ أَقْسَمَ عَلَيْهَا أَبَرَّتْهُ ، وَإِنْ غَابَ عَنْهَا نَصَحَتْهُ فِي نَفْسِهَا وَمَالِهِ

Maksudnya: “Seseorang lelaki yang beriman itu tidak akan mendapat manfaat dan faedah – selepas takwanya kepada Allah SWT – lebih daripada isteri yang solehah. Jika disuruh oleh suami, dia taat, jika suaminya melihat kepadanya, dia menyenangkannya. Jika bersumpah, nescaya dia dapat membuktikannya dan jika ditinggalkan oleh suaminya, dia menjaga diri dan menjaga hartanya.”

Riwayat Ibn Majah (1857)

Antara ciri-ciri seorang isteri yang solehah juga ialah:

  • Segera menyahut dan hadir apabila dipanggil oleh suami. Rasulullah SAW bersabda, yang maksudnya: “Jika seorang lelaki mengajak isterinya ke tempat tidur, lalu isteri itu menolak. Kemudian, suami itu bermalam dalam keadaan marah, maka isterinya itu dilaknat oleh para malaikat sehingga waktu pagi.”
  • Tidak membantah perintah suami selagi tidak bertentangan dengan syariat.
  • Tidak bermasam muka terhadap suami.
  • Sentiasa menuturkan kalimah yang baik-baik.
  • Tidak membebankan suami dengan permintaan di luar kemampuan suami.
  • Keluar rumah hanya dengan izin suami.
  • Berhias hanya untuk suami.
  • Menghargai pengorbanan suami.
  • Tidak membenarkan orang yang tidak diizinkan suami masuk ke dalam rumah.
  • Menerima tunjuk ajar daripada suami.
  • Menghormati mertua serta kaum keluarga suami.
  • Sentiasa berada dalam keadaan kemas dan bersih.
  • Menjadi penenang dan penyeri rumahtangga. (Lihat Rumahku Syurgaku oleh Dr. Zulkifli al-Bakri, hlm. 78)

Berkenaan suami yang berlaku biadab, maka hukum sememangnya tidak boleh, berdosa dan Allah SWT tidak redha. Walaupun itu ibu bapa isteri, maka si suami tetap perlu hormat.

Di samping itu, sebaik-baiknya tegurlah suami dengan baik dan tunjukkan akhlak yang baik. Si isteri cuba untuk hormati ibu bapa si suami dengan lebih baik, di samping menghormati ibu bapanya. Selain itu, selalulah berdoa agar Allah SWT membuka pintu hatinya untuk menjadi lebih baik.

Kami juga syorkan untuk diadakan majlis gathering keluarga untuk berbincang dari hati ke hati. Boleh juga dipanggil seorang ustaz untuk datang beri ceramah dan tazkirah. Begitu juga, pilihlah tajuk-tajuk yang ada kena-mengena dengan isu-isu yang berlaku agar ianya menjadi tempat muhasabah untuk memperbaiki dan mengislahkan akhlak serta tingkah laku antara sesama keluarga dengan lebih baik lagi. 

Dengan itu, mudah-mudahan datang sebuah kesedaran untuk berubah.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita anak-anak dan zuriat yang soleh dan solehah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya“Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *