#2116: Beri Daging Korban kepada Tukang Lapah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya, adakah si tukang lapah dikira sebagai tukang sembelih ke? Boleh ke ambil upah dari daging korban yang dilapah tu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sebuah hadith Nabi SAW, daripada Ali R.A, katanya:

أَمَرَنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنْ أَقُومَ عَلَى البُدْنِ، وَلاَ أُعْطِيَ عَلَيْهَا شَيْئًا فِي جِزَارَتِهَا.

Maksudnya: “Nabi SAW memerintahkanku untuk mengurus (penyembelihan) unta, dan aku (diperintahkan) untuk tidak boleh memberikan sedikit pun daripadanya sebagai upah penyembelihannya.”

Riwayat al-Bukhari (1716) dan Muslim (1317)

Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani berkata: Maksud ‘وَلاَ أُعْطِيَ عَلَيْهَا شَيْئًا فِي جِزَارَتِهَا’ adalah larangan memberikan sesuatu daripada haiwan korban kepada tukang sembelih sebagai upah atas pekerjaannya. Dinukilkan daripada Ibn al-Athir, katanya: Juzarah (الْجُزَارَةُ) sama seperti lafaz ‘Umalah (الْعُمَالَة), dan maknanya adalah bahagian unta seperti kepala, kedua kaki depan dan kedua kaki belakang. Dinamakan demikian kerana tukang sembelih biasa mengambil bahagian-bahagian ini sebagai upah atas pekerjaannya. (Lihat Fath al-Bari, 9/361)

Manakala di dalam riwayat Muslim terdapat tambahan daripada ‘Ali bin Abi Talib RA yang mengatakan:

نحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya: “Kami memberikan kepadanya (penyembelih dan pelapah) upah daripada (harta) kami sendiri.”

Riwayat Muslim (1317)

Berkenaan hadith di atas, al-Imam al-San’ani di dalam kitabnya Subul al-Salam ada memberikan komentar terhadapnya dengan mengatakan:  “Hadith ini menunjukkan bahawa disedekahkan kulit dan apa yang menutupi binatang korban sepertimana disedekahkan dagingnya. Ianya tidak boleh diberikan kepada penyembelih atau pelapah sedikitpun darinya. Ini kerana termasuk dalam hukum jualan sebabkan kedudukannya sebagai upah. Hukum sembelihan korban sama seperti hukum sembelihan haji di mana daging dan kulitnya tidak boleh dijual juga tidak boleh diberikan kepada penyembelih dan pelapah sedikit pun daripadanya.”(Lihat Subul al-Salam, 2/537)

Seterusnya, al-Imam al-Nawawi juga ada menyebutkan di dalam kitabnya al-Minhaj iaitu syarah kepada hadith-hadith di dalam Sahih Muslim dengan mengatakan: “Tidak dibenarkan untuk memberikan sesuatu daripada bahagian korban kepada al-Jazzar (tukang sembelih) dan inilah mazhab kami dan dengannya juga adalah pendapat ‘Atho, al-Nakha’ie, Malik, Ahmad, Ishak dan dihikayatkan daripada Ibn al-Munzir daripada Ibn Umar daripada Ahmad dan Ishak bahawa dibolehkan untuk menjual kulit sembelihan hadyu dan bersedekah dengan harganya.” (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, Dar Ihya’ al-Turath al-‘Arabi, 9/65)

Pendapat yang sama juga diulangi oleh al-Imam al-Nawawi di dalam kitabnya yang lain iaitu al-Majmu Syarh al-Muhazzab.

Diriwayatkan oleh ‘Abd al-Rahman bin Abi Laila bahawa Saidina Ali berkata:

‌أَمَرَنِي ‌رَسُولُ ‌اللهِ ‌صَلَّى ‌اللهُ ‌عَلَيْهِ ‌وَسَلَّمَ ‌أَنْ ‌أَقُومَ ‌عَلَى ‌بُدْنِهِ، وَأَنْ أَتَصَدَّقَ بِلَحْمِهَا وَجُلُودِهَا وَأَجِلَّتِهَا، وَأَنْ لَا أُعْطِيَ الْجَزَّارَ مِنْهَا، قَالَ: نَحْنُ نُعْطِيهِ مِنْ عِنْدِنَا

Maksudnya: “Aku disuruh Rasulullah SAW mengurus penyembelihan haiwan korban, menyedekahkan daging dan kulitnya, serta mengurus segala sesuatu yang berhubungan dengan kesempurnaan korban. Dan aku diperintahkan supaya tidak memberi upah kepada penyembelih daripadanya (haiwan korban). Maka untuk upahnya kami ambilkan dari wang kami sendiri.”

Riwayat Muslim (1317)

Hadis di atas menjadi dalil kepada haram untuk seorang penyembelih mengambil upah daripada haiwan korban tersebut. Namun begitu, upah atau saguhati  boleh diberikan kepada penyembelih dengan syarat mesti daripada harta penganjur atau orang yang melakukan korban sendiri. (Lihat Ma’alim al-Sunan 158/2; al-Minhaj Syarh Sahih Muslim 65/9)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata: Jika diberi kepada penyembelih dari apa yang dikorban disebabkan kefakirannya, atau sebagai hadiah, maka ini tidak mengapa.” (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 3/633)

Dalam menjawab persoalan di atas, konsep korban adalah melakukan pengorbanan. Oleh itu, dalam isu memberi upah daripada daging tersebut, maka ia tidak sepatutnya demikian.

Sebaliknya, elakkan daripada menggunakan kalimah upah atau perkataan yang membawa maksud jual beli. Akan tetapi, nyatakan bahawa ia adalah satu pemberian, sama ada dalam bentuk sedekah jika orang itu miskin, atau sebagai hadiah jika seseorang itu kaya. 

Semoga Allah SWT menerima segala amal ibadat kita. Amin.

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *