Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Saya solat menggunakan kerusi. Adakah boleh untuk saya menjadi imam kepada ahli keluarga saya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

 صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

Maksudnya:  Bersolatlah secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring.

Riwayat Al-Bukhari (1066)

Imam Al-Nawawi menyatakan jika sekiranya seseorang (yang solat secara berdiri) itu berasa khuatir (kesusahan yang kuat) atau bertambahnya kesakitan, ataupun seorang yang berada di atas sampan khuatir akan tenggelam (jika melakukan solat secara berdiri), ataupun seseorang berasa pening kepala yang kuat, maka dibolehkan untuknya solat secara duduk, serta tidak perlu untuk mengulanginya. (Lihat Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 4/310).

Selain itu, beliau turut menyatakan bahawa harus (dibolehkan) bagi orang yang solat berdiri untuk solat di belakang imam yang solat secara duduk, dalam keadaan (imam tersebut) tidak mampu (untuk solat berdiri). Begitu juga, tidak boleh bagi mereka (orang yang mampu solat secara berdiri) untuk solat secara duduk di belakangnya (imam yang solat duduk).

Beliau turut mengatakan disunatkan bagi seorang imam apabila dia tidak mampu untuk solat secara berdiri untuk menggantikannya dengan seseorang yang boleh solat secara berdiri dari kalangan Jemaah. Hal ini sebagaimana Nabi S.A.W menggantikan orang lain untuk memimpin solat. Ini kerana, perbuatan tersebut sebagai keluar dari khilaf mereka yang tidak membenarkan untuk mengikut imam yang duduk. Juga kerana orang yang berdiri itu lebih sempurna dan lebih dekat ke arah menyempurnakan pergerakan-pergerakan solat. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/264)

Menekuni sirah dan sejarah Nabi SAW kami dapati di penghujung usia Rasulullah SAW pernah beliau melaksanakan solat secara duduk sedangkan makmum di kalangan para sahabat dalam keadaan berdiri, ada juga pendapat mengatakan sahabat-sahabat juga duduk.

Selain itu, terdapat riwayat daripada Aisyah R.Anha, isteri Nabi SAW, sesungguhnya beliau  berkata: 

صَلَّى رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَيْتِهِ وَهُوَ شَاكٍ جَالِسًا، وَصَلَّى وَرَاءَهُ قَوْمٌ قِيَامًا، فَأَشَارَ إِلَيْهِمْ أَنِ اجْلِسُوا، فَلَمَّا انْصَرَفَ قَالَ: إِنَّمَا جُعِلَ الإِمَامُ لِيُؤْتَمَّ بِهِ، فَإِذَا رَكَعَ فَارْكَعُوا، وَإِذَا رَفَعَ فَارْفَعُوا.

Maksudnya: Rasulullah SAW telah mendirikan solat dalam keadaan duduk di rumahnya, sedangkan Baginda dalam keadaan sakit. Dan beberapa orang (makmum) mendirikan solat di belakang Baginda dalam keadaan berdiri. Lalu Nabi SAW memberi isyarat kepada mereka supaya mereka solat secara duduk. Kemudian setelah Baginda selesai solat, Baginda bersabda: “Sesungguhnya dijadikan imam itu untuk diikuti, apabila imam rukuk, hendaklah engkau rukuk, dan apabila imam bangun, hendaklah engkau bangun.”

Riwayat al-Bukhari (1236) dan Muslim (412)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum solat bagi imam yang solat dalam keadaan duduk adalah sah. Namun demikian, meskipun ianya sah, kami sarankan jika sekiranya di rumah tersebut hanya terdapat orang perempuan yakni isteri dan anak perempuan, maka boleh untuk si ayah memimpin solat sebagai imam. Akan tetapi, jika sekiranya dia mempunyai anak lelaki, maka lebih utama bagi anak lelakinya menjadi imam kerana dia mampu untuk solat dalam keadaan berdiri.

Berkenaan solat di atas kerusi, saudara juga boleh rujuk di link bawah:

#1587: Kedudukan Kaki Kerusi Dalam Saf Bagi Mereka Yang Solat Atas Kerusi[1]

#728: Solat di Atas Kerusi yang Dicuri[2]

#611: Kesucian Kerusi Roda[3]

Akhir kalam, semoga dengan penjelasan yang diberikan ini, mampu memberikan kepada kita kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Surah Ibrahim (40)

Wallahua`lam.

 

[1] https://maktabahalbakri.com/1587-kedudukan-kaki-kerusi-dalam-saf-bagi-mereka-yang-solat-atas-kerusi/

[2] https://maktabahalbakri.com/728-solat-di-atas-kerusi-yang-dicuri/ 

[3] https://maktabahalbakri.com/kesucian-kerusi-roda/

Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply