Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya kenapa dibacakan sujud tilawah atau sajdah dengan lafaz :
سَجَدَ وَجْهِيَ لِلَّذِي خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ بِحَولِهِ وقوَّتِهِ.
Terima Kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sujud Tilawah adalah sunat bagi orang yang membaca ayat al-Quran yang mengandungi perkataan Sajdah sama ada semasa di dalam solat atau di luarnya. Begitu juga bagi orang yang mendengarnya semasa di luar solat.
Diriwayatkan daripada Abdullah Bin Umar RA bahawa beliau RA berkata:
كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى الله عَلَيهِ وَ سَلَّمَ يَقْرَأ عَلَيْنَا السُورَةَ فِيهَا السَجْدَةُ فَيَسْجُدَ وَ نَسْجُد
Maksudnya: Pada satu ketika, Rasulullah SAW membacakan kepada kami satu surah yang mempunyai ayat Sajdah, maka Baginda SAW pun sujud lalu kami pun ikut sujud juga. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:556)
Para ulama Syafi’iyyah dan Hanabilah berpendapat bahawa sujud tilawah selepas daripada membaca atau mendengar ayat tilawah ialah sunat muakkad (sunat yang sangat dituntut) (Lihat Mausu’ah Fiqhiyyah Kuwaitiyyah, 24:213). Ia bukanlah sesuatu ibadah yang wajib kerana Nabi SAW pernah meninggalkan sujud tilawah setelah mendengar surah Surah al-Najm yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya. Hal ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan Zaid Ibn Thabit RA, bahawa beliau RA berkata:
قَرَأْتُ عَلَى النَبِيّ وَ النَجْم فَلَم يَسْجُد فِيهَا. وَ فِي رِوَايَةٍ : فَلَمْ يَسْجُدْ منَّا أَحَدٌ
Maksudnya: Aku (Zaid Ibn Thabit RA) membacakan kepada Rasulullah SAW Surah al-Najm (yang mempunyai ayat sajdah di dalamnya), dan Baginda SAW tidak sujud padanya. Dalam riwayat yang lain pula: Maka kami pun ikut tidak sujud juga. (Lihat Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari, 2:554)
Merujuk kepada persoalan di atas, Imam al-Nawawi berkata bahawa disunatkan untuk membaca ketika sujud (tilawah dan sajdah) dengan lafaz sepertimana yang telah diriwayatkan oleh Aisyah R.anha beliau menyatakan bahawa nabi Muhammad SAW mengucapkan dalam sujud tilawah :
سَجدَ وجهي للَّذي خلقَهُ وصوَّرَهُ وشقَّ سمعَهُ وبصرَهُ بِحَولِهِ وقوَّتِهِ.
Maksudnya: “Telah sujud wajahku kepada (Allah) yang Menciptakannya, yang Membentuknya dan yang Membuka pendengarannya serta penglihatannya dengan daya dan kekuatan-Nya, maka Maha Berkat (serta Maha Tinggilah Kelebihan) Allah, sebaik-baik Pencipta.”
Riwayat Abu Dawud (1414), Tarmizi (3825)
Lafaz “وشقَّ سمعَهُ وبصرَهُ” adalah lafaz khas selepas lafaz umum iaitu Allah SWT membuka penglihatan dan pendengaran dengan kefahaman.” بِحَولِهِ ” dengan pertolongan dan perlindungan-Nya dengan menjauhkan dari terkena bencana daripada kedua-duanya iaitu (pendengaran dan penglihatan). ” وقوَّتِهِ “dengan kekuatan dan pertolongan-Nya terhadap kedua-duanya. (Lihat Syarh Husn al-Muslim Min Azkar al-Kitab Wa al-Sunnah,Hlm.113)
Imam al-Syafi menyatakan : Pendengaran dan penglihatan merupakan anggota yang khusus yang tidak termasuk pada bahagian muka. Ia disapu dengan air yang berbeza ketika mengambil wuduk. Lafaz “بِحَوْلِهِ وِقُوَّتِهِ” iaitu tidak ada daya dan kekuatan kecuali dengan pertolongan daripada Allah SWT. (Lihat Syarh Sunan Abu Dawud,7/37)
Imam al-Ramli juga menyatakan dalam kitabnya Nihayah al-Muhtaj bahawa lafaz ini merupakan lafaz dan doa yang afdhal dibacakan pada sujud tilawah sesuai dengan ayat yang baik ketika membaca ayat sajdah. (Lihat Nihayah al-Muhtaj, 2/101)
Diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا قَرَأَ ابْنُ آدَمَ السَجْدَةَ فَسَجَدَ اعْتَزَلَ الشَيْطَانُ يَبْكِي يَقُولُ: يَا وَيْلَه أمِرَ ابْنُ آدَمَ بِالسُجُودِ فَسَجَدَ فَلَهُ الجَنَّة وَ أُمِرْتُ بالسُجُودِ فَأَبَيْتُ فَلِي الناَّر
Maksudnya: Jika seorang anak Adam membaca ayat al-Sajdah kemudian dia sujud, maka syaitan akan melarikan diri dan menangis sambil berkata: “Celakalah aku, anak Adam disuruh untuk sujud dan dia sujud dengan patuh, dan baginya Syurga. Tetapi aku diperintahkan untuk sujud dan aku enggan untuk sujud,maka bagi aku Neraka.”
Riwayat Muslim (81)
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap kita dalam beramal dengan ikhlas kepadaNya. Kami akhiri dengan doa seperti yang diajar untuk dibaca dalam sujud tilawah:
اللَّهُمَّ لَكَ سَجَدْتُ وَبِكَ آمَنْتُ وَلَكَ أَسْلَمْتُ سَجَدَ وَجْهِى لِلَّذِى خَلَقَهُ وَصَوَّرَهُ وَشَقَّ سَمْعَهُ وَبَصَرَهُ تَبَارَكَ اللَّهُ أَحْسَنُ الْخَالِقِينَ
Maksudnya: Ya Allah! Kepada-Mu aku sujud, dengan-Mu aku beriman, dan kerana-Mu aku berserah. Wajahku sujud kepada Tuhan yang menciptakannya dan membentuk rupanya serta mengurniakan pendengaran dan penglihatannya, Maha Suci Allah sebaik-baik Pencipta.
Wallahua’lam
Bertarikh: 7 Julai 2023 bersamaan 18 Zulhijjah 1444 H