Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Assalamualaikum  Datuk,  saya ingin bertanya. Guru besar sekolah kami akan bersara wajib, persoalannya bolehkah kami meraikan hari persaraan beliau itu sedangkan kini dia dalam tempoh iddah. Jadi kami inginkan kepastian sama ada kami boleh meraikan majlis persaraan beliau dalam suasana yang agak sederhana atau kami memang tidak boleh meraikannya? Mohon penjelasan ya Datuk. Terima kasih.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertama, kami kemukakan terlebih dahulu berkenaan maksud ‘iddah dan larangan dalam iddah.

‘Iddah ialah kata nama bagi tempoh tertentu bagi seseorang wanita untuk menunggu, semata-mata mematuhi perintah Allah (ta’abbudi) atau sebagai tanda kesedihan terhadap pemergian suami, atau memastikan rahimnya bersih daripada kandungan. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/77-85).

Firman Allah SWT:

وَالَّذِينَ يُتَوَفَّوْنَ مِنكُمْ وَيَذَرُونَ أَزْوَاجًا يَتَرَبَّصْنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا

Maksudnya: “Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari.”

(Surah al-Baqarah: 234)

Berdasarkan ayat ini, para ulama membahaskan perkataan ‘يَتَرَبَّصْنَ’ yang menunjukkan larangan bagi wanita kematian suami untuk berkahwin dengan lelaki lain atau keluar dari rumah sepanjang tempoh beriddah. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 3/176) 

Hikmah pensyariatan ini ialah adalah bersifat taʻabbudiyah (taat dan patuh) kepada Allah dan sebagai satu penghormatan buat suami yang telah meninggal dunia. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 7/625)

Namun, jika seorang wanita yang beriddah kematian suami perlu keluar dari rumahnya untuk memenuhi hajat keperluan maka diberi kelonggaran untuk berbuat demikian. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Jabir bin Abdullah RA:

طُلِّقَتْ خَالَتِي ثَلاَثًا فَخَرَجَتْ تَجُدُّ نَخْلاً لَهَا فَلَقِيَهَا رَجُلٌ فَنَهَاهَا فَأَتَتِ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَتْ ذَلِكَ لَهُ فَقَالَ لَهَا:‏ اخْرُجِي فَجُدِّي نَخْلَكِ لَعَلَّكِ أَنْ تَصَدَّقِي مِنْهُ أَوْ تَفْعَلِي خَيْرًا‏‏.‏

Maksudnya: “Ibu saudaraku yang telah diceraikan mahu keluar memetik kurma. Ketika ibu saudaraku keluar untuk mendapatkan kurma, dia menjumpai seorang lelaki dan menegur perbuatannya itu (kerana keluar semasa iddah). Maka, ibu saudaraku itu datang berjumpa dengan Nabi Muhammad dan bercerita kepadanya apa yang telah berlaku. Baginda bersabda: Sudah tentu kamu boleh memetik kurma dari pohonnya, supaya kamu boleh bersedekah sebahagian daripadanya atau berbuat baik dengannya.”

 Riwayat Muslim (1438)

Selain itu terdapat riwayat daripada Mujahid RA, beliau berkata:

اُسْتُشْهِدَ رِجَالٌ يَوْمَ أُحُدٍ فَجَاءَتْ نِسَاؤُهُمْ رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَقُلْنَ، يَا رَسُولَ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – نَسْتَوْحِشُ بِاللَّيْلِ، أَفَنَبِيتُ عِنْدَ إحْدَانَا، فَإِذَا أَصْبَحْنَا بَادَرْنَا إلَى بُيُوتِنَا؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ -: تَحَدَّثْنَ عِنْدَ إحْدَاكُنَّ، حَتَّى إذَا أَرَدْتُنَّ النَّوْمَ، فَلْتَؤُبْ كُلُّ وَاحِدَةٍ إلَى بَيْتِهَا.

Maksudnya: “Ketika beberapa orang sahabat meninggal dunia di medan Uhud, isteri-isteri mereka telah datang menemui Rasulullah SAW lalu berkata: Wahai Rasulullah, kami merasa sunyi bersendirian pada waktu malam, apakah boleh kami bermalam di rumah sahabat-sahabat kami dan apabila menjelang siang kami pulang ke rumah masing-masing? Baginda bersabda: Kamu boleh berbual-bual di rumah sahabat-sahabat kamu sehinggalah kamu mahu tidur, pulanglah ke rumah kamu masing-masing.”

Riwayat Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (15512)

Berdasarkan riwayat-riwayat di atas, dapat difahami bahawa wanita kematian suami dibolehkan keluar rumah jika ada keperluan dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan oleh Islam. 

Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tidak ada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak, dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. (Lihat Garis Panduan Ber`Iddah Bagi Wanita Yang Bercerai Atau Kematian Suami, oleh JAKIM)

Lihat juga Ahkam Syar’iyyah #99 Wanita Kematian Suami Pergi Bekerja: https://maktabahalbakri.com/99-wanita-kematian-suami-pergi-bekerja/

 

Kesimpulan

Dalam menjawab persoalan di atas, jika sekiranya majlis tersebut diadakan secara sederhana dan masih lagi dalam konteks ruang lingkup waktu kerjanya, maka ia dibolehkan.

Hal ini dengan maksud, jika waktu kerjanya pulang pukul 5pm, dan majlis dilakukan pada pukul 4pm atau 3pm, maka hukumnya adalah dibolehkan.  Ini kerana, ia masih dikira termasuk dalam waktu kerja, dan majlis tersebut sebagai ucapan pengakhiran dan penghargaan yang dilakukan secara ringkas.

Sebaliknya, jika dibuat pada waktu malam, sehingga menyebabkannya terpaksa keluar rumah pula, maka ia tidak dibolehkan. Ini kerana, ia sudah tidak termasuk dalam urusan bekerja yang diberi kelonggaran padanya.

Kami mengambil kesempatan di sini mengesyorkan kepada pihak kerajaan untuk memberi cuti ‘iddah kepada wanita yang kematian suami selama 4 bulan 10 hari. Ini bertujuan supaya ia benar-benar dapat mematuhi titah perintah Tuhan untuk ber’iddah di samping menyelesaikan segala hal yang terkait dengan almarhum suaminya.

Begitu juga, untuk menguruskan anak-anak dengan lebih peka dan baik kerana ketika itu tanggungjawab terpikul atas bahunya. 

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT agar kita sentiasa diberi kemudahan dalam menghadapi kehidupan.

اللَّهُمَّ لَا سَهْلَ إِلاَّ ما جَعَلْتَهُ سَهْلاً، وأنْتَ تَجْعَلُ الحَزْنَ إذَا شِئْتَ سَهْلاً

Maksudnya: “Ya Allah! Tiada kemudahan kecuali apa yang Engkau jadikannya sebagai kemudahan. Dan Engkaulah yang menjadikan perkara yang sukar itu jika Engkau kehendaki dengan kemudahan.” 

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply