Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh tafsirkan apa makna al-Tahlukah berdasarkan ayat 195 surah al-Baqarah?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Firman Allah SWT:

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ ۛ وَأَحْسِنُوا ۛ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُحْسِنِينَ ‎

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) ugama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil); dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu; kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.

Surah al-Baqarah (195)

Imam al-Tabari menyatakan di dalam tafsirnya bahawa al-Tahlukah dan kebinasaan adalah satu makna. Asalnya kebinasaan itu bermakna kehilangan iaitu kembalinya sesuatu itu sehingga tidak diketahui di manakah ia. (Lihat Jami’ al-Bayan, 2/206)

Imam al-Razi menyebut di dalam tafsirnya, dinukilkan dari Abu ‘Ubaid dan al-Zujaj bahawa al-Tahlukah (التَّهْلُكَةِ) itu adalah kebinasaan. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 1/2600)

Imam al-Baghawi menyatakan, menurut satu pandangan lafaz ‘التَّهْلُكَةُ’ ini adalah termasuk setiap perkara yang membawa kepada kerosakan, serta larangan supaya jangan melakukan perkara tersebut. Selain itu, ‘التَّهْلُكَةُ’ juga merupakan sesuatu perkara yang perlu diwaspadai dan berhati-hati daripadanya. (Lihat Tafsir al-Baghawi, 1/215)

Syeikh al-Sa’di menyebut ‘التَّهْلُكَةُ’ merupakan perbuatan yang menyebabkan terjadinya kerosakan pada jasad atau ruh. Oleh itu, ia termasuk dalam pelbagai perkara, antaranya adalah menjadikan sesuatu perkara sebagai masalah atau kesusahan. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/90)

Secara ringkasnya, ayat di atas bermaksud janganlah kamu menyerahkan diri kepada hal-hal yang menyebabkan kebinasaan, akan tetapi lakukanlah untuk diri kamu sebab-sebab yang boleh membawa kepada keselamatan. (Lihat Zubdah al-Tafasir min Fath al-Qadir, hlm. 38)

Adapun tafsir ayat yang mulia ini, sesungguhnya setelah Allah SWT memfardhukan jihad di jalanNya, mewajibkan penyebaran agama-Nya dengan melakukan pembukaan (penaklukan), ia disusuli dengan kewajipan berinfaq di jalan-Nya. Kewajipan infaq ini dianggap sebahagian dari amalan dan prinsip-prinsipnya yang asasi. Maka jihad itu ialah memerangi musuh-musuh. Begitu juga infaq, ia digolongkan dalam jihad. Firman Allah Ta’ala:

انفِرُوا خِفَافًا وَثِقَالًا وَجَاهِدُوا بِأَمْوَالِكُمْ وَأَنفُسِكُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ 

Maksudnya: “Berangkatlah kamu baik dalam keadaan merasa ringan ataupun merasa berat dan berjihadlah dengan harta dan dirimu di jalan Allah.” 

Surah al-Taubah (41)

Jadi ayat ini khusus untuk membelanjakan harta di jalan Allah dan untuk jihad.

Tersebut di dalam tafsir Ibn Kathir tatkala dia mentafsirkan ayat ini, telah berkata Bukhari dan menyebutkan yang : وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللهِ وَلا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إلى التهلكة ” : “Sanadnya bermaksud, “Dan belanjakanlah hartamu pada jalan Allah SWT dan janganlah kamu menjatuhkan diri kamu di dalam kebinasaan). Diturunkan berhubung dengan masalah membelanjakan harta pada jalan Allah SWT.”

Seterusnya dia menyebutkan: Telah berkata seorang lelaki kepada Al Barra’ bin ‘Azib (sahabat yang mulia RA): “Sekiranya aku menyerang batas musuh berseorangan lalu mereka membunuhku adakah aku menjatuhkan diriku di dalam kebinasaan? Dia berkata: Tidak.” Allah SWT berfirman kepada Rasul-Nya:

 فَقَاتِلْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ لَا تُكَلَّفُ إِلَّا نَفْسَكَ 

Mkasudnya: “Maka berperanglah kamu pada jalan Allah, tidaklah kamu dibebani melainkan dengan kewajipan kamu sendiri.” 

Surah al- Nisa’ (84)

Ayat ini diturunkan berhubung dengan masalah infaq.

Tersebut di dalam tafsir Al-Razi tatkala mentafsirkan ayat ini: “Jika mereka meninggalkan jihad, bermakna mereka mendedahkan diri mereka kepada kebinasaan iaitu azab neraka. Lalu dia mendorong mereka berjihad dan berpegang teguh dengan jihad.” Sebagaimana firman Allah SWT:

لِّيَهْلِكَ مَنْ هَلَكَ عَن بَيِّنَةٍ 

Maksudnya: “laitu agar orang yang binasa itu binasanya dengan keterangan yang nyata.” 

Surah al-Anfal (42)

Jadi ayat di atas tadi menerangkan ini dengan nyata, bahawa ayat ini diturunkan berhubung dengan masalah menyeru manusia berbelanja pada jalan Allah SWT dan pada jihad. Orang yang tidak berbuat demikian, merekalah yang mendedahkan diri kepada kebinasaan dunia dan akhirat. Kebinasaan dunia berupa kerugian kerana dikalahkan musuh sebab meninggalkan jihad. Bersesuaian dengan sabda Nabi Muhammad SAW:

مَا تَرَكَ قَوْمٌ الْجِهَادَ إِلَّا عَمَّهُمُ اللَّهُ بِالْعَذَابِ

Maksudnya: “Tidak ada satu kaum yang meninggalkan jihad melainkan Allah pasti akan menimpakan azab secara umum dan merata kepada mereka.”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Ausat (3839)

Manakala kebinasaan di akhirat merupakan azab Allah SWT pada hari kiamat, dimurkai Allah SWT dan jauh dari rahmat-Nya kerana tidak melakukan apa yang diperintah kepadanya dan melepaskan kewajipannya. Ya, yang menerangkan demikian ialah apa yang disebut di dalam sebab turunnya ayat yang mulia ini (sebab nuzulnya).

Telah diriwayatkan oleh Abu Daud, Al-Tirmizi, Al- Nasa’i, Abdu bin Hamid di dalam tafsirnya, Ibn Jarir. Ibn Marwadih, Al-Hafiz bin Ya’la di dalam sanadnya. Ibn Hibban di dalam sahihnya dan Al-Hakim di dalam mustadraknya mereka itu semua adalah Imam-Imam Hadith (perawi-perawi hadith) dari Yazid bin Abi Habib dari Aslam bin ‘Imran, dia berkata:

“Seorang lelaki dari Muhajirin telah terdorong untuk ke Konstantinople (ibu negara Romawi Timur) dan memasuki barisan musuh sehingga dia berjaya memecahkan barisan musuh dan Abu Ayub Al-Ansari sahabat besar juga ada bersama kami. Orang ramai berkata: “Dia menjatuhkan dirinya kepada kebinasaan.”

Maka berkatalah Abu Ayub: “Kamilah yang lebih mengetahui maksud ayat ini, kerana ayat ini diturunkan kepada kami. Kami bersahabat dengan Rasulullah SAW dan kami berperang bersama baginda di segenap medan peperangan dan beroleh kemenangan. Tatkala Islam tersebar dan telah menang, kami berkumpul dengan golongan Ansar untuk berkasih sayang lalu kami berkata: Allah SWT telah memuliakan kita dengan persahabatan dengan Nabi-Nya dan dengan pertolongan-Nya, sehingga Islam telah berkembang dan bertambah ramai pemeluknya, mereka mengutamakan Rasulullah SAW lebih dari ahli kami, harta dan anak-anak kami. Apabila peperangan telah selesai dan kami sepatutnya kembali kepada isteri dan anak- anak kami lalu kami tinggal di rumah bersama mereka.” Maka turunlah ayat ini:

وَأَنفِقُوا فِي سَبِيلِ اللَّهِ وَلَا تُلْقُوا بِأَيْدِيكُمْ إِلَى التَّهْلُكَةِ 

Maksudnya: “Dan belanjakanlah (harta bendamu) di jalan Allah SWT, dan janganlah kamu menjatuhkan dirimu sendiri ke dalam kebinasaan.” 

Surah al-Baqarah (195)

Jadi kebinasaan di sini bermaksud kita duduk diam di sisi ahli keluarga, harta dan meninggalkan jihad.

Tatkala mentafsirkan ayat ini, Al-Imam Al-Razi juga berkata: Telah diriwayatkan bahawa suatu kaum mengepung satu kubu lalu berperang dengan seorang lelaki hingga dia terbunuh. Maka dikatakan: “Dia telah mencampakkan dirinya di dalam kebinasaan. “Maka berita yang demikian telah sampai kepada Saidina Umar bin Al-Khattab RA lalu dia berkata Mereka berdusta. Tidakkah Allah SWT berfirman:

 وَمِنَ النَّاسِ مَن يَشْرِي نَفْسَهُ ابْتِغَاءَ مَرْضَاتِ اللَّهِ 

Maksudnya: “Dan di antara manusia ada orang yang mengorbankan dirinys kerana mencari keredhaan Allah.” 

Surah al-Baqarah (207)

Syeikh Abdul Aziz al-Badri berkata, “Tidak perlulah dituliskan di sini semua pendapat pendapat mufassir dan ulama’ dalam mentafsirkan ayat yang mulia ini. Jelaslah bahawa semua pendapat mereka tidak terkeluar dari pengertian dan tafsir yang telah kita tunjukkan tadi. Banyak ayat-ayat Allah SWT dan hadith-hadith Rasulullah SAW yang menyeru kepada jihad yang terbahagi kepada dua bahagiannya iaitu berjihad qital (peperangan dan jihad dengan harta pada jalan Allah SWT, menentang golongan yang zalim, menegur pihak yang berkuasa, menyuruh manusia berbuat baik dan melarang mereka dari kemungkaran dan kejahatan.

Terdapat perintah Allah SWT dan Rasul-Nya supaya sentiasa bersabar di dalam segala gangguan dan penindasan yang mungkin menimpa pendukung dakwah. Kesabaran perkara yang paling mulia dari segala perkara yang dimuliakan oleh Allah SWT Inilah sifat yang diwajibkan kepada hamba-hamba-Nya khususnya umat Islam dengan ulama’nya dipandang sebagai pemimpin-pemimpin mereka. Ayat-ayat dan hadith-hadith mulia ini menegaskan bahawa sikap mendiamkan diri dari menjalankan tugas yang paling mulia itu, itulah yang menyebabkan kebinasaan.

Pembaca yang mulia akan mendapati beberapa gambaran dari peristiwa, sikap dan pendirian yang ditunjukkan oleh ulama’ salafus saleh dalam menghadapi pemerintah mereka. Dengan pendirian itu melahirkan kemuliaan Islam dan kekuatan iman. Mereka juga menetapkan bahawa mereka adalah ulama’ yang sebenar-benarnya dan lelaki yang sejati lagi bertekad teguh tidak takutkan terkaman seorang hakim (penguasa) dan tidak gentar terhadap ancaman seorang sultan. Mereka tidak takutkan kekuatan angkatan tentera, kegelapan penjara atau kem-kem tahanan.” (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 144-150)

Marilah sama-sama kita beriltizam dengan agama Allah SWT dan mematuhi segala titah perintah-Nya. Kita munajat agar kita sentiasa dikurniakan ketetapan hati dan jiwa. 

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 10 Julai 2023 bersamaan 21 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply