Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya hendak bertanya, air Evian ini halal atau tidak? Bila tengok status halal JAKIM, tiada pula.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi air Evian. Ringkasnya, kini air Evian dimiliki oleh Syarikat Danone.[1] Menurut mereka, permulaan bagi air Evian ialah air hujan dan salji yang kemudian meresap masuk melalui tanah ke impluvium (kawasan tadahan air) kami sebelum perlahan-lahan melalui lapisan-lapisan batu glasier, di mana secara semulajadi ia ditapis dan diperkaya dengan elektrolit dan mineral-mineral.[2] Evian ialah air alam semula jadi yang sebenar. Ia adalah air mineral daripada sumber unik yang sentiasa menghidrat dan menyegarkan secara semula jadi, tanpa sebarang tambahan untuk rasa atau kelebihan lain — supaya anda boleh mencapai kemuncak semula jadi anda.[3]

Dikatakan air Evian sangat mahal. Namun, ada sebab mengapa air tersebut datang dengan harga sebegitu, antaranya:

  • Baik untuk tulang, jantung dan mampu turunkan berat badan. Ia kaya dengan kalsium dan magnesium yang akan membuatkan tulang kuat, peradaran jantung yang baik dan membantu untuk menurunkan berat badan.
  • Ia adalah daripada sumber air semula jadi yang bukan sahaja menghilangkan dahaga malah membantu tubuh menjadi lebih sihat.
  • Pengiktirafan dari segi kesihatan dan brand ‘awareness’.
  • Air dari Perancis. Ia datang dari wilayah tenggara Perancis, Rhone-Alpes. Harga air sedikit sebanyak meliputi kos pengedaran global. Jika di Perancis atau bahagian lain negara Eropah, air ini mungkin lebih murah daripada harga di Malaysia. Namun untuk sampai ke negara-negara di Asia Tenggara, kos untuk mengedar jenama air Evian ini akan menjadi lebih mahal.
  • Botol dari bahan kitar semula. Evian menggunakan botol dari bahan yang mudah dikitar semula. Laman web mereka mengatakan botol diperbuat daripada polyethylene terephathalate (PET) yang mempunyai proses pembuatan kompleks. Kosnya juga agak mahal untuk menghasilkan botol dengan kualiti 100% PET.[4]

Pada asasnya, hukum asal bagi makanan dan minuman adalah halal melainkan terdapatnya dalil yang menyatakan hal sebaliknya. (Lihat Raudhah al-Talibin, 3/271; al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685). Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2). Justeru, diharuskan untuk memakan 

 makanan yang suci lagi bersih, bukannya makanan yang bernajis mahupun mutanajjis (terkena najis), dan yang tidak ada kemudaratan padanya seperti racun dan seumpamanya. Oleh itu, termasuklah yang diharuskan untuk makan itu adalah kasturi — kerana ia adalah suci dan tidak memudaratkan —dan seumpamanya seperti biji-bijian, buah-buahan dan lain-lain yang terdiri daripada benda-benda yang suci. (Lihat al-Raudh al-Murbi‘ Syarh Zad al-Mustaqni‘, hlm. 685).

Selain itu, hal ini juga bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْلَ فِي الْأَشْيَاءِ الطَّهَارَةُ حَتَّى تَتَحَقَّقَ النَّجَاسَةُ

Maksudnya:Asal bagi sesuatu adalah suci bersih sehinggalah ternyata kenajisannya.” (Lihat Tarh al-Tathrib fi Syarh al-Taqrib, 2/114).

Tambahan lagi, Syeikh al-Sa‘di juga ada menyebutkan kaedah:

والأَصْلُ في مِيَاهِنَا الطهارةُ # والأرضُ والثيابُ والحجارةُ

Asal bagi air kita adalah suci bersih.

 Begitu juga tanah, pakaian dan batu.”

Syeikh Hamad bin Abdullah mensyarahkan kaedah ini dengan menyatakan bahawa makna kaedah ini ialah hukum asal bagi air, tanah, pakaian dan batu adalah suci bersih. Dalil yang menunjukkan kepada sucinya air adalah sebagaimana sabda Nabi SAW:

إنَّ الماءَ طهورٌ لا ينجِّسُهُ شيءٌ

Maksudnya:Sesungguhnya (hakikat) air itu adalah suci dan mensucikan, tidak ada sesuatu pun yang menajiskannya.

Oleh sebab itu, hukum asal bagi air laut, air sungai, air mata air dan seumpamanya adalah suci bersih. Justeru, apabila kamu terkena air daripada saluran dan kamu tidak tahu, adakah air tersebut suci bersih ataupun bernajis? Maka, kami katakan kepada kamu: “Sesungguhnya hukum asal bagi air adalah suci bersih dan atas sebab itulah, kamu tidak diwajibkan untuk membersihkan pakaian kamu daripadanya.” (Lihat Syarh Manzumah al-Qawaid al-Fiqhiyyah li al-Sa‘di, 3/3).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jelaslah bahawa hukum asal bagi air mata air atau dipanggil juga sebagai air mineral termasuklah air Evian adalah suci dan halal untuk diminum selagi mana tiada bukti yang menunjukkan kepada hal yang sebaliknya seperti bahan-bahan yang tidak halal, bernajis, memberi mudarat dan seumpamanya.

Selanjutnya berkenaan logo halal pula, ia bukanlah menjadi syarat untuk sesuatu makanan atau minuman itu dianggap sebagai halal atau boleh dimakan dan diminum. Walau bagaimanapun, ia boleh menjadi sebagai dalil sokongan atau penguat yang menguatkan lagi perkara tersebut — yakni kehalalan makanan itu.

Hal ini kerana dalam negara kita, terdapat badan berwajib yang dipertanggungjawabkan bagi mengeluarkan sijil Pengesahan Halal Malaysia. Bahkan Bahagian Hab Halal JAKIM, Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri akan memastikan syarikat yang membuat permohonan sijil halal itu, wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan berserta dokumen yang kukuh seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal. Sehubungan dengan itu, jika suatu produk makanan tersebut sudah mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM,[5] maka ia boleh dimakan tanpa sebarang keraguan mahupun waswas[6] kerana sijil pengesahan halal tersebut telah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terdapat dalam suatu produk makanan itu adalah terdiri daripada sumber yang halal, sekali gus menghilangkan keraguan yang timbul.

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa hukum asal mana-mana air mineral termasuklah air Evian adalah halal dan harus untuk diminum, dijadikan alat bersuci dan diambil manfaatnya selagi mana tiada bukti yang menunjukkan kepada hal yang sebaliknya seperti mengandungi bahan-bahan yang tidak halal, bernajis, memberi mudarat dan seumpamanya. Apatah lagi air Evian terbukti sebagai salah satu air yang terbaik dan mendapat pengiktirafan.  

Sekalipun ia tidak mempunyai logo halal, hukumnya tetap kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan suci sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan perkara sebaliknya. Hal ini kerana logo halal bukanlah syarat bagi menentukan status kehalalan sesuatu minuman mahupun makanan. Ia hanyalah menjadi dalil sokongan atau penguat yang menguatkan lagi perkara tersebut — yakni kehalalan minuman itu — sehingga tidak perlu lagi diragukan lagi kerana sijil pengesahan halal tersebut telah menjadi bukti kukuh yang menunjukkan bahawa bahan-bahan yang terdapat dalam produk makanan itu adalah terdiri daripada sumber yang halal, sekali gus menghilangkan keraguan yang timbul. 

Pada kesempatan ini, kami ingin menasihatkan agar berhati-hati dalam memilih suatu minuman dan makanan kerana memilih makanan dan minuman yang halal lagi baik juga merupakan antara faktor doa diterima oleh Allah SWT. Rasulullah SAW pernah bersabda:

الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيْهِ إِلَى السَّمَاءِ، يَا رَبِّ، يَا رَبِّ، وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ، فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya:Seorang lelaki yang melakukan perjalanan jauh (lama), tubuhnya diliputi debu lagi kusut, dia menadah tangannya ke langit dan berdoa, ‘Ya Rabbku, ya Rabbku’. Akan tetapi makanannya haram, minumannya haram, dan ia diberi makan dengan yang haram. Maka bagaimana mungkin doanya dikabulkan.

Riwayat Muslim (1015)

Demikianlah juga jika timbul keraguan terhadap suatu makanan atau minuman yakni tidak pasti halal ataupun tidak, serta tidak ada bukti-bukti sokongan lain yang menunjukkan ia adalah halal, maka meninggalkan perkara yang syubhah dan meragukan itu adalah lebih dituntut dalam Islam dan lebih menenangkan jiwa, sekali gus menuruti saranan Rasulullah SAW sebagaimana sabdanya:

دَعْ مَا يَريبُكَ إِلَى مَا لَا يَريبُكَ

Maksudnya: “Tinggalkanlah apa yang menjadi keraguan kepadamu kepada yang tidak meragukan.”

Riwayat al-Tirmizi (2518)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama dan menjauhkan diri kita daripada perkara-perkara yang diharamkan. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://en.wikipedia.org/wiki/Evian. Diakses pada 11 Julai 2023.

[2] Lihat https://www.danone.com/brands/waters/evian.html. Diakses pada 11 Julai 2023.

[3] Lihat https://www.evian.com/en_int/. Diakses pada 11 Julai 2023.

[4] Lihat https://sinarplus.sinarharian.com.my/fyi/patutlah-harga-kayangan-ini-khasiat-air-mineral-tular-jenama-evian/. Diakses pada 11 Julai 2023.

[5] Sila rujuk kepada pautan berikut, bagi mengetahui Senarai Badan Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, https://www.halal.gov.my/v4/index.php?data=bW9kdWxlcy9jZXJ0aWZ5X2JvZHk7Ozs7&utama=CB_LIST&lang=bm. Diakses pada 13 Oktober 2021.

[6] Bahagian Hab Halal JAKIM, https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=2839378816112669&id=155056204544957. Diakses pada 13 Oktober 2021.

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply