Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Salam Dr kesayangan. Terbaca hari ini ulasan Dr tentang mimpi berjumpa Nabi SAW. Ya Allah Ya Tuhanku, saya juga pernah berjumpa Nabi, bukan hanya Nabi Muhammad SAW tapi juga Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim dalam 2 mimpi berbeza dengan jarak hanya beberapa hari. Perasaan gembira itu ada sampai sekarang, setiap kali terkenang memang mudah menitis air mata saya.

Rasa rindu yang amat sangat dan saya teringin sangat bercerita tentang mimpi ini dengan orang-orang terdekat, berkongsi gembira, nak sangat. Tapi saya tahu ianya hanya akan menyebabkan syak wasangka yang buruk, sebab wallahi, tiada siapa yang akan percaya sebab saya bukannya ‘baik agamanya’, biasa-biasa dan tiada yang istimewa.

Untuk pengetahuan Dr, ketika berjumpa dengan Nabi Nuh dan Nabi Ibrahim AS, saya hanya melihat mereka dari jauh, di padang rata yang sedikit berbukit. Sekadar itu mimpinya. Saya buat keputusan tidak ambil kisah sangat tentang mimpi itu sebab saya takut itu syaitan yang menyerupai.

Beberapa hari selepas itu, saya bermimpi berjumpa Nabi SAW Dr. dan dekat, Nabi betul-betul berada di depan saya, berpakaian hijau lumut lusuh, rupanya yang sejuk sampai ke hari ini saya ingat. Namum saya kesal kenapa dalam mimpi itu saya tidak pergi peluk Nabi SAW. Dalam mimpi itu, selepas berjumpa Nabi SAW, saya seolah-olah mengepalai satu kumpulan bergerak dan bertakbir kuat. Setakat itu mimpinya.

Ya Allah saya rindu, walaupun mimpi ini sudah lama, saya berharap sangat dapat bermimpi berjumpa lagi dengan Nabi SAW.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum saya memanjangkan jawapan ini, suka saya kemukakan bagaimana sepatutnya sikap kita terhadap mimpi.

Perlunya kita memahami jika ia baik adalah daripada Allah maka bolehlah kita ceritakan sebaliknya jika tidak, ia daripada syaitan, maka hendaklah kita berdoa berlindung daripadanya. Hal ini berdasarkan hadith Nabi SAW, daripada Abu Sa‘id al-Khudri, bahawa dia mendengar Nabi SAW bersabda: 

إِذَا رَأَى أَحَدُكُمْ رُؤْيَا يُحِبُّهَا، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ اللهِ، فَلْيَحْمَدِ اللهَ عَلَيْهَا وَلْيُحَدِّثْ بِهَا، وَإِذَا رَأَى غَيْرَ ذَلِكَ مِمَّا يَكْرَهُ، فَإِنَّمَا هِيَ مِنَ الشَّيْطَانِ، فَلْيَسْتَعِذْ مِنْ شَرِّهَا، وَلاَ يَذْكُرْهَا لِأَحَدٍ، فَإِنَّهَا لاَ تَضُرُّهُ.

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kalian bermimpi melihat sesuatu yang disenanginya, maka sesungguhnya mimpi itu daripada Allah, kerana itu hendaklah dia memuji Allah dan menceritakannya. Dan apabila dia bermimpi melihat sesuatu yang tidak disenanginya, sesungguhnya mimpi itu daripada syaitan, maka hendaklah dia memohon perlindungan daripada keburukannya dan tidak menceritakannya, kerana sesungguhnya mimpi itu tidak akan membahayakannya.”

Riwayat al-Bukhari (6985)

Di sini kami katakan bahawa mimpi yang baik sebagai berita gembira. Inilah yang telah dinyatakan oleh Rasulullah SAW.

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لَمْ يَبْقَ مِنَ النُّبُوَّةِ إِلَّا المُبَشِّرَاتُ. قَالُوا: وَمَا المـُبَشِّرَاتُ؟ قَالَ: الرُّؤْيَا الصَّالِحَةُ.

Maksudnya: “Tiada yang berbaki daripada kenabian selain berita gembira.” Mereka bertanya: “Apa itu berita gembira?” Baginda menjawab: “Mimpi yang baik.”

Riwayat al-Bukhari (6990)

Saya ucapkan syukur dan tahniah kepada saudara kerana dikurniakan mimpi bertemu Rasulullah SAW dan juga mimpi para nabi. Dalam isu ini, para ulama amat berhati-hati berkenaan dengan mimpi Nabi SAW kerana ia mempunyai kelebihan yang tersendiri dan special. Syaitan sendiri pun tidak mampu menyerupakan dirinya dengan Rasulullah SAW. Dengan sebab itu, sifat nabi mestilah benar dan betul sebagai mana yang disebut oleh para sahabat dan dalam kitab seperti dalam kitab al-Syamail

Jika benar sifatnya sepertimana Ibn Abbas selalu bertanya dan jika benar nescaya ia mengiyakan. Ini kerana hadith daripada Abu Hurairah, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَآنِي فِي المَنَامِ فَسَيَرَانِي فِي اليَقَظَةِ، وَلاَ يَتَمَثَّلُ الشَّيْطَانُ بِي». قَالَ أَبُو عَبْدِ اللهِ: قَالَ ابْنُ سِيرِينَ: «إِذَا رَآهُ فِي صُورَتِهِ.

Maksudnya: “Sesiapa bermimpi melihatku, maka dia akan melihatku dalam keadaan terjaga , dan syaitan tidak dapat menyerupaiku.” Abu ‘Abdillah (Imam al-Bukhari) berkata: Ibn Sirin berkata: “Maksudnya, apabila dia melihatnya dalam rupa bentuk Baginda.”

Riwayat al-Bukhari (6993)

Mimpi Rasulullah SAW dan para nabi merupakan petanda yang baik dalam kehidupan kita. Diharapkannya dengan mimpi tersebut makin beriltizamlah kita dengan agama Allah SWT dan istiqamah. Itulah cara kita berinteraksi dengan mimpi yang baik, untuk meningkatkan amalan soleh, menekuni ilmu dan mencintai Rasulullah SAW dengan mengikut sunnahnya serta sentiasa berselawat ke atas Baginda SAW. 

Semoga anda dalam keadaan dirahmati dan diredhai Allah SWT. Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply