#2263: Kisah Penggunaan Barangan Mewah Imam Malik

-25%
Percuma Al-Quran
Out of stock
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Size Pocket

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

RM15.00

Buku Fizikal

Imam Mahdi

RM13.00

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

RM13.00

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

RM13.00
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar Imam Malik seorang yang kaya dan memakai pakaian yang mewah atau menghiasi rumah dengan langsir yang baik. Benarkah kisah tersebut dan bagaimana jawapan Imam Malik?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Imam Malik adalah Imam Darul Hijrah yang mempunyai kelebihan dan ramai ulama memujinya. Beliau dilahirkan pada tahun 93 H dan ada yang menyatakan tahun 90, 94 dan 97 H. Tetapi yang masyhur tahun 94 H. 

Berkenaan dengan persoalan saudara, ia kerana Imam Malik berpendapat bahawa penggunaan barang-barang yang baik dan berharga adalah salah satu cara menikmati perkara yang dihalalkan oleh Allah SWT. Hal ini hendaklah difahami oleh seluruh umat Islam, iaitu perkara yang demikian adalah harus jika berkemampuan. 

Yahya bin Zaid al-Naufali tidak bersetuju dengan Imam Malik dalam masalah ini. Beliau telah menulis surat kepada Imam Malik berhubung masalah ini. Kemudian, perselisihan pendapat antara keduanya dapat kita lihat dengan terang jika kita teliti isi kandungan surat yang dihantar kepada Imam Malik. Surat tersebut adalah seperti di bawah:

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW di permulaan dan pengakhiran. Dari Yahya bin Yazid bin Abdul Malik kepada Malik bin Anas.

Aku mendapat tahu bahawa engkau memakai pakaian yang lembut dan makan makanan yang baik, sementara hamparan pula adalah hamparan yang baik dan berharga mahal. Engkau menduduki majlis-majlis ilmu dan ramai manusia datang.

Berhubung dengan perkara yang engkau sebutkan bahawa aku makan makanan yang baik dan aku memakai pakaian yang lembut serta memakai langsir di pintu-pintu rumahku dan aku duduk pula di atas hamparan yang mewah. Ya, benar kami berbuat demikian dan kami meminta keampunan dari Allah di atas perbuatan itu, sesungguhnya Allah SWT berfirman: 

قُلْ مَنْ حَرَّمَ زِينَةَ اللَّـهِ الَّتِي أَخْرَجَ لِعِبَادِهِ وَالطَّيِّبَاتِ مِنَ الرِّزْقِ ۚ قُلْ هِيَ لِلَّذِينَ آمَنُوا فِي الْحَيَاةِ الدُّنْيَا خَالِصَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۗ كَذَٰلِكَ نُفَصِّلُ الْآيَاتِ لِقَوْمٍ يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang (berani) mengharamkan perhiasan Allah yang telah dikeluarkan-Nya untuk hamba-hamba-Nya, dan demikian juga benda-benda yang baik lagi halal dari rezeki yang dikurniakan-Nya? Katakanlah: Semuanya itu ialah (nikmat-nikmat) untuk orang-orang yang beriman (dan juga yang tidak beriman) dalam kehidupan dunia, (nikmat-nikmat itu pula) hanya tertentu (bagi orang-orang yang beriman sahaja) pada hari Kiamat. Demikianlah Kami jelaskan ayat-ayat keterangan Kami satu persatu bagi orang-orang yang (mahu) mengetahui.”

Surah al-A’raf (32)

Sesungguhnya aku mengetahui bahawa meninggalkan perkara itu lebih baik dari membuatnya. Selalulah menulis kepada kami dan kami akan menulis kepada engkau. Salam sejahtera untuk engkau.” (Lihat Biografi Imam 4 Mazhab, hlm. 86-87)

Kami katakan bahawa itulah sifat Imam Malik yang terbuka dan meraikan realiti serta suasana. Sikapnya jelas menunjukkan nikmat Allah SWT mestilah digunakan dan disyukuri. Salah satunya menzahirkannya dan menceritakannya. Benarlah firman Allah SWT:

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Maksudnya: “Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.

Surah al-Dhuha (11)

Antara tafsir kepada menceritakan nikmat adalah sebagaimana yang disebutkan oleh Imam Al-Hasan Rahimahullah: Apabila kamu memperoleh kebaikan atau kamu melakukan suatu perbuatan yang baik maka ceritakanlah kepada saudara-saudaramu yang kamu percayai.

Imam Abu Bakr Ibn Al-Arabi Al-Malik Rahimahullah berkata: Perbuatan menceritakan amalan soleh yang dilakukan hendaklah dilakukan dengan keikhlasan niat di hadapan orang yang terpercaya. Ini kerana, ia boleh jadi membawa kepada riyak, serta menimbulkan buruk sangka kepada pendengarnya. (Lihat Ahkam Al-Quran oleh Ibn Al-Arabi, 4/356).

 Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَميعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *