#2265: Kisah Harun Al-Rasyid Menziarahi Fudhail bin ‘Iyadh

-25%
Percuma Al-Quran
Out of stock
Original price was: RM440.00.Current price is: RM330.00.
Size Pocket

Buku Fizikal

Dengan Nama Allah

RM15.00

Buku Fizikal

Imam Mahdi

RM13.00

Buku Fizikal

Yajuj dan Majuj

RM13.00

Buku Fizikal

Hakikat Dajjal

RM13.00
-29%
Original price was: RM70.00.Current price is: RM50.00.

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah Harun al-Rasyid pernah menziarahi Fudhail bin ‘Iyadh dan berlaku suasana yang menginsafkan? Boleh Dato’ Seri ceritakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu biodata ringkas Fudhail bin ‘Iyadh:

Nama penuh beliau ialah Abu Ali Fudhail bin ‘Iyadh bin Mas’ud bin Bisyir al-Tamimi al-Yarbu’i al-Hurasani berasal dari pinggiran kota Muru. Fudhail bin ‘Iyadh dilahirkan pada tahun 105 H di bandar Samarkan dan membesar di kota Abyurd. 

Beliau digelar sebagai Abidul Al-Haramain kerana teguhnya berbuat ibadah di dua tanah suci iaitu di kota Makkah dan Madinah. Kata al-Mizzi bahawa Fudhail adalah seorang orang soleh dan orang yang sangat kuat beribadah. Manakala Imam al-Zahabi mengatakan bahawa beliau merupakan seorang yang zuhud, kuat hafalannya, dan disepakati tentang kemuliaannya serta orang yang dipercayai.

Beliau menulis riwayat-riwayat hadith di kota Kufah kemudian berpindah ke Makkah dan bermukim di sana sehingga beliau wafat. Beliau wafat dalam bulan Muharram tahun 187 H.

Menjawab persoalan di atas, kami nukilkan sebuah kisah.  Telah berkata Fadhl bin Al-Rabi’: “Pada suatu hari aku sedang berada di rumahku dan sedang melucuti pakaianku untuk masuk tidur. Tiba-tiba terdengar ketukan yang keras di pintuku. Lantas aku berkata dengan gelisah: Siapakah itu?”

Pengetuk itu berkata: “Aku! Amirul Mukminin.” Lantas aku keluar dengan segera dalam langkah yang tersangkut-sangkut. Apabila Harun Al-Rashid berada di hadapan pintuku dan pada mukanya nampak tanda dukacita, lalu aku berkata: “Wahai amirul mukminin. Mengapa kamu tidak mengutus orang memanggilku supaya aku sendiri datang kepadamu?”

Lalu baginda menjawab: “Wahai, ada sesuatu yang mengganggu jiwaku, mencabut tidurku dari kelopak mataku dan menyusahkan perasaanku. la tidak mungkin dihapuskan melainkan oleh orang alim yang bertaqwa dari kalangan orang-orang yang zahid seperti engkau. Tunjukkanlah seorang lagi kepadaku untuk aku bertanya dan mengadu hal.”

Kemudian Al-Rabi’ berkata: “Kemudian aku pun membawa Khalifah Harun Al-Rasyid menemui Fudhail bin ‘Iyadh. Harun Al-Rasyid berkata: “Marilah kita pergi kepadanya.” Lalu kami datang mendekatinya. Beliau sedang berdiri bersembahyang di biliknya dengan membaca firman Allah Ta’ala:

‏ أَمْ حَسِبَ الَّذِينَ اجْتَرَحُوا السَّيِّئَاتِ أَن نَّجْعَلَهُمْ كَالَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ سَوَاءً مَّحْيَاهُمْ وَمَمَاتُهُمْ ۚ سَاءَ مَا يَحْكُمُونَ 

Maksudnya: “Apakah orang-orang yang membuat kejahatan itu menyangka bahawa kami akan menjadikan mereka seperti orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang saleh, iaitu sama antara kehidupan mereka dan kematian mereka? Amat buruk apa yang mereka sangka itu?” 

Surah Al Jathiyah (21)

Lantas Al-Rasyid berkata: “Sekiranya ada sesuatu yang berguna kepada kami maka inilah dia. Lalu aku mengetuk pintu. Berkatalah Fudhail: “Siapa ini?” Lalu aku berkata: “Bukalah pintu. Ini Amirul mukminin.” Lantas beliau menjawab: “Apa pula kena-mengena aku dengan amirul mukminin?” Lalu aku berkata: “Subhanallah. Tidak wajibkah kamu taat kepadanya?” Lantas dia berkata: “Tidakkah telah diriwayatkan dari Rasulullah SAW:

لاَ يَنْبَغِي لِلْمُؤْمِنِ أَنْ يُذِلَّ نَفْسَهُ

Maksudnya: “Tidak sepatutnya bagi seorang mukmin menghinakan dirinya sendiri.” 

Riwayat al-Tirmizi (2254), Ibn Majah (3259) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (7/3473). Dinyatakan sebagai sahih dalam Sahih al-Tirmizi.

Lantas beliau turun dan membuka pintu. Kemudian dia naik semula ke biliknya lalu memadamkan lampu dan berlindung di sudut bilik itu. Lalu kami meraba-raba dengan tangan mencarinya dalam gelap. Tiba-tiba tangan Al-Fudhail terpegang tangan khalifah sambil berkata: “Wah, tangan siapakah ini, alangkah lembutnya sekiranya terselamat dari azab Allah Ta’ala.” Fudhail berkata dengan tulus ikhlas kepada Al-Rashid dari hati yang bertaqwa.

Maka berkatalah Khalifah Al-Rashid: “Ambillah apa yang kami bawa ini. Semoga Allah SWT memberi rahmat kepadamu.” Fudhail bin lyad berkata: “Setiap apa yang kamu bawa adalah seperti kamu mendukung dosa-dosa rakyat. Kamu menindas mereka dengan penuh kehinaan. Segala dosa yang dilakukan oleh sahabat-sahabatmu, dan pegawaimu dikumpulkan dengan dosa-dosa rakyat semuanya kamu tanggung. Lantaran kamulah, mereka membuat pencerobohan dan kezaliman sedangkan merekalah yang paling benci kepadamu dan paling segera lari daripadamu pada hari perhitungan (hari kiamat).

Jika kamu meminta mereka memikul sebahagian dari dosa-dosa yang mereka lakukan di hari tersingkapnya tabir antara kamu dengan mereka, tentu mereka tidak mahu menolongmu dan sudah tentu orang yang paling cinta kepadamu inilah yang terlebih dahulu cepat lari dari kamu.”

Kemudian dia berkata lagi: “Semasa Umar bin Abdul Aziz menjadi khalifah, beliau memanggil Salim bin Abdullah dan Muhammad bin Kaab dan Raja’ bin Haiwah (mereka itu ulama’ yang saleh) lalu berkata kepada mereka: “Sesungguhnya aku telah diuji dengan bala bencana ini (menjadi khalifah) maka berilah fikiran kepadaku.” Jadi Umar bin Abdul Aziz memandang jawatan khalifah (pemerintah) sebagai bala bencana, tetapi kamu dan sahabat-sahabatmu memandangnya sebagai nikmat.

Maka berkatalah Salim bin Abdullah kepadanya: “Sekiranya kamu hendak selamat, besok berpuasalah dari dunia dan hendaklah kamu berbuka puasa dengan kematian.”

Muhammad bin Kaab pula berkata kepadanya: “Jika kamu hendak terlepas dari azab Allah SWT, jadikanlah orang yang dewasa dari umat Islam sebagai bapamu dan orang yang pertengahan umurnya sebagai saudaramu dan yang kecil dari mereka sebagai anakmu. Jadi hormatilah bapamu, muliakan saudaramu dan kasihanilah anakmu.”

Manakala Raja’ bin Haiwah berkata kepadanya: “Jika kamu hendak terselamat dari azab Allah SWT cintailah muslimin seperti kamu mencintai dirimu dan bencilah untuk mereka apa yang kamu benci untuk dirimu. Selepas itu kamu bolehlah mati sekiranya kamu hendak mati.”

Sesungguhnya aku berkata kepadamu: “Wahai Harun (Khalifah Harun al-Rasyid) apa yang sangat aku takuti ke atasmu ialah pada suatu hari nanti engkau akan tergelincir dari landasanmu

Lantaran itu Harun menangis. Ibn Rabi’ berkata: “Aku berkata aku kasihkan Amirul Mukminin.”

Lalu Fudhail ibn lyad berkata: “Engkau dengan sahabat-sahabatmu telah membunuh dia. Akulah yang mengasihaninya.

Kemudian dia berkata: “Wahai muka yang elok, engkaulah yang akan disoal oleh Allah SWT dari hal manusia pada hari kiamat. Maka sekiranya kamu berkuasa memelihara muka yang hanif ini, buatlah. Jagalah dirimu pagi dan petang supaya kamu tidak mempunyai niat untuk membuat khianat kepada seseorang dari rakyatmu.”

Rasulullah SAW telah bersabda:

منْ أَصْبَحَ لَهُمْ عَأَمَّا لَمْ يَرَحْ رَائِحَةَ الْجَنَّةِ.

Maksudnya: “Barangsiapa masuk di waktu pagi dalam keadaan menipu kaum Muslimin, dia tidak akan mencium wanginya syurga. 

Riwayat al-Bukhari

Maka menangislah lagi Harun Al-Rasyid. Kemudian baginda bertanya lagi: “Adakah kamu menanggung hutang?” Fudhail bin lyad menjawab: “Ya. Aku terhutang kepada Tuhanku, jika Dia tidak menghisab aku, celakalah bagiku jika Dia menyoal aku dan celakalah bagiku jika Dia memeriksa aku, Celakalah bagiku jika tidak diterima hujjahku.”

Harun Al-Rasyid berkata: “Maksudku hutang sesama manusia”. Fudhail bin lyad berkata: Sesungguhnya Tuhanku tidak pernah menyuruh aku dengan demikian (berhutang kepada manusia) dan Allah SWT telah berfirman:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ‎﴿٥٦﴾‏ مَا أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ ‎﴿٥٧﴾‏ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ

Maksudnya: “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah ku. Aku tidak menghendaki rezeki sedikitpun dari mereka dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi Aku makan. Sesungguhnya Allah Dialah Maha Pemberi rezeki yang mempunyai Kekuatan sangat kukuh.” 

Surah al-Dzariyat (56-58)

Lantaran itu Harun Al-Rasyid berkata: “Ambillah wang seribu dinar (wang emas) ini dan belanjakanlah untuk keluargamu dan gunakanlah ibadatmu.” Dia menjawab: “Subhanallah. Aku tunjuki kamu jalan keselamatan dan kamu balas aku dengan ini?”

Ibn Rabi’berkata: “Kami pun keluar daripadanya. Harun al-Rasyid berkata: “Apabila kamu menunjukkan aku kepada seorang lelaki, maka tunjukilah aku kepada orang yang seperti ini. Inilah dia pemimpin muslimin pada hari ini,” (Lihat Hilyah al-Auliya, 8/107 )

Bagaimana beliau tidak menjadi pemimpin muslimin pada zamannya, padahal beliaulah yang telah berkata: “Sekiranya ulama’ itu zuhud dari dunia (tidak cinta kepada dunia) nescaya semua kuasa di dunia ini akan tunduk kepadanya.” 

Ya. Beliau juga menjadi pemimpin muslimin zaman ini kerana kebenaran kata-katanya, kekuatan imannya dan kezuhudannya dari dunia di dalam hidup ini. Di samping itu beliau memilih ketegasan terhadap Amirul Mukminin yang datang kepadanya dan meminta peringatan. Nasihatnya sungguh berkesan yang membuatkan khalifah menangis, semasa keluar baginda bersyukur dan berterima kasih. (Lihat Islam Di Antara Ulama dan Pemerintah, hlm. 192-198)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا لَا تُزِغْ قُلُوبَنَا بَعْدَ إِذْ هَدَيْتَنَا وَهَبْ لَنَا مِن لَّدُنكَ رَحْمَةً ۚ إِنَّكَ أَنتَ الْوَهَّابُ ‎

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Janganlah Engkau memesongkan hati kami sesudah Engkau beri petunjuk kepada kami, dan kurniakanlah kepada kami limpah rahmat dari sisiMu; sesungguhnya Engkau jualah Tuhan Yang melimpah-limpah pemberianNya.

Surah Ali Imran (8)

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *