Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Kadang-kadang kami melihat seolah-olah dunia ini cukup kejam. Umat Islam ditindas dan boleh diperotakkan dengan sebebas-bebasnya. Sebagai contoh di bumi Palestin. Persoalannya Dato’ Seri, kita di pihak yang benar tetapi masih menanti kemenangan yang tak kunjung tiba.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
إِذَا جَاءَ نَصْرُ اللَّهِ وَالْفَتْحُ ﴿١﴾ وَرَأَيْتَ النَّاسَ يَدْخُلُونَ فِي دِينِ اللَّهِ أَفْوَاجًا ﴿٢﴾ فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا
Maksudnya: “Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan (semasa engkau wahai Muhammad berjaya menguasai negeri Makkah), – Dan engkau melihat manusia masuk dalam agama Allah beramai-ramai, – Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”
Surah al-Nasr (1-3)
Menjawab persoalan saudara, kami katakan bahawa kemenangan mempunyai pra-syaratnya. Antara pra-syaratnya ialah:
- Hendaklah kita menolong Allah SWT dan jika kita menolong Allah SWT nescaya Allah SWT menolong kita dan menetapkan pendirian kita.
Firman Allah SWT:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِن تَنصُرُوا اللَّهَ يَنصُرْكُمْ وَيُثَبِّتْ أَقْدَامَكُمْ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, kalau kamu membela (ugama) Allah nescaya Allah membela kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.
(Surah Muhammad: 7)
Menolong Allah SWT di sini bermaksud, mentaati perintah-Nya, meninggalkan larangan-Nya dan juga menegakkan agama-Nya.
- Hendaklah kita menjauhkan maksiat kerana itulah resepi dan ramuan yang membawa kemenangan kepada kita. Bak kata Saidina Umar RA,”
إِنَّمَا يَنْصُرُ الْمُسْلِمُونَ بِمَعْصِيَةِ عَدُوِّهِمْ لِلَّهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya diberi kemenangan kepada umat Islam dengan maksiat musuh terhadap Allah.”
- Usaha bersungguh-sungguh serta berstrategi merupakan ramuan terbaik untuk meraih kemenangan kerana itu Rasulullah SAW amat suka mereka yang mempunyai kesungguhan dan penuh dengan strategi.
Benarlah sabda Nabi SAW, daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ يُحِبُّ إِذَا عَمِلَ أَحَدُكُمْ عَمَلًا أَنْ يُتْقِنَهُ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah Azza wa Jalla mencintai seseorang yang apabila dia mengerjakan sesuatu kerja, dia laksanakan dengan cemerlang.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Awsath (275) dan al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (4929), (4930) dan (4931).
- Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Mustahil Allah SWT memenangkan orang yang pemalas ke atas orang yang bekerja, orang yang bertelingkah serta bergaduh dengan orang yang berpadu dan bersatu, orang yang tiada sistem dan caca merba berbanding dengan orang yang penuh berperaturan, orang yang berfikir untuk maslahat peribadi mereka berbanding dengan orang yang berfikir untuk penyelesaian umat mereka.”
Bagi kami, pendapat Dr Yusuf al-Qaradhawi ini jelas menunjukkan kepada kita inilah punca sebenar kemenangan kita masih lagi tertangguh. Dan apabila berlaku kemenangan hendaklah kita isi sebagai mana yang kami sebutkan pada akhir surah al-nasr yang diperintahkan oleh Allah SWT iaitu, “Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.”
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا أَفْرِغْ عَلَيْنَا صَبْرًا وَثَبِّتْ أَقْدَامَنَا وَانصُرْنَا عَلَى الْقَوْمِ الْكَافِرِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami! Limpahkanlah sabar kepada kami, dan teguhkanlah tapak pendirian kami serta menangkanlah kami terhadap kaum yang kafir.”
Surah al-Baqarah (250)
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H