Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya selalu dengar tentang kalimah rahmah, sebenarnya ia untuk siapa?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Rahmah adalah memberi maksud kasih sayang daripada Allah SWT serta kurniaan ihsan kepada hamba-Nya. Allah SWT sendiri menamakannya dengan nama Rahman dan rahim sebagaimana dalam surah al-Fatihah ayat 1:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَٰنِ الرَّحِيمِ

Maksudnya: “Dengan nama Allah, Yang Maha Pemurah, lagi Maha Mengasihani.

Perkataan al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dan al-Rahim (الرَّحِيمِ), kedua-duanya musytaq daripada kalimah al-rahim (الرَّحِمُ) iaitu tempat kandungan bayi. Betapa kasih sayang Allah kepada kita dan makhluk-Nya bermula dengan keadaan yang naif dan dha’if yang hanya bergantung harap kepada Allah, akhirnya membesar menjadi makhluk yang sempurna dengan sifatnya. Alangkah baiknya mereka taat dan patuh kepada perintah Allah yang menciptakannya.

Sayyid Qutb berkata: Allah SWT sifatkan diri-Nya di permulaan dengan sifat-sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) “Maha Penyayang” dan al-Rahim (الرَّحِيمِ) “Maha Pengasih” iaitu dua sifat yang mencakup segala pengertian, kasih sayang dan kasihan belas dan segala keadaannya. Hanya pada Allah SWT sahaja terkumpul dua sifat ini. Begitu juga hanya Allah sahaja yang wajar disifatkan dengan al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) “Maha Penyayang.” Mana-mana hamba Allah boleh disifatkan dengan sifat al-Rahim (الرَّحِيمِ), tetapi tidak boleh disifatkan dengan sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dari segi kepercayaan dan lebih tidak wajar lagi dikembarkan kedua-dua sifat itu padanya. 

Walaupun terdapat perselisihan pendapat tentang pengertian dua sifat ini, iaitu manakah di antara kedua-duanya yang mempunyai pengertian kasih sayang dan kasihan belas yang lebih luas, namun perselisihan itu bukanlah dari perbahasan yang kita hendak bicarakan dengan terperinci dalam Tafsir Fi Zilal ini, malah kita hanya membuat kesimpulan sahaja dari perbahasan itu bahawa kedua-dua sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dan al-Rahim (الرَّحِيمِ) adalah meliputi segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas juga meliputi segala keadaan dan bidangnya. 

Jika memulakan sesuatu dengan nama Allah yang mengandungi maksud mentauhidkan Allah dan beradab sopan dengan-Nya itu merupakan dasar pokok dalam kefahaman Islam, maka pencakupan segala pengertian kasih sayang dan kasihan belas dengan segala keadaan dan bidangnya dalam dua sifat al-Rahman (الرَّحْمَٰنِ) dan al-Rahim (الرَّحِيمِ) itu merupakan dasar yang kedua di dalam kefahaman ini dan ia juga menggariskan hakikat hubungan yang wujud di antara Allah dengan para hamba-Nya. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 1/22)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan rahmat Allah SWT akan dikurniakan kepada yang melaksanakan perintah Allah SWT terutamanya rukun Islam dan iman. Benarlah firman Allah SWT:

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ ۚ فَسَأَكْتُبُهَا لِلَّذِينَ يَتَّقُونَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَالَّذِينَ هُم بِآيَاتِنَا يُؤْمِنُونَ

Maksudnya: “Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.

Surah al-A’raf (156)

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

إِنَّ رَحْمَتَ اللَّهِ قَرِيبٌ مِّنَ الْمُحْسِنِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.”

Surah al-A’raf (56)

Berdasarkan dua ayat di atas, antara syarat mereka yang memperolehi rahmat Allah SWT ialah:

  • Mereka yang bertaqwa
  • Mereka yang menunaikan zakat
  • Mereka yang beriman dengan ayat-ayat Allah SWT
  • Mereka yang muhsin

Justeru, dalam kita ingin meraih rahmat Allah SWT maka perlulah kita memenuhi syarat-syarat yang disebut oleh Allah SWT di dalam al-Quran al-Karim. Begitu juga, hendaklah kita sentiasa memohon kepada Allah SWT untuk dikurniakannya rahmat-Nya kepada kita.

Kami akhiri dengan doa:

يَا حَيُّ يَا قَيُّومُ بِرَحْمَتِكَ نَسْتَغِيثُ، أَصْلِحْ لَنَا شَأْنَنَا كُلَّهُ، وَلَا تَكِلْنَا إِلَى أَنْفُسِنَا طَرْفَةَ عَيْنٍ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Yang Maha Hidup, wahai Tuhan Yang Maha Berdiri Sendiri (tidak perlu segala sesuatu), dengan rahmat-Mu kami memohon pertolongan, perbaikilah urusan kami semuanya dan janganlah Engkau serahkan kami kepada diri kami walau sekelip mata.”

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply