Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar nama seorang hukama yang digelar dengan nama Buzurgmihr. Boleh ceritakan kisahnya?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Firman Allah SWT:
يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَاءُ ۚ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْرًا كَثِيرًا ۗ وَمَا يَذَّكَّرُ إِلَّا أُولُو الْأَلْبَابِ
Maksudnya: Allah memberikan Hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.
(Surah al-Baqarah: 269)
Daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
الْكَلِمَةُ الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ فَحَيْثُ وَجَدَهَا فَهُوَ أَحَقُّ بِهَا
Maksudnya: “Hikmah kebijaksanaan merupakan harta yang hilang milik orang Mukmin; di mana sahaja dia dapatinya, maka dialah yang paling berhak ke atasnya.”
Riwayat al-Tirmizi (2687)
Buzurgmihr juga dikenali sebagai Burzmihr, Dadmihr dan Dadburzmihr, ialah seorang bijak pandai Iran dan pembesar dari keluarga Karen, yang berkhidmat sebagai menteri (wuzurg framadār) Raja Sasania (shah). ) Kavad I, dan anak lelaki dan pengganti KhosrowI.
Beliau juga berkhidmat sebagai komander tentera (spahbed) Khwarasan di bawah Khosrow I dan penggantinya Hormizd IV. Menurut sumber Parsi dan Arab, Bozorgmihr adalah seorang lelaki yang mempunyai “kebijaksanaan yang luar biasa dan nasihat bijak” dan kemudiannya menjadi ciri ungkapan itu. Beliau juga adalah ahli catur yang hebat dan digelar Master Chess. Namanya muncul dalam beberapa karya penting dalam kesusasteraan Parsi, terutamanya dalam Shahnameh (“Kitab Raja-raja”). Ahli sejarah Arthur Christensen telah mencadangkan bahawa Bozorgmihr adalah orang yang sama dengan Borzuya, tetapi kajian historiografi kesusasteraan Parsi pasca-Sasania, serta analisis linguistik menunjukkan sebaliknya. Walau bagaimanapun, perkataan “Borzuya” kadangkala boleh dianggap sebagai bentuk singkatan Buzurgmihr.
Seorang hukama’ terdahulu pernah mengembara ke serata tempat untuk beberapa tahun. Dan dia mengajarkan kalimah-kalimah ini: “Barangsiapa yang tidak berilmu, tiada kemuliaan baginya di dunia dan akhirat. Barangsiapa tidak bersabar, tiada kesejahteraan pada agamanya. Barangsiapa yang jahil, maka amalannya tidak akan bermanfaat. Barangsiapa yang tidak bertakwa, tiada baginya kepemurahan Allah. Barangsiapa yang tidak bermurah hati, tiada baginya bahagian di akhirat. Dan barangsiapa yang tidak memiliki ketaatatan, tiada baginya pembelaan di hadapan Allah.”
Buzurgmihr pernah ditanya: “Adakah kemuliaan yang disusuli dengan kehinaan?” Dia menjawab: “Ada. Iaitulah kemuliaan dalam berkhidmat kepada pemerintah, kemuliaan yang berserta hasad dengki, dan kemuliaan yang berserta kebodohan.”
Buzurgmihr pernah ditanya lagi: “Dengan apakah seorang tolol boleh diajarkan adab?” Dia menjawab: “Dengan mengarahkannya kepada kerja yang banyak. Agar mereka tidak mempunyai kelapangan dan jalan untuk menyibuk dalam hal lain.” Dia ditanya lagi: “Dan dengan apakah seorang kikir diajarkan adab?” “Dengan menghina dan merendah-rendahkan mereka, agar mereka sedar dengan kerendahan nilai mereka.” Kemudian ditanya lagi: “Dengan apakah seorang yang merdeka diajarkan adab?” “Dengan menahan hajat mereka daripada dipenuhi.” Dan dia ditanyakan lagi: “Siapakah yang dikatakan seorang yang pemurah?” Dia menjawab: “Seorang yang sering memberi dan tidak mengungkit pemberiannya.” (Lihat Nasihat Buat Pemerintah, hlm. 186-187)
Dengan jawapan yang diberikan, jelas menunjukkan beliau seorang yang hakim atau bijaksana. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلَّما نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً
Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”
Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H