Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya tahu bahawa memenuhi undangan majlis undangan perkahwinan adalah wajib. Tapi, apa pula hukum sekiranya undangan majlis seperti majlis keraian, majlis akikah, majlis perpisahan dan lain-lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, jika undangan tersebut adalah melibatkan majlis perkahwinan, maka ia wajib dipenuhi sekiranya tidak mempunyai sebarang keuzuran. Kami telah jelaskan dalam Ahkam Syar’iyyah dengan tajuk:  Hukum Sengaja Tidak Hadir Undangan Majlis Kahwin di laman Maktabah al-Bakri.

Hal ini kerana, majoriti para ulama menyebut bahawa hukum memenuhi undangan majlis perkahwinan adalah wajib. Ia berdasarkan hadith daripada Ibn ‘Umar R.Anhuma, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا دُعِيَ أَحَدُكُمْ إِلَى الْوَلِيمَةِ فَلْيَأْتِهَا

Maksudnya: “Jika salah seorang kamu dijemput ke majlis perkahwinan (walimah), maka hadirlah ia.”

Riwayat Muslim (1053)

Hukum wajib tersebut diambil daripada perkataan Nabi SAW فَلْيَأْتِهَا yang merupakan kata perintah yang membawa hukum wajib secara asasnya di sisi kaedah fiqh.

Imam al-Nawawi menjelaskan: “Pandangan yang paling sahih dalam mazhab kami, bahawa hukum hadir ke majlis kenduri perkahwinan adalah fardhu ‘ain bagi mereka yang dijemput. Namun, kewajiban tersebut boleh gugur dengan beberapa sebab keuzuran seperti jika ada syubhah (keraguan) pada makanan, atau adanya kemungkaran dalam majlis tersebut. Begitu juga, jika majlis perkahwinan tersebut hanya mengkhususkan orang-orang yang kaya sahaja untuk hadir. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570) Imam al-Nawawi turut menyebut: “Al-Qadhi telah menukilkan kesepakatan para ulama dalam menyatakan wajibnya menyahut (menghadiri) jemputan walimah al-‘urs (majlis perkahwinan).” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)

Dalam menjawab persoalan di atas, para ulama menyatakan bahawa hukum memenuhi jemputan menghadiri majlis selain dari majlis perkahwinan, seperti majlis keraian, majlis perpisahan, majlis akikah, dan seumpamanya adalah mustahab (iaitu sunat).

Imam al-Nawawi berkata: “Adapun selainnya (iaitu selain jemputan perkahwinan), maka ada dua pendapat di sisi ashab kami. Pertama, hukum menghadirinya adalah sama seperti walimatul ‘urus. Pendapat kedua, hukum memenuhi jemputan tersebut adalah mustahab.”

Beliau juga turut menukilkan pendapat Imam Malik dan jumhur yang menyebut: “Tidak wajib memenuhi jemputan (selain majlis perkahwinan).” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 9/570)

Penutup

Berdasarkan nas di atas jelas menunjukkan kewajipan hanya kepada walimatul urus tidak kepada yang lain. Di mana status yang lain adalah sunat. Walaupun begitu, alangkah baiknya kita memenuhi jemputan sebagai tanda menyambung silaturrahim dan persahabatan, kecuali dengan sebab keuzuran atau hal-hal yang lain. Justeru, hendaklah kita sentiasa mengambil kecaknaan tentang hubungan terutamanya mereka yang menjemput kita mempunyai hubungan kekeluargaan dan persahabatan.

Kami akhiri dengan doa:

 اللهمَّ أَلِّفْ بَيْنَ قُلُوبِنَا، وَأَصْلِحْ ذَاتَ بَيْنِنَا، وَاهْدِنَا سُبُلَ السَّلَامِ، وَنَجِّنَا مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ، وَجَنِّبْنَا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ، وَبَارِكْ لَنَا فِي أَسْمَاعِنَا، وَأَبْصَارِنَا، وَقُلُوبِنَا، وَأَزْوَاجِنَا، وَذُرِّيَّاتِنَا، وَتُبْ عَلَيْنَا إِنَّكَ أَنْتَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ، وَاجْعَلْنَا شَاكِرِينَ لِنِعْمَتِكَ، مُثْنِينَ بِهَا، قَابِلِيهَا، وَأَتِمَّهَا عَلَيْنَا.

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply