Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri, saya ingin bertanya adakah betul dengan hanya memakai seluar pendek lebih daripada 3 kali dianggap fasiq dan tidak boleh menjadi wali seperti apa yang dikatakan di dalam video viral di aplikasi tiktok.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Secara asasnya, mazhab Syafie dan Hanbali mengatakan bahawa antara pusat dan lutut itu adalah aurat, dan pusat dan lutut itu sendiri bukan aurat.  Hal ini berdasarkan teguran Nabi SAW kepada Jarhad ketika mana pehanya terselak di dalam solat. Kata Nabi SAW:

غَطِّ فَخِذَكَ فَإِنَّهَا مِنْ الْعَوْرَةِ

Maksudnya: “Tutuplah peha mu kerana peha itu aurat.

Riwayat Abu Daud (4014), al-Tirmizi (2795) dan Ahmad (15932). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut dalam takhrij al-Musnad menyatakan hadis ini hasan dengan syawahidnya.

Jadi, dengan melanggar hal ini dipanggil sebagai fasiq. Ia tidak semestinya dua kali atau tiga kali. 

Namun, kerja kita adalah sentiasa bertaubat. Di dalam Islam ini, apa yang paling pentingnya adalah sentiasa kembali kepada Allah SWT dan memperbanyakkan beristighfar.

Daripada al-Aghar al-Muzani, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّهُ لَيُغَانُ عَلَى قَلْبِى وَإِنِّى لأَسْتَغْفِرُ اللَّهَ فِى الْيَوْمِ مِائَةَ مَرَّةٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya dilitupi pada hatiku (dengan kelalaian daripada berzikir) dan aku memohon ampun kepada Allah SWT, sehari seratus kali.”

Riwayat Muslim (7033) dan Abu Daud (1517)

Imam al-Nawawi menyebut dengan menukilkan pendapat ahli bahasa: Perkataan ‘ليغان‘ bermaksud apa-apa yang melitupi hati. Al-Qadhi ‘Iyadh pula berkata, dikatakan maksudnya ialah waktu-waktu lemah dan lalai daripada zikir yang sepatutnya berterusan. Apabila hal ini berlaku, dia mengira sebagai dosa, justeru dia beristighfar. Ada pendapat berkata, dikatakan kerana Rasulullah SAW amat prihatin dan runsing terhadap umatnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 17/23)

Dikehendaki dengan ‘الغين‘ iaitu masa-masa yang luput daripada zikir, yang biasanya seseorang itu sentiasa dalam zikir. Apabila terluput dengan sesuatu sebab, maka dia mengira sebagai dosa, lantas dia istighfar daripadanya. Begitu juga, pendapat Ibn al-Jauzi, ‘الغين‘ dengan maksud kegelinciran tabiat manusia yang tidak ada seorang pun yang terselamat.

Para Nabi, sekalipun ma’sum daripada dosa besar, tetapi mereka tidak ma’sum daripada dosa-dosa kecil. Ini berdasarkan pecahan daripada khilaf yang terpilih. Tetapi yang paling rajih, para Nabi juga ma’sum daripada dosa-dosa kecil. Ibn Battal berkata: Para Nabi sekuat-kuat manusia dari sudut ibadat kerana kurniaan Allah kepada mereka daripada makrifah. Justeru mereka sentiasa mensyukurinya dan mengiktiraf kepada Tuhan atas kelemahan. Selain itu, dijelaskan juga bahawa bahawa istighfar itu daripada taqsir atau kekurangan dalam menunaikan hak yang wajib bagi Allah dan diandaikan juga kerana sibuk dengan urusan yang harus seperti makan, minum, bersama isteri, tidur, rehat, atau berbicara dengan manusia serta melihat kemaslahatan mereka dan menentang musuh-musuh mereka. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi, 9/103)

Kami nyatakan peri pentingnya menjaga akhlak dan maruah mengikut neraca syariat dan Islam. Dengannya kehidupan kita akan menjadi tenang dan sudah pasti beroleh keberkatan dan kebaikan dalam hidup. Kita hendaklah melazimi doa dan istighfar kepada Allah dengan memohon ampun kepada-Nya. Mudah-mudaann kita menjadi hamba-Nya yang soleh. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا ظُلْمًا كَثِيرًا، ولَا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إلَّا أنْتَ، فَاغْفِرْ لَنَا مَغْفِرَةً مِنْ عِنْدِكَ، وَارْحَمْنَا، إِنَّكَ أَنْتَ الْغَفُورُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: “Ya Allah! Sungguh kami telah menzalimi diri kami dengan kezaliman yang banyak, sedangkan tidak ada yang dapat mengampuni dosa-dosa kecuali Engkau. Maka ampunilah kami dengan suatu pengampunan dari sisi-Mu, dan rahmatilah kami. Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.”

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *