Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum memakan burung raja udang? Adakah ia termasuk dalam jenis burung yang tidak boleh dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu sedikit pengenalan berkenaan burung raja udang ini. Burung raja udang ialah nama satu famili burung yang mempunyai kepala besar dan paruh panjang, kuat, dan tajam. Terdapat lebih kurang 85 spesies burung raja udang. Kebanyakannya mempunyai jambul di atas kepalanya. Semua burung raja udang mempunyai kaki pendek dan ekor yang kontot. Jari luar dan tengah kaki burung ini dicantumkan oleh membran yang kukuh. Burung raja udang hidup di merata dunia, tetapi sebahagian yang besar spesiesnya didapati di kawasan tropika.

Burung Nyanyikan Musim Bunga-CRI

Gambar di atas: Burung raja udang sedang menangkap ikan[1]

Famili burung raja udang terdiri daripada burung kawasan hutan jarang dan kawasan berair. Burung kookaburra, yang didapati di Australia, adalah satu contoh burung raja udang kawasan hutan jarang. Burung raja udang Eropah hidup di kawasan yang berair. Burung raja udang kawasan hutan jarang memakan terutamanya serangga. Paruhnya adalah rata dari atas hingga ke bawah. Burung raja udang yang memakan ikan mempunyai paruh yang rata dari sisi ke sisi. Sesetengah burung raja udang yang memakan ikan seperti raja udang Eropah juga memakan serangga. Burung raja udang sering menjunam menyambar mangsanya daripada tempat ia bertenggek. Tetapi burung ini boleh juga mengepak-ngepak di atas air seperti burung helang, atau melayah turun dengan pantas mengejar serangga yang sedang terbang.

Burung raja udang yang hidup di kawasan yang berair membuat sarangnya di hujung terowong tebing berpasir. Kedua-dua burung jantan dan betina menggali terowong sarangnya. Burung raja udang yang tinggal di kawasan hutan jarang lazimnya bersarang di dalam geronggang pokok. Dari segi pengelasan saintifik, burung raja udang adalah dari famili raja udang, Alcedinidae. Raja udang Eropah ialah Alcedo atthis, dan burung kookaburra Australia ialah Dacelo novaeguineae. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 4/554).

Selain itu, burung raja udang (kingfishers) terkenal kerana ketepatan mereka menyelam ke dalam tasik, sungai, dan anak sungai dari tempat bertenggeknya di tepi pinggir air, lalu muncul dengan ikan dicengkam kuat di dalam paruh mereka. Belted kingfishers kadangkala menambah dalam diet (pemakanan) mereka dengan serangga, krustasea, dan kadangkala juga dengan amfibia, reptilia dan mamalia.

Common Kingfisher: The Bolt of Blue | RoundGlass Sustain

Gambar di atas: Common kingfishers[2]

Pada hari penangkapan ikan yang perlahan, burung raja udang biasa (Common kingfishers) mungkin memakan serangga yang ditangkapnya berhampiran permukaan sungai atau tasik dari tempat bertenggeknya di tepi pinggir air. Pilihan makanannya yang lain termasuklah berudu dan udang air tawar, tetapi ini hanya akan diambil sebagai pilihan terakhir. Sesetengah spesies burung raja udang tidak makan ikan sama sekali. Di Asia, Afrika dan Australia, di mana terdapat kira-kira 90 spesies burung raja udang (kingfisher), spesies yang lebih kecil hidup pada invertebrata, manakala burung raja undang yang lebih besar yang tinggal di dalam hutan memburu katak, tikus dan reptilia.

Burung raja udang menangkap ikan dengan sabar menunggu di tepi pinggir air memerhatikan pergerakan berhampiran permukaan tasik atau sungai. Apabila ikan yang sesuai telah dikesan, mereka terjun ke dalam air terlebih dahulu untuk menangkap mangsa mereka. Menyelam curam ini biasanya kurang daripada satu meter kedalaman, dan mereka muncul dari air, menggenggam ikan dalam paruhnya yang tajam. Setelah meninggalkan air, mereka terbang ke tempat bertenggek berhampiran, di mana mereka terus memegang ikan dengan paruhnya, sambil menumbuknya ke dahan atau tebing sungai untuk mengejutkannya. Ini menjadikannya lebih mudah untuk bergerak, memusingkannya sehingga boleh ditelan kepala terlebih dahulu.

Belted kingfisher - Wikipedia

Gambar di atas: Belted kingfishers[3]

Jika tempat dengan ikan yang banyak dikenal pasti, tempat hinggap yang sama akan digunakan secara tetap untuk makanan harian dan trip memburu. Serangga seperti pepatung, rama-rama, kupu-kupu dan ephemeroptera (mayflies) ditangkap pada pertengahan penerbangan dengan burung raja udang menghampiri permukaan air atau berlegar berhampiran dahan untuk menangkap kumbang dan ulat bulu.[4]

Hukum memakan burung raja udang

Pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Berbalik kepada soalan yang diajukan, burung raja udang termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Apatah lagi ia juga bukanlah burung yang memiliki kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu haiwan sebagai makanan, sebaliknya ia menangkap atau mendapatkan makanannya dengan menggunakan paruhnya. Larangan untuk memakan burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam (yang digunakan untuk memburu) adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat burung raja udang (kingfishers) adalah halal dan harus dimakan selagi mana tidak terdapatnya dalil yang menunjukkan hukum sebaliknya, serta tidak memudaratkan pemakannya. Ini bertepatan dengan kaedah fiqh:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلَّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Walaupun begitu, kita amat perlu menghormati perundangan sesebuah negara seperti di Malaysia, apakah di sana terdapat akta atau larangan bagi memburunya kerana ia termasuk dalam binatang yang dilindungi. Jika tiada, maka dibolehkan untuk mendapatkan dan makan burung tersebut.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Sumber gambar: https://www.birdspot.co.uk/bird-brain/how-do-kingfishers-catch-fish. Diakses pada 18 Julai 2023.

[2] Sumber gambar: https://birdfact.com/articles/what-do-kingfishers-eat. Diakses pada 18 Julai 2023.

[3] Sumber gambar: https://birdfact.com/articles/what-do-kingfishers-eat. Diakses pada 18 Julai 2023.

[4] Lihat https://birdfact.com/articles/what-do-kingfishers-eat. Diakses pada 18 Julai 2023.

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply