Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya dan suami telah membayar wang untuk melakukan ibadah haji. Namun, tidak berapa lama sebelum berangkat ke Makkah, suami saya telah meninggal dunia. Apakah yang perlu saya lakukan? Bolehkah saya teruskan pergi haji sedangkan saya masih dalam ‘iddah. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan di atas, jumhur ulama telah berpendapat bahawa wanita yang ber’iddah kerana suaminya meninggal dunia tidak boleh melaksanakan ibadah haji. 

Ibn al-Munzir menyebut: “Mereka berbeza pendapat berkenaan perjalanan wanita beriddah untuk melaksanakan haji dan umrah. Umar bin al-Khattab telah melarang hal itu, dan hal tersebut telah diriwayatkan oleh Uthman bin ‘Affan. Mereka yang turut berpendapat sedemikian adalah Ibn al-Musayyib, al-Qasim bin Muhammad, Imam al-Syafi’i, ashab al-ra’yi, Abu ‘Ubaid, dan dihikayatkannya oleh Abu Ubaid daripada al-Thauri. Imam Malik berkata: “Wanita tersebut dikembalikan (ke daerahnya) jika dia belum memulakan ihramnya.” Abu Bakar berkata:  “Aku berpendapat dengan pendapat yang pertama.” (Lihat al-Isyraf, 5/342)

Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah pernah ditanya: “Berkenaan seorang wanita yang berazam untuk melaksanakan haji bersama suaminya, lalu kemudian suaminya meninggal dunia pada bulan Sya’ban. Adakah dia boleh melaksanakan haji?”

Lalu beliau menjawab: “Dia tidak boleh melaksanakan musafir untuk ibadah haji selama tempoh ‘iddah disebabkan suaminya yang meninggal dunia, berdasarkan mazhab yang empat.” (Lihat Majmu’ al-Fatawa, 29/34)

Hujah mereka adalah berdasarkan hadith daripada Zainab binti Ka’ab bin ‘Ajrah, katanya: “Bahawa Furai’ah (الْفُرَيْعَةَ) binti Malik bin Sinan – beliau ialah saudara perempuan Abu Sa’id al-Khudri – telah mengkhabarkan kepadanya:

أَنَّهَا جَاءَتْ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ تَسْأَلُهُ أَنْ تَرْجِعَ إِلَى أَهْلِهَا فِي بَنِي خُدْرَةَ ، فَإِنَّ زَوْجَهَا خَرَجَ فِي طَلَبِ أَعْبُدٍ لَهُ أَبَقُوا ، حَتَّى إِذَا كَانُوا بِطَرَفِ الْقَدُومِ لَحِقَهُمْ فَقَتَلُوهُ ، فَسَأَلْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : أَنْ أَرْجِعَ إِلَى أَهْلِي ، فَإِنِّي لَمْ يَتْرُكْنِي فِي مَسْكَنٍ يَمْلِكُهُ ، وَلَا نَفَقَةٍ ؟ ، قَالَتْ : فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ( نَعَمْ )، قَالَتْ: فَخَرَجْتُ حَتَّى إِذَا كُنْتُ فِي الْحُجْرَةِ ، أَوْ فِي الْمَسْجِدِ ، دَعَانِي ، أَوْ أَمَرَ بِي ، فَدُعِيتُ لَهُ ، فَقَالَ: ( كَيْفَ قُلْتِ ؟) ، فَرَدَدْتُ عَلَيْهِ الْقِصَّةَ الَّتِي ذَكَرْتُ مِنْ شَأْنِ زَوْجِي ، قَالَتْ: فَقَالَ: ( امْكُثِي فِي بَيْتِكِ حَتَّى يَبْلُغَ الْكِتَابُ أَجَلَهُ ) ، قَالَتْ: فَاعْتَدَدْتُ فِيهِ أَرْبَعَةَ أَشْهُرٍ وَعَشْرًا ، قَالَتْ : فَلَمَّا كَانَ عُثْمَانُ بْنُ عَفَّانَ أَرْسَلَ إِلَيَّ فَسَأَلَنِي عَنْ ذَلِكَ ، فَأَخْبَرْتُهُ فَاتَّبَعَهُ ، وَقَضَى بِهِ “

Maksudnya: “Bahawa dia (Furai’ah) telah menghadap Rasulullah SAW untuk bertanya kepada Baginda, bahawa dia akan kembali kepada keluarganya di Bani Khudrah. Dan sesungguhnya suaminya telah keluar darinya untuk mencari para hamba yang ada bersamanya, sehingga mereka hampir tiba, lalu dia menyusul mereka dan mereka pun membunuhnya. Maka aku bertanya kepada Rasulullah SAW: “Apakah aku kembali kepada keluargaku, kerana aku tidak ditinggalkan sebuah rumah miliknya, dan juga tidak ada nafkah?” Maka Nabi SAW bersabda, “Ya.” 

Dia berkata, “Maka aku pun keluar sehingga aku berada di hujrah, atau di masjid, maka Baginda memanggilku atau menyuruhku, dan aku dipanggil untuk menghadap Baginda, maka Baginda bersabda, “Apa yang anda katakan?” Maka aku pun mengulangi semula cerita yang aku sebutkan berkenaan keadaan suamiku, lalu Baginda bersabda, “Berdiamlah di rumahmu sehingga masa ‘iddahmu selesai.” Dia berkata, “Maka aku pun menjalani tempoh ‘iddah selama empat bulan sepuluh hari.” Dia berkata, “Ketika Uthman bin Affan telah mengutus seseorang kepadaku berkait dengan masalah ini, maka aku pun mengkhabarkan kepadanya, dan beliau pun mengikutinya, dan beliau memutuskan dengan hal itu.”

Riwayat Abu Daud (2300) dan al-Tirmizi (1204), kata beliau: “Ini adalah hadith hasan sahih.”

Menurut mereka, hadith Furai’ah di atas menunjukkan akan wajibnya berdiam di dalam rumahnya, dan kewajiban ini dibataskan dengan waktu dan berlalu dengan berlalunya waktu tersebut. Adapun haji, maka boleh ditangguhkan pada waktu yang akan datang. Terdapat sebuah kaedah, di mana ketika ada banyaknya kewajiban, maka hendaklah mendahulukan apa yang tidak mungkin ditangguh waktunya, daripada apa yang boleh ditangguh.

Al-Qarafi berkata:

قَاعِدَةٌ: إِذَا تَزَاحَمَتِ الْوَاجِبَاتُ قُدِّمَ الْمُضَيَّقَ عَلَى الْمُوَسَّعِ، وَالْفَوْرِيِّ عَلَى التَّرَاخِي، وَالْأَعْيَانَ عَلَى الْكِفَايَةِ لِأَنَّ التَّضْيِيقَ فِي الْوَاجِبِ يَقْتَضِي اهْتِمَامَ الشَّرْعِ بِهِ وَكَذَلِكَ الْمَنْعُ مِنْ تَأْخِيرِهِ بِخِلَافِ مَا جُوِّزَ تَأْخِيرُهُ

Maksudnya: “Sebuah kaedah: Jika terdapat banyak kewajiban (yang mesti dikerjakan), maka didahulukan yang waktunya sempit daripada yang waktunya luas, didahulukan yang segera daripada yang anjal, didahulukan yang fardhu ‘ain daripada yang fardhu kifayah, kerana yang waktunya sempit memerlukan perhatian Syariat terhadapnya, demikian larangan daripada menundanya, berbeza dengan yang boleh ditunda.” (Lihat al-Zakhirah fi Furu’ al-Malikiyyah, 3/183)

Ibn Qudamah berkata:

 وَلَوْ كَانَتْ عَلَيْهَا حِجَّةُ الْإِسْلَامِ، فَمَاتَ زَوْجُهَا، لَزِمَتْهَا الْعِدَّةُ فِي مَنْزِلِهَا وَإِنْ فَاتَهَا الْحَجُّ؛ لِأَنَّ الْعِدَّةَ فِي الْمَنْزِلِ تَفُوتُ، وَلَا بَدَلَ لَهَا، وَالْحَجُّ يُمْكِنُ الْإِتْيَانُ بِهِ فِي غَيْرِ هَذَا الْعَامِ.

Maksudnya: “Sekiranya bagi wanita tersebut adalah haji Islam (haji pertama), lalu suaminya meninggal dunia, maka dia wajib menjalani ‘iddah di rumahnya, walaupun tertinggal untuk menunaikan ibadah haji, kerana masa ‘iddah di rumah berlalu dan tidak ada gantinya, sementara haji boleh dilakukan walaupun bukan pada tahun ini.” (Lihat al-Mughni, 11/305)

Perkara ini dikuatkan dengan apa yang diriwayatkan daripada Sa’id bin al-Musayyib, katanya:

أَنَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ، كَانَ يَرُدُّ الْمُتَوَفَّى عَنْهُنَّ أَزْوَاجُهُنَّ مِنَ الْبَيْدَاءِ ، يَمْنَعُهُنَّ الْحَجَّ

Maksudnya: “Bahawa ‘Umar bin al-Khattab R.A dahulu mengembalikan para wanita yang suaminya meninggal dunia dari Baida’, dan melarang mereka untuk mengerjakan ibadah haji.” 

Riwayat Imam Malik dalam al-Muwatta’ (2194)

Berkenaan persoalan di atas, sekiranya wanita yang sedang menjalani tempoh ‘iddahnya kerana kematian suami, maka jika dia mampu memohon untuk dikembalikan dana hajinya, tanpa membahayakan dirinya, maka dia tidak perlu keluar dari rumahnya untuk melaksanakan haji. Adapun, jika dana hajinya tidak dapat dikembalikan, dan ia merupakan satu dana yang besar, serta berat bagi orang yang serupa dengannya untuk meninggalkannya, maka hal itu termasuk daripada keperluan atau hajat yang boleh diterima.

Ibn Qudamah berkata: “Wanita yang menjalani tempoh ‘iddahnya kerana suaminya meninggal dunia, tidak boleh menempuh perjalanan ibadah haji atau perjalanan yang lain. Daan jika sudah keluar dan suaminya meninggal dunia di tengah jalan, maka dia perlu kembali ke rumah jika jaraknya dekat, kerana statusnya sebagai bermukim. Dan jika jaraknya jauh, dia boleh meneruskan perjalanannya.” Malik berkata: “Dikembalikan (ke daerahnya) selagi mana dia belum berihram. Yang benar adalah bahawa yang datang dari jauh tidak dikembalikan, kerana akan membahayakannya, dan dia akan mengalami kesukaran. (Lihat al-Mughni, 11/303)

Syeikh Jad al-Haq pernah ditanya: “Ada seorang wanita yang suaminya baru sahaja meninggal dunia. Dia pun masih berada dalam tempoh ‘iddah sehingga sekarang. Sebelum suaminya meninggal dunia, wanita tersebut telah meminta untuk melaksanakan ibadah haji dan dipersetujui oleh suaminya secara bertulis untuk perjalanan ibadah haji yang wajib ini, serta dia juga sudah dijadualkan untuk berangkat haji pada tahun ini 1401H. Wanita itu juga telah melunaskan biaya haji yang diminta. 

Beliau menjawab dengan menukilkan pendapat para ulama berkaitan syarat adanya mahram bagi seorang wanita untuk perjalanan haji, dan pendapat mereka berkenaan hukum haji seorang wanita yang masih berada dalam ‘iddah. Kemudian beliau menyebut:

“Ketika dalam keadaan seperti itu, yang zahir pada soalan di atas bahawa wanita yang bertanya tersebut telah mendapat izin daripada suaminya untuk pergi menunaikan haji, lalu kemudian suaminya itu meninggal dunia, dan wanita itu pun berada dalam ‘iddah.

Dan jika dia duduk menunggu masa ‘iddahnya berakhir di rumah, maka dia akan ketinggalan ibadah haji, sedangkan dia sudah melunaskan semua pembiayaan dan melakukan persiapan haji selepas dijadualkan untuk pergi menunaikan haji. Dia juga masih belum pernah menunaikan haji sebelumnya. Dan boleh diketahui secara umum bahawa perjalanan haji pada masa kini telah terikat dengan kemaslahatan negara secara umum yang mengikatnya, penentuan jumlah jemaah haji yang berangkat dengan cara undian. Wanita tersebut, boleh jadi kerana sistem di negara, boleh jadi pada tahun depan akan terhalang untuk pergi menunaikan haji. 

Jika keadaan wanita yang bertanya di atas seperti ini, iaitu keadaan darurat dan wujudkan peluang yang tidak mudah untuk mendapatkannya, apatah lagi pihak pemerintah sudah mengizinkannya untuk pergi menunaikan haji ketika ini, maka apa yang dinukilkan daripada Ibn Hubairah daripada para imam, Malik, al-Syafi’i dan Ahmad, jika dia khuatir akan ketinggalan ibadah haji jika mesti menunggu tempoh ‘iddah selesai, maka dia boleh tetap berangkat (untuk menunaikan ibadah haji).

Ketika keadaannya seperti itu, maka wanita yang ditanyakan di atas boleh melaksanakan ibadah haji, meskipun masih berada di dalam tempoh ‘iddah suaminya, kerana haji itu lebih kuat (perintahnya); kerana sebagai salah satu daripada rukun Islam. Kesukaran kerana terlambat melaksanakannya adalah perkara yang besar, maka wajib didahulukan. Apatahlagi, dia sudah masuk sejak proses awalnya dan suaminya masih hidup, dan dia juga mengizikannya. Hal inilah yang menjadi jalan keluar daripada nas-nas tersebut daripada fiqh para imam; Malik, al-Syafi’i dan Ahmad. (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’, 1/204)

Justeru, jika wanita tersebut mampu untuk memohon agar dikembalikan dana haji tersebut, maka dia wajib melakukannya dan dia hendaklah tinggal di rumah sehingga selesai tempoh ‘iddahnya.

Penutup

Isu seperti ini sudah dibahaskan beberapa kali dalam Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan. Kesimpulannya, wanita dalam iddah hendaklah meneruskan iddahnya dan menangguhkan haji kerana sifatnya tarakhi mengikut mazhab Syafi’i. Pihak Tabung Haji boleh meluluskan permohonan wanita tersebut untuk beriddah terlebih dahulu dan akan diberi peluang pada tahun seterusnya. Inilah yang baik dan terpakai dalam isu yang sedang dihadapi oleh wanita yang beriddah dengan sebab kematian suaminya.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama berdoa agar Allah SWT sentiasa berikan kita kebaikan di dunia dan juga di akhirat:

اللَّهُمَّ اجْعَلْ خَيْرَ أَعْمَارِنَا أَوَاخِرَهَا، وَخَيْرَ أَعْمَالِنَا خَوَاتِهَا، وَاجْعَلْ خَيْرَ أَيَّامِنَا يَوْمَ نَلْقَاكَ

Maksudnya: “Ya Allah! Jadikanlah sebaik-baik umur kami adalah pada penghujungnya, dan sebaik-baik amalan kami sebagai penutupnya. Dan jadikanlah sebaik-baik hari kami, adalah hari dimana kami berjumpa dengan-Mu kelak.”

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply