Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ceritakan bagaimana Rasulullah SAW berada dalam Gua Thaur bersama Abu Bakar RA?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Di dalam peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW ke Madinah, Rasulullah SAW berhijrah dengan Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA dan singgah bersembunyi di dalam satu gua bernama Gua Thaur. Menjawab persoalan di atas, di sini kami nukilkan kisah keadaan Baginda Rasulullah SAW dan Saidina Abu Bakar al-Siddiq di dalam gua tersebut:
Setelah mereka sampai ke gua itu, Abu Bakar RA berkata, “Demi Allah, jangan engkau masuk ke dalamnya melainkan aku masuk terlebih dahulu. Kalau ada apa-apa bahaya, maka biar aku yang kena, asalkan jangan kamu.” Abu Bakar RA pun masuk dengan menguis-nguiskan kakinya. Didapati di sebelahnya ada sebuah lubang lalu dikoyakkan kainnya dan ditutupi lubang itu. Kemudian didapati ada dua lubang lagi lalu ditekapkan dua kakinya ke lubang itu. Kemudian barulah dipanggilnya Rasulullah SAW masuk.
Rasulullah SAW masuk, kemudian meletakkan kepalanya ke pangkuan Abu Bakar RA lalu tertidur. Tiba-tiba kaki Abu Bakar RA disengat oleh binatang berbisa dari lubang yang ditekapnya. Namun, ditahan kesakitannya tanpa bergerak kerana tidak mahu Rasulullah SAW terjaga. Beliau menahan kesakitan sehingga air matanya mengalir lalu menitis ke wajah Rasulullah SAW. Rasulullah SAW berkata, “Apa kena dengan kamu, hai Abu Bakar?” Jawab Abu Bakar RA, “Aku disengat.” Rasulullah SAW meludah ke tempat disengat itu, lalu hilanglah kesakitan yang dirasai oleh Abu Bakar RA.
Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA berada di dalam gua itu selama tiga malam, iaitu malam Jumaat, malam Sabtu dan malam Ahad. Abdullah bin Abu Bakar bermalam berdekatan tempat persembunyian mereka berdua Aisyah R.Anha berkata, “Abdullah adalah seorang anak muda yang mahir dan pintar. Apabila waktu sahur, dia segera keluar dari sisi mereka berdua lalu berpagi-pagi bersama-sama orang Quraisy di Makkah seolah-olah malam tadi dia tidur di Makkah. Di Makkah, dia mengintip-intip sebarang perbualan berkaitan perancangan terhadap Rasulullah SAW lalu diingatnya betul-betul kemudian berita itu disampaikan kepada mereka berdua ketika hari telah jauh gelap.”
Amir bin Fuhairah ialah hamba Abu Bakar RA yang menggembala kambing di kawasan tersebut. Apabila berlalu waktu Isyak, Amir bin Fubairah menghalau kambing ternaknya ke tempat mereka bersembunyi lalu di situ dia membekalkan susu perahan kambingnya. Apabila hari telah jauh malam dibawanya kambing-kambingnya pulang. Begitulah yang dilakukannya setiap malam dalam tempoh tiga malam tersebut.” Amir bin Fuhairah akan membawa kambing-kambingnya mengikut jejak yang dilalui oleh Abdullah bin Abu Bakar apabila dia pergi ke Makkah supaya kesan jejak tapak kakinya akan hilang “
Sementara itu, orang Quraisy semakin menggila setelah ternyata Rasulullah SAW terlepas dari tangan mereka pada malam pengepungan tersebut. Kegilaan mereka yang pertama ialah dengan memukul Ali bin Abu Talib RA dan mengheretnya ke Kaabah dan ditahan di situ beberapa lama supaya mereka dapat mengetahui berita mengenai Rasulullah SAW daripadanya.”
Setelah tidak berjaya mendapatkan sebarang maklumat daripada Ali RA, mereka terus pergi ke rumah Abu Bakar RA dan mengetuk pintu rumahnya. Lalu keluarlah Asma binti Abu Bakar. Mereka bertanya kepadanya, “Mana bapamu?” Jawab Asma, “Demi Allah, aku tidak tahu ke mana bapaku pergi,” Abu Jahal mengangkat tangannya lantas ditempelengnya pipi Asma sehingga menyebabkan terjatuh anting-anting Asma.
Dalam satu mesyuarat tergempar dan tergesa-gesa, pihak Quraisy telah mengambil keputusan untuk menggunakan apa sahaja cara asalkan Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA dapat ditemui dan ditangkap. Semua jalan keluar dari Makkah dikawal oleh pengawal yang lengkap bersenjata. Mereka juga menawarkan hadiah lumayan yang bernilai seratus ekor unta kepada sesiapa yang dapat membawa Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA kepada pihak Quraisy sama ada hidup atau mati, walau dengan apa cara sekalipun. Dengan tawaran tersebut, maka ramailah pahlawan berkuda, pejalan kaki dan para pencari berusaha menjejaki Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA. Kumpulan ini bertebaran ke segenap ceruk bukit-bukau dan lembah, tanah cerun dan tanah tinggi tetapi sayangnya mereka tidak mendapat sebarang hasil dan pulangan.
Para pemburu tersebut ada yang telah sampai ke pintu gua tempat persembunyian Rasulullah SAW. Akan tetapi, Allah Yang Maha Kuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya. Al-Bukhari meriwayatkan hadis Anas RA daripada Abu Bakar RA katanya, “Aku bersama Rasulullah SAW di dalam gua. Apabila aku mengangkat kepala, nampaklah olehku kaki-kaki kaum Quraisy. Lalu aku berkata, ‘Wahai Nabi Allah, kalaulah sebahagian mereka menundukkan pandangannya nescaya dia akan melihat kita.’ Jawab Rasulullah SAW, ‘Diamlah hai, Abu Bakar. Sungguhpun kita berdua tetapi Allah yang ketiga.” Dalam lafaz lain menyebutkan, “Bukan seperti sangkaanmu hai, Abu Bakar, bahawa hanya ada kita berdua sahaja tetapi Allah yang ketiganya.”
Kegagalan Quraisy melihat mereka berdua itu sebenarnya adalah mukjizat yang Allah muliakan kepada Rasulullah SAW. Maka, pulanglah orang Quraisy tersebut, padahal ketika itu hanya beberapa langkah sahaja jar antara mereka dengan Rasulullah SAW dan Abu Bakar RA. (Lihat Sirah Nabawiyyah Rahiq Maktum, hlm. 273-276)
Kami rakamkan di sini firman Allah SWT:
إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ
Maksudnya: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telahpun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang ia salah seorang dari dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika ia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita”. Maka Allah menurunkan semangat tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan Kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah al-Taubah: 40)
Ibn Abbas berkata: Rasulullah SAW mengerahkan satu perkampungan Arab, tapi mereka keberatan, lalu Allah SWT menahan hujan dari mereka sebagai azab yang dikenakan kepada mereka. Allah SWT juga akan menggantikan mereka dengan kaum lain yang akan membela Nabi-Nya dan menegakkan agama-Nya. Perbuatan mereka yang ingkar dan tidak turut serta dalam jihad, sebenarnya sedikitpun tidak memudaratkan Allah SWT, kerana Allah SWT Maha Berkuasa atas segala sesuatu termasuk memberikan kemenangan meskipun tanpa penglibatan mereka. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 4/154)
Seterusnya Allah SWT memperingatkan orang beriman bahawa sekiranya mereka tidak mahu keluar berjihad bersama-sama dengan rasul-Nya tatkala diseru, maka Allah SWT akan membela dan menolong rasul-Nya bagi menghadapi musuh serta Dia mencukupkannya daripada pertolongan dan bantuan manusia. Ia adalah sama seperti kejadian ketika Baginda SAW dihalau oleh orang Quraisy daripada tanah airnya sendiri, bersama dengan sahabat setianya Abu Bakar R.A, iaitu ketika kedua-duanya berada di dalam Gua Thur dan Baginda berkata kepada sahabatnya, “Janganlah engkau sedih kerana Allah bersama kita, maka mereka pasti tidak akan tahu kedudukan kita dan mereka tidak akan sampai ke sini.” (Lihat Jami’ al-Bayan fi Ta’wil al-Quran, 14/258)
Kemudian Allah SWT menurunkan ketenangan-Nya kepada Rasulullah SAW atau menurut pendapat kedua kepada Abu Bakar, kerana Rasulullah SAW sentiasa merasa tenang. Ibn al-‘Arabi berkata bahawa pendapat yang mengatakan ganti nama dalam ayat di atas adalah merujuk kepada Abu Bakar adalah lebih kuat, kerana beliau merasa bimbang terhadap keselamatan Rasulullah SAW daripada gangguan kafir Quraisy, lalu Allah SWT menurunkan ketenangan-Nya kepada Abu Bakar R.A, lantas beliau merasa lega, kebimbangannya hilang dan terus berasa tenang. Manakala jumhur ulama berpandangan ganti nama itu merujuk kepada Rasulullah SAW, kerana ketenangan di sini bermaksud penjagaan dan salah satu daripada ciri khusus kenabian. Allah SWT juga menguatkan Baginda dengan bantuan tentera yang kamu tidak dapat melihatnya iaitu yang terdiri daripada para malaikat. Allah SWT juga menjadikan seruan kesyirikan dan kekufuran berada di bawah dan kalah, manakala seruan Allah iaitu seruan kepada tauhid dan dakwah Islam’ adalah yang tertinggi dan menang. Allah Maha Perkasa dan yang memenangkan, tidak akan hina sesiapa yang berlindung dengan-Nya dan Dia juga Maha Bijaksana dalam segala perkataan dan perbuatan-Nya, serta meletakkan sesuatu pada tempatnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 10/218)
Akhirnya, sekali lagi Allah SWT menyeru umat Islam untuk keluar berjihad pada jalan Allah SWT sama ada dalam keadaan ringan dan mudah bergerak kerana masih muda, atau dalam keadaan berat kerana pelbagai tanggungjawab. Mereka juga diseru berjihad dalam keadaan menunggang kenderaan, iaitu dalam semua keadaan dan situasi, senang atau susah, cergas atau lesu. Allah SWT menegaskan, supaya berjihadlah dengan harta benda dan jiwa kamu pada jalan Allah iaitu demi menegakkan kalimah Allah. Yang demikian itu adalah lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui bahawa jihad dan keluar berjuang itu adalah lebih baik daripada condong dan cenderung kepada dunia, serta merasa cukup dengan yang sedikit daripada kenikmatan kehidupan dunia. (Lihat Safwah al-Tafasir, 1/499)
Akhir kalam, kami akhiri dengan doa:
رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh”
(Surah al-Naml: 19)
Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H