Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Saya seorang doktor pembedahan. Umum kita mengetahui bahawa sutera adalah haram bagi lelaki. Bagi pembedahan, kami ada menggunakan benang dari sutera untuk tujuan menjahit luka pesakit. Apakah hukum bagi penggunaan sutera bagi tujuan perubatan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, hukum lelaki memakai sutera adalah haram. Hal ini berdasarkan  sabda Nabi SAW :

أحلَّ الذهبُ والحريرُ لإناثِ أُمتي، وحُرِّم على ذكورِها

Maksudnya: “Dihalalkan emas dan sutera bagi wanita dalam kalangan umatku, dan diharamkan bagi kaum lelakinya”.

Riwayat al-Nasa’ie (5163)

Imam al-Ramli berkata: “(Diharamkan ke atas lelaki) memakai sutera tulen atau sutera bercampur  yang kadar suteranya  lebih  banyak melainkan ke atas kanak-kanak.” (Lihat Ghayah al-Bayan Fi Syarh Zubad Ibn Ruslan,  183)

Diriwayatkan  juga daripada Huzaifah:

نَهَانَا رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهٌ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَن لٌبْسِ الْحَرِير والدِّيبَاج وَأَن نَجْلِسَ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Nabi SAW melarang kita daripada memakai sutera dan dibaj (sejenis sutera) serta duduk di atasnya.”

Riwayat al-Bukhari (5837) dan Muslim (2067)

Oleh yang demikian diharamkan bagi lelaki memakai sutera dan ia merupakan pandangan jumhur ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali.

Menjawab bagi persoalan di atas,  kami katakan lelaki diharamkan memakai sutera namun, penggunaan sutera bagi tujuan perubatan adalah dibenarkan oleh syara’. Ini berdasarkan apa yang telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A :

رَخَّصَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلزُّبَيْرِ وَعَبْدِ الرَّحْمَنِ فِي لُبْسِ الْحَرِيرِ لِحِكَّةٍ بِهِمَا

Maksudnya: “Nabi  SAW memberikan kelonggaran untuk Zubair dan Abd Rahman untuk memakai sutera karana penyakit gatal yang mereka derita.”

Riwayat al-Bukhari (5829) dan Muslim (2076)

Imam al-Nawawi menyatakan: Adalah dibolehkan memakai sutera dalam keadaan darurat  jika berhadapan dalam peperangan atau memerlukan pakaian yang panas atau sejuk. Ia diboleh juga untuk keperluan seperti mengatasi penyakit kudis. Dalam masalah ini ada pendapat bahwa ia tidak dibolehkan, dan itu adalah pendapat yang tidak disepakati. Selain itu, ia juga dibolehkan bagi tujuan menghilangkan kutu ketika dalam permusafiran ataupun tidak, menurut pendapat yang paling kuat. (Lihat Roud al-Tolibin, 2/68)

Selain itu, kaedah fiqh menyebutkan bahawa:

الضَّرُورَات تُبِيْحُ المَحْظُورَات

Maksudnya: “Keadaan-keadaan darurat itu mengharuskan perkara-perkara yang terlarang.”

Menurut Syeikh Muhammad al-Zuhaili ketika membahas kaedah di atas, darurat ialah sampainya seseorang kepada had peringkat yang jika dia tidak mengambil sesuatu yang dilarang maka akan menghasilkan kebinasaan kepada diri orang yang terdesak itu, atau hampir kepada kebinasaan, seperti hilangnya anggota, hilangnya pancaindera maka ini dianggap darurat daripada sudut Hukum Syarak. (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatiha fi al-Mazahib al-Arba`ah, 1/276)

Justeru kami katakan, sekiranya terdapat keperluan menggunakan sutera bagi lelaki maka ia diperbolehkan seperti melakukan perawatan. Namun sekiranya tiada keperluan, maka tidaklah ia diperbolehkan kerana pada asalnya sutera hanya dihalalkan bagi perempuan tidak bagi lelaki.

Semoga Allah memberi kefahaman yang jelas dalam melaksanakan syariatnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah :201)

 Wallahu a’lam

Bertarikh: 28 Julai 2023 bersamaan 10 Muharram 1445 H

Leave a Reply