Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum Datuk, mohon nasihat mengenai inner (pakaian dalam berlengan) untuk wanita. Bolehkan menggunakan inner berwarna kulit terutama untuk pakaian sekolah anak perempuan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِندَ كُلِّ مَسْجِدٍ

Maksudnya: Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang).

Surah al-A’raf (31)

Perhiasan yang dimaksudkan dalam ayat tersebut di atas ialah pakaian yang menutup aurat untuk mengerjakan solat. Tambahan lagi, memakai pakaian yang terbaik untuk menunaikan solat ialah sunnah Rasulullah SAW. Ayat ini juga merupakan dalil kewajipan menutup aurat semasa mendirikan solat. (Lihat Tafsir al-Baidhawi, 3/405)

Berkenaan dengan persoalan di atas, kami kemukakan dua noktah penting:

  • Mengelakkan daripada menutup sebahagian aurat dan membuka sebahagian yang lain

Aurat hendaklah ditutup keseluruhannya tidak boleh menutup sebahagiannya manakala sebahagian yang lain pula didedahkan. Bahkan haram melakukan perkara tersebut.

Sabda Rasulullah SAW:

 صِنْفَانِ مِنْ أَهْلِ النَّارِ لَمْ أَرَهُمَا : قَوْمٌ مَعَهُمْ سِيَاطٌ كَأَذْنَابِ الْبَقَرِ يَضْرِبُونَ بِهَا النَّاسَ ، وَنِسَاءٌ كَاسِيَاتٌ عَارِيَاتٌ ، مُمِيلاَتٌ مَائِلاَتٌ ، رُءُوسُهُنَّ كَأَسْنِمَةِ الْبُخْتِ الْمَائِلَةِ ، لاَ يَدْخُلْنَ الْجَنَّةَ وَلاَ يَجِدْنَ رِيحَهَا ، وَإِنَّ رِيحَهَا لَيُوجَدُ مِنْ مَسِيرَةِ كَذَا وَكَذَا

Maksudnya: “Dua kategori penghuni neraka yang belum pernah aku melihatnya lagi iaitu satu kaum yang memegang cemeti (pemukul) seperti ekor lembu dan wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang (mereka memakai pakaian tetapi tidak menutup keseluruhan aurat), mereka cenderung untuk tidak mentaati Allah taala dan mempengaruhi orang lain daripada mentaati Allah, dengan kata lain mereka mengajak-ajak lelaki melakukan zina), mempunyai sanggul seperti bonggol unta (supaya orang kagum kepada mereka). Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menghidu baunya walaupun bau syurga itu mampu untuk dihidu sejauh perjalanan tertentu” 

 Hadis Syarah Sahih Muslim no 5098.

Hadis ini bukan hanya menceritakan wanita yang tidak lengkap dalam menutup aurat tetapi mereka memiliki sifat tambahan iaitu menyeru lelaki untuk melakukan zina.

  • Tidak mengenakan pakaian yang nipis sehingga menampakkan warna kulit

Menurut  al- Hafiz al-Murtadha al-Zabidi dalam kitabnya Ithaf Sadah al-Muttaqin, jilid 3 /134 :

 “Aurat seorang wanita merdeka adalah seluruh badan melainkan wajah dan dua pergelangan tangan iaitu bermula daripada kepala jari jemari sampai ke pergelangan tangan”. Katanya lagi :

 “ Syarat menutup aurat adalah memakai sesuatu yang menghalang daripada dapat dilihat warna kulit bukan daripada yang menghilangkan bentuk badannya (kerana sebahagaian manusia khususnya yang gemuk sukar untuk tidak menampakkan sedikitpun daripada bentuk badannya). Maka tidak memadai pakaian nipis, koyak kerana ia tidak menghalang untuk dilihat warna kulit melalui celah-celahannya. Begitu juga tidak memadai seseorang memakai kaca yang menampakkan warna kulit kerana tujuan menutup aurat tidak akan berlaku dengannya. Adapun jika menampakkan bentuk tubuh sahaja maka ia tidak memudharatkan tetapi bagi wanita hukumnya makruh memakai pakaian tersebut, manakala bagi lelaki hukumnya khilaf al-aula. Pendapat ini juga adalah pendapat al-Mawardi dan selainnya.”

Begitu juga, kami nyatakan bahawa apabila memakai pakaian dalam yang berwarna kulit; jika dilapisi dengan pakaian yang lain, maka tidak mengapa. Tetapi, jika menampakkannya seperti baju luarnya lengan pendek tetapi memakai baju dalam sampai ke pergelangan tangan dengan warna kulit sehingga tidak dapat membezakan dengan warna kulit maka hukumnya adalah tidak dibolehkan bahkan boleh membawa kepada haram.

Ini kerana pandangan dan sangkaan mata manusia lain bahawa seorang itu tidak menutup aurat dengan sepenuhnya. Ia membawa kepada tohmahan yang Islam menyuruh kita menjarakkannya, seperti kaedah menyebut:

اتَّقُوا مَواضِعِ التُّهَمِ

Maksudnya: “Berhati-hatilah kalian dengan ruang-ruang tohmahan.”

Justeru, kami katakan, meninggalkan sebarang bentuk yang syubhah sebahagian daripada cara untuk kita memelihara agama kita. Benarlah sabda Nabi SAW:

Daripada Abi Abdillah Nu’man bin Basyir R.Anhuma, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ الحَلالَ بَيْن وَإِنَّ الحَرَامَ بَيِّنٌ وَبَيْنَهُمَا أُمُورٌ مُشْتَبِهات لا يَعْلَمُهُنَّ كَثِيرٌ مِنَ النَّاسِ، فَمَنِ اتَّقَى الشُّبُهَاتِ فَقَدِ اسْتَبْرَأَ لِدِينِهِ وعِرْضِهِ، وَمَنْ وَقَعَ فِي الشُّبُهَاتِ وَقَعَ فِي الْحَرَامِ كَالرَّاعِي يَرْعَى حوْلَ الحِمَى يُوشِكُ أَنْ يَرْتَعَ فِيْهِ. أَلَا وَإِنَّ لِكُلِّ مَلِكِ حِمَى وَإِنَّ حِمَى اللَّهِ ،مَحَارِمُهُ، أَلا وإِنَّ فِي الجَسَدِ مُضْغَةً إِذَا صَلَحَتْ صَلَحَ الجَسَدُ كُلُّهُ وَإِذَا فَسَدَت فَسَدَ الجَسَدُ كُلُّهُ أَلَا وَهِيَ القَلْبُ ألا

Maksudnya: “Sesungguhnya yang halal itu jelas dan yang haram itu jelas. Di antara keduanya terdapat perkara-perkara yang syubhat (samar-samar) yang tidak diketahui oleh sebahagian manusia. Maka sesiapa yang menjauhi perkara syubhat bermakna dia telah menyelamatkan agama dan kehormatannya. Dan siapa yang terjerumus dalam perkara syubhat, maka dibimbangi akan terjerumus dalam perkara yang diharamkan Sebagaimana penggembala yang membawa haiwan gembalaannya disekitar padang larangan, maka lambat laun dia mungkin akan memasukinya. Ketahuilah bahawa setiap raja memiliki larangan dan larangan Allah adalah apa yang Dia haramkan. Ketahuilah bahawa dalam diri ini terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh ini dan jika ia buruk, maka buruklah seluruh tubuh, ketahuilah bahawa ia adalah hati.”

Riwayat al-Bukhari (52) dan Muslim (1599)

Kami akhiri dengan doa:

اللهُم إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيةَ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللهم إنا تَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply