Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bagaimana saya boleh kuatkan diri dan iman saya setelah diuji oleh Allah menghidap kanser tahap 4? Banyak kekesalan dalam diri saya, dosa atas kejahilan yang selama ini saya buat, masa yang saya sia-siakan dan akhirnya saya diuji dengan kesakitan begini. Jujur saya katakan bukan kesakitan itu yang menakutkan saya tapi amalan saya yang tidak cukup, dosa-dosa yang selama ini saya lakukan. Bagaimana saya nak sabar dan redha dalam kesakitan.?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami katakan bahawa kehidupan ini di dunia sebagai darul ibtila’ iaitu tempat ujian. Hal ini berbetulan dengan firman Allah SWT:

وَلَنَبْلُوَنَّكُم بِشَيْءٍ مِّنَ الْخَوْفِ وَالْجُوعِ وَنَقْصٍ مِّنَ الْأَمْوَالِ وَالْأَنفُسِ وَالثَّمَرَاتِ ۗ وَبَشِّرِ الصَّابِرِينَ

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.

(Surah al-Baqarah: 155)

Kami katakan kepada anda, ia merupakan suatu kurniaan Allah SWT untuk menjadikan anda begitu hampir dengan-Nya. Sementelahan lagi, apabila bersabar maka anda termasuk dalam golongan orang-orang yang sabar dan diberi berita gembira sebagaimana ayat dan nas di atas yang balasannya adalah ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT serta syurga. 

Diriwayat daripada Suhaib Bin Sinan al-Rumi bahawa Rasulullah SAW bersabda:

عَجَبًا لأَمْرِ المُؤْمِنِ، إنّ أمْرَهُ كُلَّهُ خَيْرٌ، وليسَ ذاكَ لأَحَدٍ إلّا لِلْمُؤْمِنِ، إنْ أصابَتْهُ سَرّاءُ شَكَرَ، فَكانَ خَيْرًا له، وإنْ أصابَتْهُ ضَرّاءُ، صَبَرَ فَكانَ خَيْرًا له

Maksudnya: “Amat menakjubkan urusan orang yang beriman kerana setiap urusannya adalah baik, dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada orang beriman. Jika dia mendapat sesuatu yang menyenangkan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Dan jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.”

Riwayat Muslim (7692)

Imam al-Tibi sepertimana dinukilkan oleh Imam al-Munawi, berkata: “Keadaan seorang mukmin itu semuanya baik. Perkara ini hanya didapati pada seorang mukmin. Ia tidak ditemui pada orang kafir mahupun munafik. Keajaibannya adalah ketika dia diberi kesenangan dalam bentuk kesihatan, keselamatan, harta dan kedudukan, kemudian dia bersyukur kepada Allah atas kurniaan tersebut, maka dia akan dicatat sebagai orang yang bersyukur. Ketika dia ditimpa musibah, kemudian dia bersabar, maka dia akan dicatat sebagai orang-orang yang bersabar.  (Lihat Faidh al-Qadir, 4/302)

Telah diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما يُصِيبُ المُسْلِمَ، مِن نَصَبٍ ولا وصَبٍ، ولا هَمٍّ ولا حُزْنٍ ولا أذًى ولا غَمٍّ، حتّى الشَّوْكَةِ يُشاكُها، إلّا كَفَّرَ اللهُ بها مِن خَطاياهُ

Maksudnya: Tidaklah seorang Muslim yang ditimpa musibah seperti keletihan, penyakit, keresahan, kesedihan, gangguan dan kegundahan bahkan duri yang melukainya sekalipun melainkan Allah SWT akan menghapuskan dosa-dosanya.

Riwayat Bukhari (5641)

Dalam situasi seperti ini, redha kepada takdir Ilahi di samping membuat persediaan amalan soleh dengan sebanyak-banyaknya adalah amat penting. Kami syorkan seperti berikut:

  • Pastikan solat fardhu dibuat dengan sempurna, pada awal waktu dan berjemaah. Di samping merajinkan kaki menuju ke masjid atau surau.
  • Ibadat fardhu yang lain pastikan telah dilaksanakan dengan sempurna dan jika belum hendaklah diqadha’ seperti zakat, puasa dan lain-lain.
  • Banyakkan lazimi taubat dan istighfar. Dan banyakkan tasbih dan tahmid sebagaimana firman Allah SWT:

فَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ وَاسْتَغْفِرْهُ ۚ إِنَّهُ كَانَ تَوَّابًا

Maksudnya: “Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepadaNya, sesungguhnya Dia amat menerima taubat.

Surah al-Nasr (3)

  • Kerapkan bersedekah dan berinfak kerana pahalanya besar di sisi Allah SWT. kami telah nyatakan dalam buku kami yang bertajuk Keajaiban Sedekah. Antaranya:

Daripada Abu Umamah al-Bahili RA, Rasulullah SAW:

دَاوُوا مَرْضَاكُمْ بِالصَّدَقَةِ

Maksudnya: “Rawatlah orang-orang sakit dalam kalangan kamu dengan bersedekah.”

Riwayat Abu Daud dalam al-Marasil (105) daripada al-Hasan al-Basri; al-Baihaqi dalam Syu’ab al- Iman (3/1310) dan al-Tabarani dalam al-Mu’jam al- Ausat (2/274). Syeikh al-Ghumari menilai hadis ini sebagai sahih.

Al-Munawi berkata: Rawatilah penyakit kamu dengan sedekah. Ini kerana perubatan terbahagi kepada dua jenis, jasmani dan ruhani. Maka Nabi menunjukkan kepada yang pertama dan mensyaratkan sekarang yang kedua. Baginda SAW memerintahkan untuk merawat pesakit dengan sedekah dan memberi peringatan dengannya atas baki yang lain, daripada amalan kebajikan seperti menolong orang yang susah dan orang yang terdesak. Dan telah diuji cara ini oleh mereka yang diberi taufik, maka dapatan daripada ubat-ubatan kerohanian boleh menyembuh apa yang tidak boleh berlaku melalui ubatan fizikal. Yang demikian tidaklah diingkari kecuali siapa yang dibuka hijabnya. Na SAW adalah tabib kepada hati-hati dan siapa yang mendapati dis sempurna persediaannya untuk menghadap Tuhan hamba, nescay diperintahkan dengan rawatan rohani. Siapa yang berpandangan sebaliknya, maka bolehlah dia menggunakan dengan ubat-ubatan yang zahir.

Kata al-Munawi lagi: Rawatilah pesakit kamu dengan sedekah, dengan cara menjamu makan orang yang lapar, melakukan yang makruf bagi yang mempunyai hati yang mengharapkan balasan Allah dan menguatkan hati yang pecah lagi sedih seperti orang yang sakit dalam keadaan terasing, orang-orang fakir, janda-janda dan orang-orang miskin yang tiada tempat untuk mengadu dan berteduh. (Lihat Faidh al-Qadir Syarh al-Jami’ al-Saghir, 515/3)

Kemudian, maafkanlah kesalahan orang lain dan jadilah insan yang pemaaf. Banyakkan masa dengan zikrullah, membaca al-Quran sehingga khatam, selawat atas Nabi SAW dan juga beristighfar. Yakinlah bahawa kehidupan yang abadi adalah di akhirat nanti. Kami doakan semoga Allah SWT memberi kesembuhan kepada anda dan kekuatan dengan kesabaran serta redha dengan takdir-Nya.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply