Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Macam mana kita nak menjawab persoalan kenapa kita tak nampak Allah SWT di dunia?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sesungguhnya, nikmat yang terbesar di akhirat kelak ialah dapat melihat wajah Allah SWT di dalam syurga. Berkenaan dengan persoalan di atas, kami mulakan dengan hadith riwayat Abdullah bin Umar R.’Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
تَعَلَّمُوا أَنَّهُ لَنْ يَرَى أَحَدٌ مِنْكُمْ رَبَّهُ حَتَّى يَمُوتَ
Maksudnya: “Ketahuilah, bahawa tiada seorang pun dari kalian yang akan melihat Tuhannya sehinggalah setelah dia meninggal dunia.”
Sahih Muslim (2930)
Nikmat melihat Allah SWT ini menurut beliau merupakan sebesar-besar kelazatan (al-lazzah al-kubra) yang akan menyebabkan sekalian ahli syurga lupa kepada nikmat-nikmat yang lain. Oleh kerana inilah beliau menyeru kepada sekalian Muslimin untuk menjadikan nikmat melihat Allah SWT ini sebagai dorongan utama untuk memasuki syurga. Nikmat melihat Allah SWT ini merupakan sebesar-besar nikmat berbanding nikmat-nikmat material yang lain. (Lihat Ihya’ Ulum al-Din, 4/543)
Nas di atas jelas menunjukkan kepada kita, melihat Allah SWT tidak akan berlaku di dunia kecuali kepada Rasulullah SAW mengikut sebahagian pendapat ulama Ahli Sunnah wal Jamaah.
Nikmat ini akan dapat dikecapi oleh hamba-hamba-Nya yang soleh apabila mereka sudah meninggal dunia di akhirat kelak. Ulama Ahli Sunnah wal Jamaah telah bersepakat bahawa melihat Allah SWT di akhirat kelak adalah suatu yang tidak mustahil dari sudut aqal, dan wajib pula melalui dalil-dalil sam’i. Mereka juga bersepakat bahawa orang-orang mu’min akan melihat-Nya di akhirat kelak.
Adapun pandangan sebahagian golongan Muktazilah, Khawarij, Jahmiyyah dan Murji’ah yang mendakwa Allah SWT tidak boleh dilihat di syurga, ia merupakan dakwaan batil yang bercanggah dengan dalil al-Qur’an, al-Sunnah, ijma’ para sahabat R.’Anhum serta para salafussoleh. (Lihat Syarh al-‘Aqidah al-Tohawiyyah oleh Imam Ibn Abi al-‘Izz hlm. 188; Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim oleh al-Imam al-Nawawi 3/15; Syarh al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah oleh Imam al-Taftazani hlm. 77-79 dan Majmu’ al-Fatawa Ibn Taimiyyah 3/389)
Antara dalil yang paling jelas lagi nyata ialah firman Allah SWT:
وُجُوهٌ يَوْمَئِذٍ نَّاضِرَةٌ ﴿٢٢﴾ إِلَىٰ رَبِّهَا نَاظِرَةٌ ﴿٢٣﴾
Maksudnya: “Pada hari akhirat itu, muka (orang-orang yang beriman) berseri-seri; Melihat kepada Tuhannya.”
Surah al-Qiyamah (22-23)
Perkataan إِلَىٰ رَبِّهَا menunjukkan bahawa penglihatan itu berlaku kepada Tuhannya yakni orang yang beriman lagi beramal soleh pasti dapat melihat Allah SWT.
Begitu juga dengan firman-Nya:
لِّلَّذِينَ أَحْسَنُواْ الْحُسْنَى وَزِيَادَةٌ
Maksudnya: “Untuk orang-orang yang berusaha menjadikan amalnya baik akan dikurniakan segala kebaikan serta satu tambahan yang mulia.”
Surah Yunus (26)
Daripada Suhaib R.A, bahawa Rasulullah SAW membaca ayat surah Yunus ini lalu bersabda:
إِذَا دَخَلَ أَهْلُ الْجَنَّةِ الْجَنَّةَ – قَالَ – يَقُولُ اللَّهُ تَبَارَكَ وَتَعَالَى تُرِيدُونَ شَيْئًا أَزِيدُكُمْ فَيَقُولُونَ أَلَمْ تُبَيِّضْ وُجُوهَنَا أَلَمْ تُدْخِلْنَا الْجَنَّةَ وَتُنَجِّنَا مِنَ النَّارِ – قَالَ – فَيَكْشِفُ الْحِجَابَ فَمَا أُعْطُوا شَيْئًا أَحَبَّ إِلَيْهِمْ مِنَ النَّظَرِ إِلَى رَبِّهِمْ عَزَّ وَجَلَّ
Maksudnya: “Apabila seorang ahli syurga memasuki syurga, Allah Tabaraka wa Ta’ala berfirman: “Apakah kamu ingin aku tambahkan lagi nikmat kepadamu?” Mereka menjawab: “Tidakkah Engkau telah memutihkan wajah-wajah kami? Tidakkah Engkau telah memasukkan kami ke dalam syurga dan menyelamatakan kami daripada api neraka?” Lalu Allah SWT membuka hijab (dan menampakkan diri-Nya, dan tidaklah mereka itu diberikan sesuatu yang lebih mereka cintai berbanding nikmat melihat Tuhan mereka Allah ‘Azza wa Jalla.”
Sahih Muslim (181) dan Sunan Ibn Majah (187)
Allah SWT juga berfirman di tempat yang lain:
لَهُمْ مَا يَشَاءُونَ فِيهَا وَلَدَيْنَا مَزِيدٌ
Maksudnya: “Mereka beroleh apa yang mereka kehendaki di situ, dan di sisi Kami ada lagi tambahan (limpah kurnia yang tidak terlintas di hati mereka).”
Surah Qaf (35)
Begitu dengan firman-Nya:
كَلَّا إِنَّهُمْ عَن رَّبِّهِمْ يَوْمَئِذٍ لَّمَحْجُوبُونَ
Maksudnya: “Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dan terhalang daripada Tuhan mereka.”
Surah al-Mutaffifin (15)
Imam al-Baihaqi meriwayatkan bahawa menurut Imam al-Syafi’e, ayat ini menjadi dalil bahawa para wali Allah SWT akan melihat-Nya dalam keadaan Dia redha kepada mereka. (Lihat Ma’rifah al-Sunan wa al-Atsar, 1/191)
Selain itu, sabit juga hadith riwayat Jarir bin Abdillah R.A:
كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم إِذْ نَظَرَ إِلَى الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ قَالَ “ إِنَّكُمْ سَتَرَوْنَ رَبَّكُمْ كَمَا تَرَوْنَ هَذَا الْقَمَرَ لاَ تُضَامُّونَ فِي رُؤْيَتِهِ
Maksudnya: “Suatu hari kami duduk bersama Rasulullah SAW dan Baginda melihat kepada bulan pada malam bulan mengambang lalu bersabda: “Kalian akan melihat Tuhan kalian sepertimana kalian melihat bulan ini, dan kalian tidak akan mempunyai masalah untuk melihat-Nya.”
Sahih al-Bukhari (7434) dan Sahih Muslim (633)
Oleh kerana melihat Allah SWT adalah nikmat teragung dan terbesar sedangkan di dunia ini sebagai darul ibtila’ (negeri ujian), maka sudah tentu tidak sesuai untuk dibalas di negeri yang tidak kekal seperti ini. Sebabnya, ia anugerah yang bersifat kekal akan diberi di Hari Akhirat nanti di dalam syurga. Dengan sebab itu, disebut dalam al-Quran pada surah Yunus ayat 26, perkataan وَزِيَادَةٌ .
Sudah tentu, melihat Allah SWT jika sudah berlaku di dunia maka susunan kemuliaan dan kelebihan di Hari Akhirat seperti syurga akan terus pudar berbanding dengan kelebihan melihat Allah SWT.
Kisah Nabi Musa AS menjadi sebab yang kedua kenapa di dunia ini kita tidak mampu melihat Allah SWT. Ini kerana tajalli Allah SWT semata-mata sudah mencair dan meleburkan gunung-ganang. Sementelahan lagi dengan sifat basyari manusia yang lemah lagi kerdil.
Firman Allah SWT:
وَلَمَّا جَاءَ مُوسَىٰ لِمِيقَاتِنَا وَكَلَّمَهُ رَبُّهُ قَالَ رَبِّ أَرِنِي أَنظُرْ إِلَيْكَ ۚ قَالَ لَن تَرَانِي وَلَٰكِنِ انظُرْ إِلَى الْجَبَلِ فَإِنِ اسْتَقَرَّ مَكَانَهُ فَسَوْفَ تَرَانِي ۚ فَلَمَّا تَجَلَّىٰ رَبُّهُ لِلْجَبَلِ جَعَلَهُ دَكًّا وَخَرَّ مُوسَىٰ صَعِقًا ۚ فَلَمَّا أَفَاقَ قَالَ سُبْحَانَكَ تُبْتُ إِلَيْكَ وَأَنَا أَوَّلُ الْمُؤْمِنِينَ
Maksudnya: “Dan ketika Nabi Musa datang pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (ZatMu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihatMu”. Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihatKu, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihatKu”, Setelah Tuhannya “Tajalla” (menzahirkan kebesaranNya) kepada gunung itu, (maka) “TajalliNya” menjadikan gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa pun jatuh pengsan. Setelah ia sedar semula, berkatalah ia: “Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepadaMu, dan akulah orang yang awal pertama beriman (pada zamanku)”
Surah al-A’raf (143)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah SWT, ‘قَالَ لَن تَرَانِي’ (“Allah berfirman: “Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku”), hal ini menunjukkan bahawa Nabi Musa tidak dapat melihat-Nya ketika dia meminta hal tersebut. Adapun untuk dapat melihat-Nya di akhirat, maka telah disebutkan dalam banyak hadith mutawatir yang jelas bagi orang yang mengetahui ilmu hadith. (Lihat Fath al-Qadir, 2/276)
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H