Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sekiranya ada orang Israel dalam bidang profesional kita (ahli akademik) dan datang ke Malaysia untuk international conference dan kita ditugaskan untuk memberi khidmat kepada dia. Seperti ambil dan hantar ke airport, bawa pergi makan, guide dia untuk beberapa hari dan beberapa tugas lain. Sedangkan prinsip saya adalah untuk boikot Israel. Saya tidak mahu tidak menjalankan tanggungjawab kerja tapi pada masa yang sama ia bertentangan dengan prinsip saya. Apa yang perlu saya lakukan?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana ugama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.”

(Surah al-Mumtahanah: 8)

Al-Sa‘di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan:  Allah tidak melarang kamu dari berbuat baik dan berhubungan baik (silaturahim), memberi balasan dengan kebaikan, dan berlaku adil terhadap orang-orang musyrik baik mereka dari kalangan kerabatmu atau yang lain selama mereka tidak memerangi kamu dalam agama dan tidak mengusir kamu dari tempat tinggalmu. Oleh itu, tidak ada dosa bagimu untuk berbuat baik kepada mereka dan berhubungan baik dengan mereka dalam keadaan seperti ini. Tidak ada larangan atau keburukan dalam hal yang demikian. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 856)

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan dalam soal kerja, sebaiknya kita ketepikan dahulu soal prinsip dan menjalankan tanggungjawab kita sebagai pekerja selagi mana dia tidak menyuruh perkara-perkara yang bertentangan dengan syarak seperti membelikan alkohol dan seumpamanya. Oleh itu, Islam mengajar kita untuk berbuat kepada orang yang bukan Islam selagi mana mereka tidak mengancam Islam. Demikian itu, dalam isu saudara, ahli akademik tersebut hanya datang untuk perbincangan (international conference) sahaja, maka tidak menjadi masalah dan hukumnya harus.

Dalam isu ini, memahami fiqh ta’ayush dan hubungan dengan non-Muslim berasaskan muamalat adalah diharuskan. Dr Yusuf al-Qaradhawi telah menyebut tentang hak orang kafir muahad dan juga zimmi dan menghurai dengan panjang lebar dalam kitabnya yang masyhur al-Halal wa al-Haram fil Islam.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Akhir kalam, marilah kita berdoa:

يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply