Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ayah saya di antara 40 ke 45 orang kumpulan warga tua yang uzur dan OKU yang dahulunya aktif ke surau dan masjid, keadaan ini menyebabkan mereka terbatas untuk pergi ke masjid yang jauh kedudukannya dari rumah.

Isunya, kebenaran menunaikan solat fardhu Jumaat di surau terdekat telah ditarik semula atas alasan pendapatan masjid akan berkurangan kerana masyarakat setempat ramai ke surau tersebut bagi menunaikan solat Jumaat.

Persoalannya, apakah yang menjadi keutamaan dalam menetapkan sesuatu keputusan itu, keutamaan agar semua umat islam tidak kira keadaan agar dapat menunaikan solat Jumaat, atau keutamaan terhadap sumber pendapatan masjid?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Pertamanya, solat Jumaat merupakan amalan yang telah disepakati oleh para ulama’ tentang kewajiban menunaikannya. Ini berdasarkan firman Allah SWt:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا نُودِيَ لِلصَّلَاةِ مِن يَوْمِ الْجُمُعَةِ فَاسْعَوْا إِلَىٰ ذِكْرِ اللَّهِ وَذَرُوا الْبَيْعَ ۚ ذَٰلِكُمْ خَيْرٌ لَّكُمْ إِن كُنتُمْ تَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan (bang) untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya).”

(Surah al-Jumu‘ah: 9)

Di dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Tariq bin Syihab R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

 الْجُمُعَةُ حَقٌّ وَاجِبٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ فِي جَمَاعَةٍ إِلاَّ أَرْبَعَةً عَبْدٌ مَمْلُوكٌ أَوِ امْرَأَةٌ أَوْ صَبِيٌّ أَوْ مَرِيضٌ

Maksudnya: “Sembahyang Jumaat itu hak yang wajib ke atas setiap orang Islam kecuali empat: Hamba yang dimiliki atau perempuan atau kanak-kanak atau orang sakit.”

Riwayat Abu Dawud (1067)

Kewajiban solat Jumaat hanya dikecualikan daripada 4 golongan sahaja: Hamba sahaya, wanita, kanak-kanak, dan orang yang sakit. Oleh yang demikian, sesiapa yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran, maka dia telah meninggalkan suatu kewajiban dan dikira berdosa. Dia juga telah terdedah kepada ancaman seperti yang diriwayatkan dalam hadith Ibn Mas‘ud R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada satu kaum yang meninggalkan sembahyang Jumaat:

لَقَدْ هَمَمْتُ أَنْ آمُرَ رَجُلاً يُصَلِّي بِالنَّاسِ ثُمَّ أُحَرِّقَ عَلَى رِجَالٍ يَتَخَلَّفُونَ عَنِ الْجُمُعَةِ بُيُوتَهُمْ

Maksudnya: “Aku menitikberatkan (memerintahkan) supaya lelaki itu bersembahyang dengan beramai-ramai (berjemaah), kemudian aku berazam membakar rumah-rumah mereka (lelaki) yang meninggalkan sembahyang Jumaat.”

Riwayat Muslim (652) dan Ahmad (4007)

Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Umar dan Abu Hurairah R.Anhum bahawa mereka berdua mendengar Rasulullah SAW bersabda:

لَيَنْتَهِيَنَّ أَقْوَامٌ عَنْ وَدْعِهِمُ الْجُمُعَاتِ أَوْ لَيَخْتِمَنَّ اللَّهُ عَلَى قُلُوبِهِمْ ثُمَّ لَيَكُونُنَّ مِنَ الْغَافِلِينَ

Maksudnya: “Hendaklah golongan yang suka meninggalkan solat Jumaat ini menghentikan perbuatannya, atau Allah akan mematikan hatinya kemudian mereka akan tergolong dikalangan mereka yang lalai.”

Riwayat Muslim (865), al-Nasa’ie (1370) dan Ibn Majah (794)

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, pada zahirnya terdapat beberapa perbincangan yang boleh kami bawakan.

Pertama: Kuasa menarik semula kebenaran menunaikan solat Jumaat

Kuasa memberikan keizinan untuk menunaikan solat Jumaat di surau atau masjid atau menariknya semula adalah tertakluk kepada keputusan pihak Majlis Agama Islam Negeri yang berperanan menguruskan hal ehwal Islam di sesebuah negeri. 

Hal ini bagi memastikan pelaksanaan solat Jumaat dapat dilakukan mengikut neraca syara‘ dengan mengambil kira maslahah masyarakat setempat. Kebenaran ini juga bergantung kepada permohonan AJK surau atau masjid yang bertindak sebagai wakil kepada komuniti masing-masing.

Hak kekuasaan ini adalah berdasarkan kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى رَعِيَّتِهِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: “Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.”

Kedua: Kewajiban solat Jumaat bagi orang yang uzur

Sepertimana riwayat yang telah kami bawakan di atas, orang yang sakit dan uzur sahaja yang diberikan kepadanya keringanan untuk tidak menunaikan solat Jumaat. 

Imam Abu Ishaq al-Syirazi menyebutkan, antara keuzuran yang mengharuskan seseorang itu untuk meninggalkan solat Jumaat adalah jika seseorang itu takut akan berlakunya mudarat (ancaman bahaya) terhadap dirinya atau hartanya, atau dia ditimpa sakit yang menyukarkannya untuk ke masjid. (Lihat al-Majmu‘, 4/205)

Ini berdasarkan Firman Allah SWT:

وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ ۚ

Maksudnya: “Dan Allah tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.”

(Surah al-Hajj: 78)

Berdalilkan dengan firman Allah SWT serta hadith Tariq bin Syihab R.A di atas, orang yang uzur atau menghadapi kesukaran untuk pergi ke masjid yang jauh, kerana takut akan menjejaskan kesihatannya atau tidak mempunyai pengangkutan yang memudahkannya untuk menuju ke masjid, maka mereka ini tidaklah dihukumkan berdosa kerana dalil syara‘ jelas memberikan keringanan  kepada mereka.

Ini juga bertepatan dengan firman Allah SWT:

لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا

Maksudnya: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.”

(Surah al-Baqarah: 286)

Dan juga Firman Allah SWT:

 فَاتَّقُوا اللَّهَ مَا اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya: “Oleh itu bertaqwalah kamu kepada Allah sedaya supaya kamu.”

(Surah al-Taghabun: 16)

Ketiga: Keutamaan pendapatan masjid atau maslahah masyarakat

Sejujurnya, perbahasan ini mungkin sedikit menyentuh sensitiviti beberapa pihak yang berkaitan, akan tetapi menyuarakan kebenaran adalah suatu tuntutan Islam yang harus dipikul oleh mereka yang mempunyai kemampuan untuk berbuat demikian.

Maslahah masyarakat sepatutnya menjadi keutamaan bagi mereka yang memikul tanggungjawab dan diberikan kepercayaan untuk menguruskan pentadbiran. Sekiranya benar kenyataan yang disebutkan oleh saudara yang bertanya, bahawa alasan kebenaran solat Jumaat tersebut ditarik kerana pendapatan masjid akan berkurangan ekoran masyarakat setempat ramai menuju ke surau tersebut, maka ia merupakan suatu kesalahan yang tidak sepatutnya berlaku.

Hal ini kerana solat Jumaat merupakan suatu kewajiban yang mesti dilakukan bagi yang berkemampuan, dan masyarakat yang telah uzur dan OKU mampu untuk mendirikan solat Jumaat sekiranya ia boleh dilakukan di surau itu, maka wajib diberikan keizinan tersebut agar mereka boleh berterusan melaksanakannya.

Ini berdasarkan kaedah usul fiqh yang menyebut:

مَا لَا يَتِمُّ الوَاجِبُ إِلَّا بِهِ فَهُوَ وَاجِبٌ

Maksudnya: “Suatu kewajiban yang tidak sempurna melainkan dengannya maka ia juga wajib.”

Alangkah baiknya sekiranya boleh dikorbankan sedikit pendapatan tersebut bagi memastikan maslahat lebih besar yang juga merupakan hak Allah SWT dapat dicapai, iaitu menunaikan solat fardhu Jumaat. Nescaya, Allah SWT akan menggantikan dengan rezeki yang lebih luas dan besar buat kita.

Imam Ibn al-Jauzi menukilkan sebuah kalam yang sangat menjentik hati-hati mereka yang terleka dengan keduniaan, katanya: “Wahai anak Adam, jual lah (kenikmatan) dunia kamu untuk memperoleh (nikmat) akhirat kelak, nescaya kamu akan mendapat keuntungan pada keduanya.” (Lihat Sifat al-Safwah, 2/139)

Mari sama-sama kita renungi firman Allah SWT:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ ‎﴿٥٦﴾‏ مَا أُرِيدُ مِنْهُم مِّن رِّزْقٍ وَمَا أُرِيدُ أَن يُطْعِمُونِ ‎﴿٥٧﴾‏ إِنَّ اللَّهَ هُوَ الرَّزَّاقُ ذُو الْقُوَّةِ الْمَتِينُ ‎﴿٥٨﴾

Maksudnya: “Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadah kepada-Ku. Aku tidak sekali-kali menghendaki sebarang rezeki pemberian dari mereka, dan Aku tidak menghendaki supaya mereka memberi makan kepada- Ku. Sesungguhnya Allah Dia lah sahaja Yang Memberi rezeki (kepada sekalian makhluk-Nya, dan Dia lah sahaja) Yang Mempunyai Kekuasaan yang tidak terhingga, lagi Yang Maha Kuat Kukuh kekuasaan-Nya.”

(Surah al-Zariyat: 56-58)

Akhir kalam, kami cadangkan agar ahli kariah setempat membuat permohonan semula kepada pihak berwajib, dan menyatakan dengan jelas sebab-sebab yang munasabah mengapa permohonan tersebut perlu diterima. Ingatlah sabda Rasulullah SAW seperti dalam riwayat Abu Hurairah R.A:

وَمَن يَسَّرَ علَى مُعْسِرٍ، يَسَّرَ اللَّهُ عَلَيْهِ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

Maksudnya: “Siapa yang memudahkan orang yang dalam kesusahan maka Allah akan memudahkannya di dunia dan akhirat.”

Riwayat Muslim (2699)

Semoga dengan usaha bagi mempermudahkan urusan ibadah orang lain, Allah SWT membuka pintu rezeki pendapatan yang lebih luas dari pelbagai sumber yang tidak kita sangka.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply