Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Maaf Dato’, saya ingin penjelasan, kenapa ada sebahagian fuqaha’ menganjurkan untuk puasa pada 11 Muharram, sedangkan yang saya tahu, nas menunjukkan puasa 9 lebih afdhal untuk disertakan dengan puasa ‘Asyura’.
Boleh tolong jelaskan hadith berkenaan puasa 11 Muharram ini jika ada dan status hadith itu? Terima kasih.
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Sebelum menjawab persoalan di atas, kami telah jawab beberapa perkara berkaitan puasa hari Asyura ini dalam artikel berikut:
- #2407: Puasa Yang Paling Afdhal Berkenaan Hari 10 Muharram
- #2374: Kelebihan Puasa Hari Asyura
- #2375: Kenapa Puasa Sunat 9 Muharram?
Dalam menjawab persoalan di atas, sebahagian ulama menganjurkan untuk berpuasa 11 Muharram adalah disebabkan sebuah riwayat daripada Nabi SAW untuk berpuasa pada hari tersebut. Hal ini sepertimana yang telah diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, bahawa Nabi SAW bersabda:
صُومُوا يَوْمَ عَاشُورَاءَ ، وَخَالِفُوا فِيهِ الْيَهُودَ ، صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا أَوْ بَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: “Berpuasalah kamu semua pada hari ke-10, dan selisihilah orang-orang Yahudi, berpuasalah kamu semua sebelumnya atau sesudahnya.”
Riwayat Ahmad (2154), al-Bazzar (5238) dan Ibn Khuzaimah (2095). Syeikh Ahmad Syakir menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij Musnad Ahmad (4/21). Manakala Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya dha’if dalam takhrij al-Musnad (2154). Begitu juga yang dinyatakan oleh beliau dalam takhrij Syarh al-Sunnah (6/339).
Para ulama telah berbeza pendapat berkenaan kesahihan hadith ini. Syeikh Ahmad Syakir telah menilainya sebagai hadith hasan, namun para muhaqqiq al-Musnad telah mendha’ifkannya.
Ibn Khuzaimah (2095) telah meriwayatkan dengan lafaz tersebut. Al-Albani berkata:
إِسْنَادُهُ ضَعِيفٌ ، لِسُوءِ حِفْظِ ابْنِ أَبِي لَيْلَى ، وَخَالَفَهُ عَطَاءٌ وَغَيْرُهُ فَرَوَاهُ عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ مَوْقُوفًا ، وَسَنَدُهُ صَحِيحٌ عِنْدَ الطَّحَاوِيِّ وَالْبَيْهَقِيِّ .
Maksudnya: “Sanadnya lemah, kerana buruknya hafalan Ibn Abi Laila. Ata’ dan yang lainnya telah menyelisihinya, telah diriwayatkan oleh Ibn ‘Abbas secara mauquf. Sanadnya sahih menurut al-Tahawi dan al-Baihaqi.” (Lihat tahqiqnya atas Sahih Ibn Khuzaimah, 3/290)
Sekiranya hadith tersebut hasan, maka tentu baik (tidak masalah), namun jika hadith tersebut dha’if, maka hadith dha’if dalam masalah seperti ini, para ulama’ memaafkannya (boleh menerimanya); kerana tingkat kedha’ifannya adalah dikategorikan sebagai ringan, tidak termasuk makzub atau maudhu’. Dan juga kerana ia termasuk dalam fadha’il al-a’mal (فَضَائِل الأَعْمَال).
Apatah lagi, telah diriwayatkan daripada Nabi SAW anjuran untuk berpuasa pada bulan Muharram, di mana Nabi SAW bersabda:
أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ
Maksudnya: “Sebaik-baik puasa setelah puasa Ramadhan adalah bulan Allah (yang bernama) al-Muharram.”
Riwayat Muslim (1163)
Al-Baihaqi telah meriwayatkan hadith ini dalam al-Sunan al-Kubra dengan lafaz di atas, dan dalam riwayat lain dengan lafaz:
صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا وْبَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: “Berpuasalah sehari sebelum dan sesudahnya.”
Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (8406)
Dengan menggunakan huruf wau (و) (yang bermaksud ‘dan’), bukan dengan ‘أو’ (yang bermaksud ‘atau’).
Al-Hafiz telah menyebut dalam Ithaf al-Maharah (2225) dengan lafaz:
صُومُوا قَبْلَهُ يَوْمًا وْبَعْدَهُ يَوْمًا
Maksudnya: “Berpuasalah kamu semua sehari sebelum dan selepasnya.”
Dan beliau berkata:
رَوَاهُ مُسَدَّدٌ وَأَحْمَدُ بْنُ حَنْبَلٍ وَالْبَيْهَقِيُّ بِسَنَدٍ ضَعِيفٍ، لِضَعْفِ مُحَمَّدِ بْنِ أَبِي لَيْلَى، لَكِنْ لَمْ يَنْفَرِدْ بِهِ فَقَدْ تَابِعُهُ عَلَيْهِ صَالِحُ بْنُ أَبِي صَالِحِ بْنِ حَيِّ.
Maksudnya: “Diriwayatkan oleh Musaddad, Ahmad bin Hanbal dan al-Baihaqi dengan sanad yang lemah, kerana lemahnya Muhammad bin Abi Laila. Namun dia tidak hanya berseorangan, diikuti juga oleh Soleh bin Abi Soleh bin Hay.”
Faedah yang dapat diambil daripada riwayat ini adalah, disunatkan untuk berpuasa pada 9, 10 dan 11 Muharram.
Sebahagian ulama telah menyebut sebab lain untuk disunatkan berpuasa pada 11 Muharram adalah sebagai bentuk berjaga-jaga, kerana boleh sahaja seseorang tersilap dalam menentukan hilal bulan Muharram, sehingga tidak diketahui bilakah tarikh sebenar 10 Muharram. Maka, jika seseorang Muslim berpuasa pada 9, 10 dan 11, maka dia telah melaksanakan puasa ‘Asyura’.
Ibn Abi Syaibah telah meriwayatkan dalam al-Musannaf (2/313) daripada Tawus, bahawa beliau telah berpuasa sehari sebelum dan sesudahnya kerana khuatir terlepas daripada mendapatkan keutamaan 10 Muharram.
Imam Ahmad berkata:
مَنْ أَرَادَ أَنْ يَصُومَ عَاشُورَاءَ صَامَ التَّاسِعَ وَالْعَاشِرَ، إِلَّا أَنْ تُشْكِلَ الشُّهُورُ فَيَصُومَ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ ، ابْنُ سِيرِينَ يَقُولُ ذَلِكَ
Maksudnya: “Sesiapa yang ingin berpuasa ‘Asyura’, maka hendaklah dia berpuasa pada 9 dan 10, kecuali jika penentuan bulan bermasalah, maka hendaklah dia berpuasa tiga hari. Ibn Sirin berpandangan sedemikian.” (Lihat al-Mughni, 4/441)
Meskipun begitu, jika seseorang ketinggalan untuk berpuasa pada 9 Muharram, dan jika dia hanya berpuasa pada 10 Muharram sahaja, tidak mengapa, dan perkara itu tidaklah dibenci. Namun, jika diikuti dengan berpuasa pada 11 Muharram adalah lebih utama.
Al-Mardawi menyebut:
لَا يُكْرَهُ إفْرَادُ الْعَاشِرِ بِالصِّيَامِ عَلَى الصَّحِيحِ مِنْ الْمَذْهَبِ، وَقَدْ أَمَرَ الْإِمَامُ أَحْمَدُ بِصَوْمِهَا، وَوَافَقَ الشَّيْخُ تَقِيُّ الدِّينِ أَنَّهُ لَا يُكْرَهُ.
Maksudnya: “Berpuasa hanya pada 10 Muharram sahaja tidaklah dibenci menurut pendapat yang benar dalam mazhab kami, dan Imam Ahmad memerintahkan untuk berpuasa padanya, dan hal itu dipersetujui oleh Syeikh Taqiy al-Din.” (Lihat al-Insaf, 3/346)
Oleh itu, sebahagian ulama berpendapat bahawa yang sempurnanya adalah tiga hari, iaitu pada 9, 10 dan 11 Muharram. Syeikh Dr. Sa’id bin Ali al-Qahtani dalam kitabnya al-Siyam fi al-Islam (hlm. 364) menyokong pendapat ini dengan beberapa hujah berikut:
- Sebagai langkah berhati-hati, kerana bulan Zulhijjah boleh jadi 29 atau 30 hari. Justeru, apabila tidak diketahui penetapan awal bulan dengan tepat, maka berpuasa pada 11 Muharram akan dapat memastikan bahawa seseorang memperoleh puasa Tasu’a’ (9 Muharram) dan puasa ‘Asyura’ (10 Muharram).
- Dia akan memperoleh pahala puasa tiga hari dalam sebulan, sehingga baginya pahala puasa sebulan penuh.
- Dia akan berpuasa tiga hari pada bulan Muharram di mana Nabi SAW telah bersabda, “Puasa yang paling afdhal setelah puasa Ramadhan adalah puasa pada bulan Allah al-Muharram.” [Riwayat Muslim, no. 1163]
- Tercapai tujuan dalam menyelisihi orang Yahudi, tidak hanya puasa ‘Asyura’, akan tetapi menyertakan hari yang lain juga. (Lihat Fath al-Bari, 4/245; Syarh Riyadh al-Salihin, 5/305)
Penutup
Puasa Asyura mempunyai kelebihan yang tersendiri. Begitu juga kita telah nyatakan sunat puasa pada hari ke-9 atau pada hari ke-11 sebagai pelengkap kepada puasa Asyura. Perbahasannya cukup panjang dalam siri yang lalu. Justeru marilah kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah dengan melaksanakan pelbagai bentuk kebaikan dan kebajikan. Kami berdoa kepada Allah:
اللَّهُمَّ آتِ نُفُوْسَنَا تَقْوَاهَا، وَزَكِّهَا أَنْتَ خَيْرُ مَنْ زَكَّاهَا، أَنْتَ وَلِيُّهَا وَمَوْلاَهَا
Maksudnya: “Ya Allah, berikanlah ke-takwaan pada jiwa kami, dan bersihkanlah ia kerana Engkaulah sebaik-baik yang dapat membersihkannya. Engkaulah Pelindung dan Tuan kepadanya.”
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H