Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apabila Rasulullah SAW wafat, bagaimana harta yang ada padanya? Adakah ia dibahagi faraid atau disedekahkan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Menjadi kebiasaan bagi manusia apabila meninggal dunia hendaklah diwariskan hartanya sebagaimana yang maklum dan masyhur. Antaranya, hadith Nabi SAW: Daripada Ibn Abbas R.Anhuma berkata: “Rasulullah SAW bersabda: 

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا أَبْقَتِ الْفَرَائِضُ، فَلِأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ.

Maksudnya: “Berikanlah harta pewarisan kepada orang ahlinya terlebih dahulu. Jika masih ada baki, maka berikan kepada lelaki kerana paling mereka lebih berhak.”

Riwayat al-Bukhari (6732) (6746) dan Muslim (1615)

Berkenaan dengan Rasulullah SAW kami nyatakan bahawa sehari sebelum Rasulullah SAW wafat, Rasulullah SAW telah memerdekakan hamba-hambanya dan bersedekah 7 dinar yang berada dalam simpanannya. Begitu juga, Baginda SAW telah memberikan senjata-senjatanya kepada orang-orang Islam.

Daripada Aisyah R.Anha, katanya:

اشْتَدَّ وَجَعُ رَسُولِ اللهِ ﷺ وَعِنْدَهُ سَبْعَةُ دَنَانِيرَ أَوْ تِسْعَةٌ، فقَالَ: «يَا عَائِشَةُ، مَا فَعَلَتْ تِلْكَ الذَّهَبُ؟ « فَقُلْتُ: هِيَ عِنْدِي، قَالَ: «تَصَدَّقِي بِهَا»، قَالَتْ: فَشُغِلْتُ بِهِ، ثُمَّ قَالَ: «يَا عَائِشَةُ، مَا فَعَلَتْ تِلْكَ الذَّهَبُ؟ « فَقُلْتُ: هِيَ عِنْدِي، فقَالَ: «ائْتِنِي بِهَا»، قَالَتْ: فَجِئْتُ بِهَا، فَوَضَعَهَا فِي كَفِّهِ، ثُمَّ قَالَ: «مَا ظَنُّ مُحَمَّدٍ أَنْ لَوْ لَقِيَ اللهَ وَهَذِهِ عِنْدَهُ؟ مَا ظَنُّ مُحَمَّدٍ أَنْ لَوْ لَقِيَ اللهَ وَهَذِهِ عِنْدَهُ؟ 

Maksudnya: “Ketika sakit Rasulullah SAW bertambah tenat, dan di sisinya masih terdapat tujuh dinar atau sembilan dinar. Baginda lalu bertanya, “Wahai ‘Aisyah, apa yang dilakukan oleh emas itu (yakni mengapa masih ada dinar)?” Aku menjawab, “Dinar itu ada padaku.” Baginda bersabda, “Berikan padaku.” Aisyah berkata, “Lalu aku berikan dinar itu kepada Baginda dan aku letakkan di atas telapak tangannya.” Baginda pun bersabda, “Apa yang bakal diduga terhadap Muhammad seandainya dia bertemu dengan Allah SWT sedangkan di sisinya masih ada dinar ini? Apa yang bakal diduga terhadap Muhammad seandainya dia bertemu dengan Allah SWT sedangkan di sisinya masih ada dinar ini?” 

Riwayat Ibn Hibban (715). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya hasan dalam takhrij Sahih Ibn Hibban.

Dalam menjawab persoalan di atas, Rasulullah SAW telah menyatakan:

لاَ نُورَثُ، مَا تَرَكْنَا صَدَقَة

Maksudnya: “Kami (harta) tidak diwarisi. Dan apa yang kami tinggal adalah sedekah.”

Riwayat al-Bukhari (3093) dan Muslim (1759)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: 

لاَ يَقْتَسِمُ وَرَثَتِي دِينَارًا، مَا تَرَكْتُ بَعْدَ نَفَقَةِ نِسَائِي وَمَئُونَةِ عَامِلِي، فَهُوَ صَدَقَةٌ.

Maksudnya: “Tidaklah dibahagi-bahagikan warisanku dalam bentuk dinar, apa yang aku tinggalkan (lebihan) selepas (ditunaikan) nafkah isteri-isteriku dan perbelanjaan khalifah sesudahku, maka ia adalah sedekah.” 

Riwayat al-Bukhari (3096), Muslim (1760), Abu Daud (2974) dan Ahmad (8892)

Justeru, Rasulullah SAW kembali menghadap Tuhannya dalam keadaan tangannya bersih dari memiliki sebarang harta. Rasulullah SAW mengajar kita bahawa apa yang ada di dunia semahal mana sekali pun harta ia adalah bersifat sementara tetapi yang kekal adalah akhirat:

‏ وَالْآخِرَةُ خَيْرٌ وَأَبْقَىٰ

Maksudnya: “Padahal kehidupan akhirat lebih baik dan lebih kekal.

Surah al-A’la (17)

Akhir kalam, jelaslah kepada kita bahawa harta peninggalan Rasulullah SAW merupakan sedekah. Itulah Rasulullah SAW yang amat berbeza dengan manusia biasa.

Marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

رَضِيْنَا بِاللهِ رَبًّا، وَبِالْإِسْلَامِ دِينًا، وَبِمُحَمَّدٍ نَبِيًّا

Maksudnya: “Kami redha Allah sebagai Rab, Islam sebagai agama dan Muhammad SAW sebagai Nabi.”

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Leave a Reply