#2514: Pilihan Nama Anak Nur Afaf Humaira / Nur Aleena Humaira / Nur Arisha Humaira / Nur Arissa Humaira

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. saya in Shaa Allah bakal menyambut anak sulung perempuan..doakan Isteri selamat dan anak puteri kami selamat dilahirkan..kami bercadang nak namakan si puteri kami dengan nama yang bermula dengan huruf A dan H. Kami bercadang namakan Nur Afaf Humaira / Nur Aleena Humaira / Nur Arisha Humaira / Nur Arissa Humaira. Boleh Ustaz cadangkan nama pilihan Ustaz untuk anak kami berdua. Jazakallah Uztaz semoga Allah memberkati Ustaz senantiasa.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam Islam, tatkala anak dilahirkan, ibu bapa hendaklah menamakan anaknya dengan nama yang baik dan bukannya nama yang buruk mahupun mengandungi unsur syirik. 

Bahkan menamakan dengan nama yang baik adalah digalakkan kerana ia merupakan doa dan akan diseru pada Hari Kiamat kelak. Terdapat sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّكُمْ تُدْعَوْنَ يَوْمَ الْقِيَامَةِ بِأَسْمَائِكُمْ وَأَسْمَاءِ آبَائِكُمْ فَأَحْسِنُوا أَسْمَاءَكُمْ

Maksudnya: ‏ “Sesungguhnya kamu semua akan diseru pada hari kiamat kelak dengan nama kamu dan nama bapa-bapa kamu. Maka perelokkanlah nama kamu.”

Riwayat Abu Daud (4948)

Berdasarkan kepada nama-nama yang dicadangkan, maka pada hemat kami nama yang terbaik adalah Nur Afaf Humaira.

Perkataan al-’Afaf (العَفَاف) adalah masdar kepada perkataan ‘عَفَّ’. Antara maksud perkataan al-’Afaf (العَفَاف) ialah:

 الانْكِفَاءُ عَمَّا لاَ يَحِلُّ وَلاَ يَجْمُلُ قَوْلاً أَوْ فِعْلاً

Maksudnya: “Menjauhkan diri daripada perkara yang tidak dibenarkan dan tidak patut, sama ada dengan perkataan atau perbuatan.” (Lihat Lisan al-’Arab, 9/253)

Manakala nama Humaira’ atau ‘حُمَيْرَاء’ membawa erti putih kemerah-merahan yang melambangkan kecantikan. Ini juga ialah nama panggilan Sayyidatina ‘Aisyah R.Anha, yang disukai oleh Rasulullah SAW.

Antara hadith yang menunjukkan bahawa Nabi SAW memberi nama panggilan Humaira’ (حُمَيْرَاء) kepada Sayyidatina Aisyah R.Anha adalah seperti berikut:

Daripada Aisyah R.Anha, isteri Nabi SAW, katanya:

دَخَلَ الْحَبَشَةُ الْمَسْجِدَ يَلْعَبُونَ فَقَالَ لِي: يَا حُمَيْرَاءُ أَتُحِبِّينَ أَنْ تَنْظُرِي إِلَيْهِمْ فَقُلْتُ: نَعَمْ ، فَقَامَ بِالْبَابِ وَجِئْتُهُ فَوَضَعْتُ ذَقَنِي عَلَى عَاتِقَهُ فَأَسْنَدْتُ وَجْهِي إِلَى خَدِّهِ

Maksudnya: “Orang-orang Habasyah masuk ke dalam masjid dan memperlihatkan satu pertunjukan permainan. Lalu Rasulullah SAW bersabda kepadaku, “Hai Humaira’, apakah engkau mahu melihat mereka?” Aku menjawab, “Ya.” Lalu Baginda SAW berdiri di depan pintu, lalu aku datang dan aku letakkan daguku pada bahu Rasulullah SAW, dan aku menempel wajahku pada pipi Baginda. 

Riwayat al-Nasa’ie dalam al-Sunan al-Kubra (7951) dan Ahmad (24296). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Siyar A’lam al-Nubala’ (2/152)

Imam al-Zahabi dalam Siyar A’lam al-Nubala’ (2/168) menyatakan bahawa Sayyidah ‘Aisyah merupakan seorang wanita yang berkulit putih dan cantik jelita. Disebabkan itu, beliau dipanggil Humaira’. Perkataan Humaira’ (حُمَيْرَاء) berasal daripada perkataan al-hamra’ (حَمْرَاء) yang bermaksud merah, dan ketika berubah menjadi humaira’, bermaksud kemerah-merahan. Iaitu gadis yang berkulit putih ketika tersipu malu, maka biasanya pipinya akan berubah menjadi kemerah-merahan.

Kami berdoa kepada Allah SWT semoga puteri anda termasuk di kalangan anak-anak yang solehah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا 

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan:74)

Bertarikh: 7 Ogos 2023 bersamaan 20 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *