#2559: Mengambil Vaksin Imunisasi Bayi

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Bayi saya berusia 2 bulan dan perlu ambil imunisasi bayi mengikut jadual KKM. Sekiranya saya menolak imunisasi tersebut apakah hukumnya? Dan sekiranya saya ambil imunisasi tersebut apakah hukumnya? Adakah saya perlu mengikuti jadual imunisasi tersebut? Memandangkan sekiranya dikurniakan rezeki untuk ke mekah tak lama lagi, kerajaan Arab mewajibkan setiap jemaah mengambil vaksin. Adakah saya perlu mengambil vaksin dari seusia anak bayi?

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Definisi Imunisasi

Imunisasi merupakan satu proses memberi vaksin kepada bayi bertujuan untuk mencegah penyakit-penyakit berjangkit. Vaksin ialah virus atau bakteria yang mati atau dilemahkan. Imunisasi boleh diberi secara suntikan (melalui otot atau di bawah kulit) atau melalui mulut. (Lihat Portal Kementerian Kesihatan Malaysia[1])

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum mengambil vaksin imunisasi bayi adalah wajib. Hal ini kerana ia sesuatu yang penting dalam menjaga kesihatan bayi dan mencegah dari perkara yang boleh memudaratkan bayi tersebut. Antara penyakit yang dapat dicegah oleh bayi yang telah menerima vaksin adalah Tuberkulosis (TB), Hepatitis B, difteria, tetanus (kancing gigi), batuk kokol, polio, campak, beguk dan rubella serta yang terkini bermula tahun 2020, terdapat penambahan imunisasi kanak-kanak iaitu pneumonia (radang paru-paru) (Lihat Unit Sumber Pendidikan Kanser Dan Klinikal (Ccare)[2].

Dengan pelbagai jenis penyakit yang mungkin boleh terkena kepada bayi, di samping Kementerian Kesihatan sebagai wakil rasmi kerajaan Malaysia untuk memberi nasihat serta panduan terkait dengan kesihatan bayi seperti vaksin, maka sayugialah kita semua mematuhinya agar perjalanan kesihatan bayi sentiasa dijaga sejak kecil sehingga dewasa. 

Justeru itu, ambillah vaksin bayi tersebut mengikut jadual yang telah ditetapkan. Hal ini bagi menjaga kemaslahatan bayi saudari dari penyakit-penyakit yang berbahaya seperti yang telah kami sebutkan di atas. Bahkan ia merupakan perintah pemerintah menjaga kemaslahatan umum rakyat. Kaedah menyebut:

تَصَرُّفُ الْإِمَامِ عَلَى الرَّعِيَّةِ مَنُوطٌ بِالْمَصْلَحَةِ

Maksudnya: Tindakan pemerintah terhadap rakyatnya hendaklah berasaskan maslahah.”

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama.

Kami akhiri dengan doa:

للَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahua`lam.

 

[1] http://www.myhealth.gov.my/pengenalan-imunisasi/#:~:text=Imunisasi%20merupakan%20satu%20proses%20memberi,bawah%20kulit)%20atau%20melalui%20mulut.

 [2] https://care.upm.edu.my/article/kepentingan_imunisasi_dan_vaksin-62530

Bertarikh: 9 Ogos 2023 bersamaan 22 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *