Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri.  Saya ada satu soalan. Saya ada masalah dalam mengangkat takbiratul ihram sehingga saya kerap menjadi masbuq ketika solat berjemaah di masjid. Mohon pencerahan Dato.

 

Jawapan:

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Rukun solat terbahagi kepada 4 bahagian yakni rukun qauli, rukun fi’li, rukun qalbi dan juga rukun maknawi. Kesemua rukun ini mempunyai 13 rukun yang wajib untuk dilakukan dengan sempurna di dalam solat yang mana jika ditinggalkan akan menyebabkan solat terbatal. Rukun-rukun tersebut ialah:

  • Niat
  • Berdiri
  • Takbiratul Ihram
  • Membaca Al-Fatihah
  • Rukuk
  • ‘Itidal
  • Sujud sebanyak dua kali
  • Duduk antara dua sujud
  • Duduk tasyahud akhir
  • Bacaan Tasyahud akhir
  • Selawat ke atas Nabi di dalam tasyahud akhir
  • Salam
  • Tertib (Lihat Al-Taqrirat Al-Sadidah Fi Al-Masail Al-Mufidah,208-225)

 

Maka, salah satu rukun solat adalah takbiratul ihram. Ia dinamakan sebegitu kerana apabila takbir sudah dimulakan, maka diharamkan baginya perkara yang harus sebelum solat. Hal ini sebagaimana sabda Nabi SAW:

 إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلَاةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنْ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلَاتِكَ كُلِّهَا

Maksudnya : “Jika engkau mahu  menunaikan solat maka bertakbirlah (mulalah dengan takbir) kemudian bacalah apa yang mudah bagi engkau daripada Al-Quran kemudian rukuklah sehingga engkau tenang ketika rukuk. Kemudian bangun sehingga engkau tegak berdiri kemudian sujudlah sehingga engkau tenang ketika sujud. Kemudian angkat kepala engkau sehinggalah engkau tenang dalam keadaan duduk dan lakukan sedemikian rupa di dalam solat keseluruhannya.”

Riwayat Al-Bukhari (757)

 Berkenaan isu takbiratul ihram ini sebenarnya telah kami jawab dalam artikel sebelum ini:

#1721: Niat Solat Sebelum Angkat Takbir[1]

Justeru itu, menjawab persoalan di atas, kami nyatakan dalam isu ini ia sebenarnya melibatkan was-was yang mana perlu kita atasinya. Hal ini terjadi kebiasaannya disebabkan kita membaca niat semasa mengangkat takbiratul ihram. Walhal yang dimaksudkan dengan niat adalah keazaman (tekad) di dalam hati atas setiap perkara yang fardhu dan selain daripadanya. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/310).

Maka, dapat kita fahami bahawa niat ialah lintasan dalam hati dan bukannya membaca niat. Oleh itu, bagi mengatasi masalah was-was ini, kami nasihatkan agar melafazkan niat (talaffuz) terlebih dahulu sebelum mengangkat takbir, bagi mengingatkan lisan hati, lalu menjadilah ia niat yang dihadirkan secara hakiki. Perbuatan talaffuz ini dihukum sunat oleh jumhur fuqaha. (Lihat Nihayah al-Muhtaj,1/457; Tuhfah al-Muhtaj, 2/12).

Justeru, perbuatan melafazkan niat sebelum bertakbir, lalu mengangkat takbir untuk mendirikan solat, menjadi bukti yang kuat menunjukkan bahawa saudara ingin mendirikan solat, dan perbuatannya itu sudah dikira sebagai niat. Begitu juga solat yang dilakukannya adalah sah.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahu a‘lam.

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

(Surah Ibrahim: 40)

[1] https://maktabahalbakri.com/1721-niat-solat-sebelum-angkat-takbir/

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply