Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah setiap syariat mempunyai hikmah yang tersendiri dan maslahatnya untuk diperolehi serta mafsadah untuk dijauhi?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Menekuni syariat Allah SWT kita akan dapati semuanya menuju ke arah maslahat dan setiap taklifan rabbani mempunyai ‘illah yang tersendiri. Benarlah kaedah menyebutkan:

أَحْكَامُ الشَّارِعِ مُعَلَّلَةٌ بِالْأَسْبَابِ مُرْتَبِطَةٌ بِالْمَصَالِحِ

Maksudnya: “Hukum-hukum syara‘ itu diillahkan dengan sebab-sebab, diikat dengan maslahat-maslahat.”

Justeru, seperti mana yang diketahui para ulama telah mengkaryakan hikmah dan falsafahnya di sebalik hukum syarak. Antara yang masyhur ialah:

  • Imam al-Ghazali melalui kitabnya Ihya Ulumiddin
  • Waliyullah al-Dihlawi melalui kitabnya Hujjatullah al-Balighah

Dan ramai lagi ulama termasuk ulama-ulama masa kini seperti Dr Yusuf al-Qaradhawi, guru kami Dr Wahbah al-Zuhaili dan lain-lain lagi. Dr Yusuf al-Qaradhawi berkata, “Tasyri’ Islam ialah tasyri’ Tuhan Yang maha Bijaksana. Dia tidak mengharamkan sesuatu secara sia-sia dan tidak menghalalkan sesuatu mengikut sesuka hati. Sedangkan setiap sesuatu Dia ciptakannya dengan kadar dan setiap sesuatu Dia syariatkannya dengan mizan pertimbangan.”

Cukuplah betapa syariat Islam ini bersifat syumul, lengkap dan diredhai Allah SWT. Firman Allah SWT:

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا

Maksudnya: “Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu agama kamu, dan Aku telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam itu menjadi agama untuk kamu.

(Surah al-Ma’idah: 3)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Bertarikh: 15 Ogos 2023 bersamaan 29 Muharram 1445 H

Leave a Reply