Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ustaz terangkan apakah sepatutnya hak yang dimiliki oleh seorang isteri daripada suaminya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaulah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.

(Surah al-Nisa’: 19)

Daripada Amr bin al-Ahwas menyebut bahawa beliau pernah mendengar Nabi SAW berkhutbah haji Wada’. Setelah memuji dan menyanjung Allah SWT, memperingatkan dan menasihatkan, Baginda SAW bersabda:

أَلاَ وَاسْتَوْصُوا بِالنِّسَاءِ خَيْرًا فَإِنَّمَا هُنَّ عَوَانٌ عِنْدَكُمْ لَيْسَ تَمْلِكُونَ مِنْهُنَّ شَيْئًا غَيْرَ ذَلِكَ إِلاَّ أَنْ يَأْتِينَ بِفَاحِشَةٍ مُبَيِّنَةٍ فَإِنْ فَعَلْنَ فَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلاَ تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلاً أَلاَ إِنَّ لَكُمْ عَلَى نِسَائِكُمْ حَقًّا وَلِنِسَائِكُمْ عَلَيْكُمْ حَقًّا فَأَمَّا حَقُّكُمْ عَلَى نِسَائِكُمْ أَلاَّ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ مَنْ تَكْرَهُونَ وَلاَ يَأْذَنَّ فِي بُيُوتِكُمْ لِمَنْ تَكْرَهُونَ أَلاَ وَحَقُّهُنَّ عَلَيْكُمْ أَنْ تُحْسِنُوا إِلَيْهِنَّ فِي كِسْوَتِهِنَّ وَطَعَامِهِنَّ ‏”‏

Maksudnya: Berpesanlah kamu semua dengan kebaikan terhadap wanita (para isteri), kerana mereka itu hanyalah penolong di sisi kamu. Kamu tidak menguasai dari mereka sedikit pun selain itu kecuali bila mereka melakukan perbuatan keji yang nyata. Bila mereka melakukan hal tersebut, tinggalkanlah mereka di tempat tidurnya dan pukullah dengan pukulan yang tidak menjadikan cacat. Namun bila mereka mentaati kamu semua, maka tidak ada jalan bagi kamu untuk menyusahkan mereka. Ketahuilah, kamu memiliki hak terhadap isteri-isteri kamu. Dan mereka juga memiliki hak terhadap kamu. Hak kamu terhadap mereka adalah mereka tidak boleh membiarkan ada orang yang kamu benci untuk memijak hamparan (permadani) kamu dan isteri tidak boleh mengizinkan orang yang kamu benci masuk rumah kamu. Adapun hak mereka terhadap kamu adalah kamu berbuat baik kepada mereka dalam memberikan pakaian dan makanan mereka.” 

Riwayat al-Tirmizi (1163). Dinyatakan sebagai hasan dalam Sahih al-Tirmizi (3087)

Antara sikap yang patut ditunjukkan ialah sentiasa berlemah lembut dengan isterinya serta tidak mengkasari apatah lagi memukulnya. Bahasa yang digunakan juga penuh dengan kesopanan dan penghormatan kepada isterinya. 

Kami telah menjawab isu ini beberapa kali dan kami telah kemukakan dalam buku kami Baiti Jannati hlm. 36-38, antara lain menyebut:

  • Hendaklah diberi mas kahwin dan nafkah sama ada makan minum, tempat tinggal, pakaian, dan juga segala keperluan kehidupan seperti alat solekan, perhiasan dan rawatan kesihatan. 
  • Di samping itu, segala bentuk keperluan semasa seperti beberapa bil yang mesti diselesaikan termasuk elektrik, air, handphone, serta minyak kenderaan, Smarttag, bahkan kenderaan itu sendiri mengikut ‘uruf semasa serta kemampuan suami.

Dalam menjawab persoalan di atas, kami juga menambah berdasarkan kepada nukilan Abu Laith al-Samarqandi, antara lain katanya, “Hak seorang isteri ke atas suaminya 5 perkara:

  • Hendaklah suami berkhidmat untuknya di belakang tabir dan tidak membiarkannya keluar dari belakang tabir kerana ia merupakan aurat dan keluarnya adalah berdosa dan meninggalkan maruah.
  • Hendaklah mengajarnya apa yang diperlukan daripada agama yang menjadi fardhu ain seperti hukum wudhuk, solat, puasa dan lain-lain.
  • Hendaklah dia memberi makan daripada makanan yang halal ini kerana setiap daging apabila tumbuh dari makanan yang haram akan dicair dan dibakar dengan api neraka.
  • Jangan menzaliminya kerana isteri merupakan amanah di sisinya.
  • Jangan menyusahkan apabila isteri bertindak secara tidak baik hendaklah dinasihat supaya tidak berlaku mudarat kepadanya. (Lihat Tanbih al-Ghafilin, hlm. 337)

Diceritakan bahawa seorang lelaki yang datang mengadu kepada ‘Umar bagi mengadu berkenaan perilaku dan akhlak isterinya kepada beliau. Lalu dia berdiri di depan pintu rumah Umar menunggu beliau. Tiba-tiba dia mendengar isteri Umar berbicara panjang lebar di hadapan beliau, sedangkan beliau hanya terdiam tidak membalas pembicaraan isterinya. Kemudian lelaki tersebut beranjak pergi sambil bergumam, “Jika seperti ini keadaan Amir al-Mukminin Umar bin al-Khattab, bagaimana dengan keadaan saya sendiri?” Kemudian Umar pun keluar rumah dan melihatnya pergi meninggalkan rumahnya, lalu beliau memanggilnya, “Apa keperluanmu wahai saudaraku?” Lelaki itu pun menjawab, “Wahai Amir al-Mukminin, saya datang untuk mengadukan akhlak dan perilaku isteriku serta kata-katanya kepadaku. Lalu aku mendengar isteri tuan juga melakukan hal yang sama. Maka aku pun berganjak pergi sambil bergumam, “Jika seperti ini keadaan Amir al-Mukminin Umar bin al-Khattab dengan isterinya, maka bagaimana dengan keadaan saya sendiri?”

Lalu Umar pun berkata kepadanya, “Sesungguhnya aku bersabar kepadanya kerana memang dia memiliki hak-hak yang perlu aku penuhi. Sesungguhnya dia memasak makanan untukku, membuatkan roti untukku, mencuci pakaianku dan menyusukan anak-anakku. Sedangkan yang demikian itu bukan merupakan kewajiban atasnya. Sementara, di sisi yang lain, hatiku merasa tenteram dengannya sehingga mencegahku daripada hal-hal yang haram. Oleh sebab itu, aku bersabar terhadap sikapnya yang demikian tersebut.” Kemudian lelaki itu pun berkata, “Wahai Amir al-Mukminin, apakah demikian juga dengan isteri saya.” Umar pun berkata, “Maka bersabarlah anda denagn sikapnya wahai saudaraku, kerana sesungguhnya hal itu beberapa ketika sahaja.”

Kisah ini disebut oleh Abu al-Laith al-Samarqandi dalam Tanbih al-Ghafilin (hlm. 517); Ibn Hajar al-Haitami dalam al-Zawajir (2/80), Syeikh Sulaiman bin Muhammad al-Bujairimi al-Faqih al-Syafi’i dalam Hasyiyah ‘ala Syarh al-Minhaj (3/441). Kesemua mereka tidak menyebut isnadnya, akan tetapi mereka menyebutkan kisah ini dengan menggunakan sighah al-tamridh.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply