#2658: Alamat dan Tanda Doa Mustajab

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan tanda dan alamat doa yang mustajab?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Allah SWT berfirman:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah Ghafir: 60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bahkan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 15/292)

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

ادْعُوا اللَّهَ وَأَنْتُمْ مُوقِنُونَ بِالإِجَابَةِ

Maksudnya: “Doalah kamu kepada Allah dan hendaklah kamu yakin bahawa Allah SWT akan memustajabkannya.” 

Riwayat al-Tirmizi (3479). Imam al-Nawawi menilai sanad hadith ini adalah dhaif.

Antara tanda mustajabnya doa ialah: Rasa takut, menangis, gementar, tenangnya hati, begitu juga sejuknya jiwa dan dada, raasa kesungguhan dalam batin dan jiwa seseorang, ringan pada zahir untuk beribadat, seolah-olah ia selesai dan dicabut daripada tanggungan yang berat. (Lihat Bughyah al-Mustarsyidin, 1/136)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa dan munajat:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لاَ يَنْفَعُ ، وَمِنْ قَلْبٍ لاَ يَخْشَعُ، وَمِنْ نَفْسٍ لاَ تَشْبَعُ ، وَمِنْ دَعْوَةٍ لَا يُسْتَجَابُ لَهَا

Maksudnya: “Ya Allah! Kami berlindung dengan-Mu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, daripada hati yang tidak khusyuk, daripada nafsu yang tidak puas, dan daripada doa yang tidak diterima.”

Bertarikh: 16 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *