Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah seorang perempuan dalam haid memakai inai pada tangannya atau mewarnakan rambut dalam tempoh haid tersebut? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan riwayat daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:

إِنَّ الْيَهُودَ وَالنَّصَارَى لاَ يَصْبُغُونَ، فَخَالِفُوهُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang Yahudi dan Nasrani tidak mewarnakan rambut. Justeru, hendaklah kamu berlainan daripada mereka.”

Riwayat al-Bukhari (3462) dan Muslim (2103)

Begitu juga dalam hadith lain, daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

غَيِّرُوا الشَّيْبَ وَلاَ تَشَبَّهُوا بِالْيَهُودِ

Maksudnya:Ubahlah warna uban dan jangan menyerupai orang Yahudi.

Riwayat al-Tirmizi (1752)

Dapat difahami daripada hadith-hadith ini bahawa ‘illah syarak dalam mewarnakan rambut atau janggut adalah untuk menyelisihi ahli kitab. Oleh sebab itu, terdapatnya penegasan bahawa ia suatu perbuatan yang digalakkan (sunat). Apatah lagi Rasulullah SAW sendiri berlebih-lebihan dalam menyelisihi mereka dan memerintahkan untuk melakukannya. Selain itu, sunnah ini (mewarnakan rambut dan janggut) sangat diambil berat oleh ulama salaf. (Lihat ‘Aun al-Ma‘bud, 11/172).

Dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah dinyatakan bahawa para fuqaha’ berpendapat, mewarnakan uban dengan menggunakan hinna’ (inai) atau seumpamanya adalah digalakkan (sunat) bagi wanita sebagaimana digalakkan juga perkara itu bagi lelaki berdasarkan  kepada hadith-hadith sahih yang menyebutkan mengenai perkara itu. Khusus bagi wanita yang sudah berkahwin dan hamba perempuan yang dimiliki, digalakkan kepada mereka untuk mewarnakan juga tapak tangan dan kaki  mereka dengan hinna’ atau bahan seumpamanya pada setiap waktu melainkan ketika waktu berihram kerana mewarnakan termasuk dalam  bentuk perhiasan, dan perhiasan ini pula diharapkan daripada isteri untuk suaminya dan daripada hamba untuk tuannya, dengan syarat pewarnaan itu dalam bentuk umum tanpa adanya corak atau gambaran tertentu kerana hal tersebut adalah tidak digalakkan.  Begitu juga diharuskan bagi wanita tersebut (dengan izin suaminya atau tuannya) untuk memerahkan pipinya dan mewarnakan hujung jarinya dengan inai gelap.

Berkenaan galakkan ke atas wanita berkahwin untuk mewarnakan tapak tangannya adalah sebagaimana riwayat daripada Ibn Dhamrah bin Sa‘id, daripada neneknya, daripada seorang wanita dalam kalangan mereka, katanya: Sesungguhnya wanita itu pernah mendirikan solat dengan dua arah kiblat bersama Rasulullah SAW. Beliau berkata:

دَخَل عَلَيَّ رَسُول اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَال لِيَ: اخْتَضِبِي، تَتْرُكُ إِحْدَاكُنَّ الْخِضَابَ حَتَّى تَكُونَ يَدُهَا كَيَدِ الرَّجُل؟ قَالَتْ: فَمَا تَرَكَتِ الْخِضَابَ حَتَّى لَقِيتِ اللَّهَ عَزَّ وَجَل، وَإِنْ كَانَتْ لَتَخْتَضِبُ وَإِنَّهَا لَابْنَةُ ثَمَانِينَ

Maksudnya:Rasulullah SAW masuk menemuiku, lalu bersabda kepadaku: ‘Warnakanlah (tapak tanganmu). Kenapa salah seorang daripada kamu meninggalkan perbuatan mewarnakan itu sehingga tangannya seperti tangan lelaki?’ Beliau berkata: ‘Tidaklah wanita itu meninggalkan perbuatan mewarnakan (tapak tangannya) sehinggalah beliau menemui Allah ‘Azza wa Jalla (yakni meninggal dunia). Beliau tetap mewarnakannya sekalipun sudah berumur 80 tahun.’

Riwayat Ahmad (16650)[1]

Adapun bagi wanita yang belum berkahwin dan yang bukan hamba, maka ulama mazhab Hanafi, Maliki dan Syafi‘i berpendapat, makruh bagi mereka untuk mewarnakan tapak tangan dan kaki mereka disebabkan tiadanya keperluan bagi perkara tersebut, di samping bimbang timbulnya fitnah. Seterusnya memerahkan pipi dan mewarnakan hujung jarinya dengan inai gelap adalah haram menurut mereka.

Manakala ulama mazhab Hanbali pula berpendapat, diharuskan bagi gadis yang belum berkahwin untuk mewarnakannya (tapak tangan dan kaki). Ini berdasarkan hadith daripada Jabir secara marfu‘ bahawa: “Wahai sekalian wanita, warnakanlah (tapak tangan dan kaki kamu) kerana sesungguhnya wanita (yang sudah berkahwin) mewarnakan untuk suaminya. Manakala gadis pula mewarnakan bagi menarik rezeki daripada Allah ‘Azza wa Jalla,” iaitu untuk mendapatkan lamaran dan bernikah. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/281-282).[2]

Berbalik kepada soalan yang diajukan, jumhur fuqaha berpendapat harus bagi perempuan dalam haid untuk memakai inai atau mewarnakan rambut mereka. Ini berdasarkan kepada hadith Mu‘azah binti Abdullah al-‘Adawiyyah:

أَنَّ امْرَأَةً سَأَلَتْ عَائِشَةَ قَالَتْ: تَخْتَضِبُ الْحَائِضُ؟ فَقَالَتْ: قَدْ كُنَّا عِنْدَ النَّبِيِّ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – وَنَحْنُ نَخْتَضِبُ، فَلَمْ يَكُنْ يَنْهَانَا عَنْهُ

Maksudnya: “Seorang wanita bertanya kepada Aisyah R.Anha, katanya: ‘Adakah wanita haid boleh memakai inai/mewarnakan rambut?’ Aisyah menjawab: ‘Sesungguhnya kami ketika di sisi Nabi SAW pernah memakai inai/mewarnakan rambut, dan Baginda tidak melarang kami daripada melakukannya.’

Riwayat Ibn Majah (656)[3]

Selain daripada itu, terdapat riwayat daripada Nafi‘ bahawa:

أَنَّ نِسَاءَ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا، كُنَّ يَخْتَضِبْنَ وَهُنَّ حُيَّضٌ

Maksudnya: “Isteri-isteri Ibn Umar R.Anhuma berkata: ‘Kami pernah memakai inai/mewarnakan rambut sedangkan ketika itu kami dalam haid.’

Riwayat al-Darimi (1134)[4]

Ibn Rusyd menambah lagi dengan menyatakan bahawa tiada masalah bagi perempuan haid dan perempuan dalam junub untuk memakai inai/mewarnakan rambut kerana warna yang terhasil pada tangannya (dan rambutnya) tidak menjadi penghalang daripada mengangkat hadas janabah dan haid daripada dirinya melalui mandi (iaitu mandi wajib), apabila dia mandi. Bahkan tidak ada alasan untuk berpendapat ia adalah makruh. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/283).

Hal ini kerana seseorang yang mewarnakan rambut dengan bahan-bahan seperti hinna’ (inai),[5] katam,[6] wars,[7] za‘faran dan seumpamanya tidak menghalang kesahan wuduk dan mandi wajibnya kerana selepas dia membuang atau membersihkan bahan-bahan tersebut melalui basuhan, maka yang tinggal hanyalah warna semata-mata, dan warna sahaja tidak menjadi penghalang untuk air sampai ke kulit. Oleh itu, ia tidak menjejaskan kesahan wuduk dan mandi wajib seseorang. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqahiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/282).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa tidak mengapa seseorang wanita yang sedang dalam keadaan haid mahupun berhadas besar untuk memakai inai mahupun mewarnakan rambutnya. Hal ini kerana terdapatnya nas yang sahih yang menceritakan para wanita pada zaman Nabi SAW juga ada yang pernah melakukannya ketika mereka dalam keadaan haid, dan Baginda SAW tidak melarangnya. Apatah lagi pemakaian inai, katam, wars dan bahan-bahan seumpamanya itu tidaklah menjadi penghalang kepada kesahan wuduk dan mandi wajibnya kerana selepas dia membuang atau membersihkan bahan-bahan tersebut melalui basuhan, maka yang tinggal hanyalah warna semata-mata, dan warna sahaja tidak menjadi penghalang untuk air sampai ke kulit. Justeru, apabila tiba waktunya untuk mandi wajib, ia adalah sah dan hadas besarnya dikira terangkat dengannya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَافِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنِ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلِنَا وَمِنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

 

[1]  Syu‘aib al-Arna’ut dalam Takhrij al-Musnad (16650) menilai sanadnya sebagai dha‘if.

[2] Penjelasan lanjut mengenai pemakaian inai/mewarnakan rambut bagi kaum wanita bolehlah merujuk artikel kami dalam Ahkam Syar‘iyyah yang bertajuk: #2480: Wanita Belum Berkahwin Mewarnakan Rambut.

[3] Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut dalam tahqiq Sunan Ibn Majah (656) menilai sanadnya sebagai sahih.

[4] Hussain Salim Asad al-Darani, pentahqiq kitab Musnad al-Darimi (1/716) menilai sanadnya sebagai sahih.

[5] Hinna’ ialah sejenis pokok yang daun dan batangnya seperti daun dan batang delima, bunganya pula berwarna putih, daunnya diambil untuk dijadikan pewarna merah. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الْحِنَّاءِ/. Diakses pada 27 April 2023).

[6] Katam ialah sejenis tumbuhan yang dicampur dengan daun wasmah (dikenali juga sebagai daun Nil), lalu digunakan untuk mewarnakan rambut hitam. Namun, ada yang berpendapat, ia adalah wasmah. (Lihat Mirqah al-Mafatih, 7/2827).

[7] Wars ialah sejenis tumbuhan yang ditanam di Yaman dan India. Buahnya apabila masak, ditutup dengan kelenjar kuning, dan terdapat sedikit bulu di atasnya, yang digunakan untuk mewarna pakaian. (Lihat https://www.almaany.com/ar/dict/ar-ar/الورس/. Diakses pada 28 April 2023). Ia adalah tumbuhan seperti bijan, dan mempunyai bau yang harum. Ia menjadi bahan pewarna antara warna merah dan kuning. (Lihat Jawahir al-Iklil Syarh Mukhtasar Khalil, 1/189).

Leave a Reply