Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada dengar orang menyebut di akhir zaman, Islam hanya pada nama sahaja dan al-Quran hanya pada tulisan sahaja. Adakah ini sebahagian daripada tanda-tanda kiamat?
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Kami mulakan dengan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
بَدَأَ الإِسْلاَمُ غَرِيبًا وَسَيَعُودُ كَمَا بَدَأَ غَرِيبًا فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
Maksudnya: “Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing.”
Riwayat Muslim (145)
Ertinya bahawa Islam dimulai dalam keadaan asing sebagaimana keadaan di Makkah dan di Madinah ketika awal-awal hijrah. Islam tidak diketahui dan tidak ada yang mengamalkan kecuali sedikit manusia sahaja. Kemudian ia mulai tersebar dan orang-orang masuk (Islam) dengan jumlah yang banyak dan dominan di atas agama-agama yang lain.
Dan Islam akan kembali asing di akhir zaman, sebagaimana awal kemunculannya. Ia tidak dikenal dengan baik kecuali oleh sedikit orang dan tidak diterapkan sesuai dengan yang disyariatkan kecuali sedikit dari manusia dan disebutkan:
فَطُوبَى لِلْغُرَبَاءِ
Maksudnya: “Maka beruntunglah bagi orang-orang yang asing.”
Riwayat Muslim (145)
Dalam riwayat yang lain menyebut:
فَقِيلَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ , مَنِ الْغُرَبَاءُ؟ قَالَ: الَّذِينَ يُصْلِحُونَ إِذَا فَسَدَ النَّاسُ
Maksudnya: Rasulullah SAW ditanya, “Wahai Rasulullah siapa yang asing itu (al-Ghuraba)?” Rasulullah SAW bersabda: ”Iaitu orang-orang yang melakukan islah[1] (perbaikan) di tengah manusia yang berbuat kerosakan.”
Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (8/152)
Dan dalam lafaz yang lain:
هُمُ الَّذِينَ يُصْلِحُونَ مَا أَفْسَدَ النَّاسُ مِنْ سُنَّتِي
Maksudnya: “Mereka adalah orang-orang yang memperbaiki sunnahku yang dirosakkan manusia.”
Riwayat Imam Ahmad (16249)
Kita memohon kepada Allah SWT agar menjadikan kita dan juga saudara kita kaum muslimin seluruhnya bahagian dari mereka dan Dialah sebaik-baik tempat meminta.
Dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan benar sekali yang Islam hanya tinggal nama pada akhir zaman dan sedikit sahaja yang mengikutnya seperti hadith di atas yang dipanggil sebagai ghuraba’.
Dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:
يُوشِكُ أَنْ يَأْتِيَ عَلَى النَّاسِ زَمَانٌ لَا يَبْقَى مِنَ الْإِسْلَامِ إِلَّا اسْمُهُ وَلَا يَبْقَى مِنَ الْقُرْآنِ إِلَّا رَسْمُهُ مَسَاجِدُهُمْ عَامِرَةٌ وَهِيَ خَرَابٌ مِنَ الْهُدَى عُلَمَاؤُهُمْ شَرُّ مَنْ تَحْتَ أَدِيمِ السَّمَاءِ مِنْ عِنْدِهِمْ تَخْرُجُ الْفِتْنَةُ وَفِيهِمْ تَعُودُ
Maksudnya: “Akan hampir di mana berlaku di akhir zaman kepada manusia tidak tinggal daripada Islam kecuali namanya sahaja. Tidak kekal daripada al-Quran kecuali tulisannya sahaja. Sedangkan masjid mereka sentiasa di’imarahkan sebaliknya mereka kosong dan binasa dari mendapat petunjuk. Ulama mereka ketika itu lebih jahat. Siapa yang ada di bawah langit dan daripada merekalah akan keluarnya fitah dan pada merekalah akan kembalinya fitnah tersebut.”
Riwayat al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman (2/788)
Semoga Allah SWT selamatkan kita dari bala dan bencana di mana kita tidak mampu lagi untuk beramal tetapi hanya mengikut hawa nafsu dan pada nama sahaja Islam. Dr Fathi Yakan menyebut dalam bukunya Ma Za Yakni fi Imtima’i bi Islam menceritakan isu dan kemelut nama Islam tetapi amalan, perilaku, akhlak bahkan cara pemikiran adalah jarak dan jauh daripada agama Islam itu sendiri. Maka, malanglah jika ini berlaku di mana kita begitu jauh dari petunjuk Ilahi.
Marilah sama-sama kita berdoa dan munajat kepada Allah SWT:
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ، ثَبِّتْ قُلُوْبَنَا عَلَى دِينِكَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan yang membolak-balikkan hati, tetapkanlah hati kami di atas agama-Mu.”
[1] Islah adalah berasal daripada perkataan bahasa Arab “الإصلاح”, bentuk masdar daripada kata akar “أصلح-يصلح-إصلاحا” yang diambil daripada “ص-ل-ح”. Ia diertikan oleh Ibnu Manzur sebagai lawan kepada kerosakan (فساد) yang bermaksud: “Menghilangkan kerosakan atau mendirikan semula sesuatu yang telah runtuh atau rosak.” (Lihat Lisan al-Arab, 2/517)
Dalam al-Mu’jam al-Muyassar, islah bermaksud: “Memperbaiki kerosakan atau menghilangkan permusuhan dan perpecahan dalam kalangan manusia atau memperindah sesuatu.” (Lihat Al-Mu’jam al-‘Arabiy al-Muyassar, hlm. 292)
Dalam istilah Bahasa Melayu, penggunaan kalimah islah menurut Kamus Dewan Edisi Keempat bermaksud: “Usaha untuk mengembalikan sesuatu keadaan kepada suatu keadaan yang betul, tepat dan sesuai serta penyelesaian perbalahan dengan jalan baik atau dengan jalan damai.” (Lihat http://prpm.dbp.gov.my/Cari1?keyword=islah)
Di dalam buku “al-Fasad wa al-Islah-Dirasatun”, islah didefinisikan dengan: “suatu aksi atau tindakan yang memperbaiki keadaan” atau “membentuk sesuatu dan mengumpulkannya kembali dari awal.”
Manakala menurut The Encyclopedia of Islam pula, islah ditakrifkan sebagai reform yang membawa makna perbaikan atau pembaharuan dalam pelbagai bidang. Antaranya bidang kebudayaan, sosial, keagamaan dan sebagainya. (Lihat The Encyclopedia of Islam, P. J. Bearman, 2/142)
Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H