Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah binaan yang disambung dengan masjid bagi tujuan atau stor dianggap sebagai masjid atau bukan? Ini banyak berlaku di masjid-masjid kampung di mana tanahnya terhad.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

 إِنَّمَا يَعْمُرُ مَسَاجِدَ اللَّـهِ مَنْ آمَنَ بِاللَّـهِ وَالْيَوْمِ الْآخِرِ وَأَقَامَ الصَّلَاةَ وَآتَى الزَّكَاةَ وَلَمْ يَخْشَ إِلَّا اللَّـهَ ۖ فَعَسَىٰ أُولَـٰئِكَ أَن يَكُونُوا مِنَ الْمُهْتَدِينَ

Maksudnya: Hanyasanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.

(Surah al-Taubah: 18)

Pengimarahan masjid mengandungi dua aspek iaitu membinanya dan melaziminya. Seseorang hanya dikatakan mengimarahkan masjid sekiranya dia kerap berulang alik ke masjid. (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 5/9)

Imam al-Qurtubi di dalam tafsirnya al-Jami’ li Ahkam al-Quran (8/90) menyatakan terdapat golongan salaf menyatakan, “Sekiranya kamu melihat sesorang mengimarahkan masjid maka perelokkanlan prasangkamu kepadanya.”

Dalam menjawab persoalan di atas, kami berpendapat ia bukan termasuk dalam masjid. Hal ini lebih sesuai berdasarkan kepada kefahaman fiqh semasa kerana pada masjid terdapatnya tandas, sudut ruangan bacaan atau perpustakaan, pejabat, tempat belajar kanak-kanak seperti tadika dan lain-lain lagi. Kami nukilkan di sini beberapa pandangan ulama.

Antaranya, Syeikh Bin Baz dalam menjawab persoalan berkaitan dengan hukum wanita haidh masuk ke ruangan yang bersambung dengan masjid tetapi bukan tempat solat, seperti pewakaf tanah masjid itu meniatkan ruangan yang bersambung untuk dijadikan kedai atau stor, maka ruangan tersebut tidak mengikut hukum-hukum yang berkaitan dengan masjid.[1]

Selain itu, Dar al-Ifta’ al-Misriyyah dalam menjawab hukum wanita haidh menghadiri pengajian di ruangan-ruangan kelas yang bersambung dengan masjid turut membenarkan kerana ruangan itu tidak dianggap sebagai masjid tetapi hanyalah mulhaq ataupun bersambung dengan masjid.[2]

Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita berkenaan dengan agama-Nya di samping cintakan masjid dan suka untuk mendirikan solat. Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

[1] Lihat https://binbaz.org.sa/fatwas/3857/%D8%AF%D8%AE%D9%88%D9%84-%D8%A7%D9%84%D8%AD%D8%A7%D9%89%D8%B6-%D9%84%D9%85%D8%A7-%D9%8A%D9%84%D8%AD%D9%82-%D8%A8%D8%A7%D9%84%D9%85%D8%B3%D8%AC%D8%AF

[2] Lihat http://www.dar-alifta.org/ar/ViewFatwa.aspx?ID=11398&LangID=1&MuftiType=0

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply